Isnin, Disember 07, 2009

biasalah... selepas hujan

Assalamualaikum. Sememangnya kita tahu, musim sekarang adalah musim tengkujuh. Musim bah. Musim banjir. Tapi sehari dua ni hujan di Negeri Kelantan dan Terengganu beransur kurang. Malahan, sudah dua hari, (semalam dan hari ini) Kelantan tidak dilanda hujan. Namun tidak bererti musim tengkujuh sudah berakhir kerana kita masih lagi berada di dalam edahnya lagi. Paling-paling awal, musim tengkujuh ini akan melabuhkan tirainya pada bulan Januari nanti. Jadi, berwaspadalah kita sebagai orang-orang yang terlibat secara langsung dengan banjir ini.
Bukannya musim tengkujuh yang ingin saya ulas di dalam tulisan kali ini. Tetapi, pada kali ini, saya ingin memperkatakan serba sedikit mengenai penyakit-penyakit yang akan menyinggahi diri kita selepas hujan. Terdapat pelbagai penyakit yang biasanya menghinggapi diri kita terutamanya selepas hujan begini. Antaranya, penyakit Taun, Cirit-birit, demam, batuk, selesema dan sebagainya.

Penyakit-penyakit ini biasanya mendatangi diri kita seandainya kita tidak menjaga makanan, minuman dan kebersihan diri serta pakaian. Tambahan pula, pakaian yang kita basuh dan jemur, ianya tidak begitu kering dan lembap akibat daripada matahari yang tidak memunculkan dirinya menyinari bumi yang bertuah ini.

Di dalam keluarga saya sendiri, sudah ada tanda-tanda penyakit-penyakit seperti ini akan singgah. Adik saya misalnya, ketika ini sering batuk-batuk, selesema dan sakit-sakit kepala. Begitu juga dengan anak saudara saya yang paling kecil, berusia lima bulan, turut batuk-batuk dan panas-panas badan. Saya sendiri rasa tidak sedap badan. Lemah-lemah badan dan lesu dua tiga hari ini. Hal ini berpunca daripada perubahan cuaca yang kadang-kadangg panas dan kadang-kadang lembap. Jadi, saya mengambil tindakan untuk memperbanyakkan meminum air masak agar bahagian dalam badan sentiasa dikitar dengan air tersebut melalui pembuangan air kecil dan sebagainya. Jika kita banyak minum air massak, badan kita akan sedikit berpeluh pada musim-musim begini. Ia sedikit sebanyak dapat mengeluarkan toksid-toksid yang terdapat di dalam badan kita melalui peluh.

Jadi, jika pembaca-pembaca blog ini yang mula berasa tidak sedap badan, lakukanlah pemeriksaan d klinik-klinik berhampiran dan segeralah berjumpa dengan doctor agar penyakit-penyakit tersebut dapat dikawal dengan cepat agar ianya tidak menjejaskan kesihatan kita. Insya allah.

Jumaat, Disember 04, 2009

Bergembiralah selagi diberi peluang.

Assalamualaikum. Kita sering ketawa bilamana diberikan kegembiraan terhadap diri kita dan menangis bilamana musibah melanda diri. Itu adalah sifat yang normal yang dipunyai insan bernama manusia.
Tapi tahukah kita bahawa, ada sesetengah orang, dia akan menangis bila gembira dan akan tersenyum bila berduka? Dia menangis kerana terlalu bersyukur di atas nikmat Allah yang memberikan kegembiraan kepada dirinya dan bersabar sambil tersenyum menerima musibah Allah dengan harapan dapat menangis lagi bilamana Allah mengurniakan kegembiraan kepada dirinya. Payahkan nak dapat seperti itu? Hanya mereka yang mampu sahaja yang boleh berbuat demikian.

Sebenarnya, tidak salah untuk kita bergembira dan bersukaria selagi kewajipan kita terhadap Allah Azza Wajalla tidak kita lupakan. Ketawa, senyum mampu menggerakkan minda kita agar ianya lebih positif dalam melakukan sesuatu kerja. Namun jangan keterlaluan kerana dikhuatiri hilai tawa dan senyum ria tersebut bertukar sekelip mata dengan esak tangis dan deraian air mata. Kerana hidup kita ibarat roda. Kekadang kita berada di atas dan kekadang kita berada di bawah. Bila kita berada di atas, kita akan rasa kita cukup gah dan mampu tersenyum dan tertawa. Namun, bila kita berada di bawah, kita akan rasa pula betapa siksanya dipijak oleh orang yang berada di atas dan baru kita sedar, kita sudah berada di zon kedukaan dan bukannya zon kegembiraan seperti sebelum ini.

Bergembiralah seadanya agar bila kita bersedih, tidakterasa sangat kesedihan tersebut. Dan, bersedihlah sekadarnya agar kita tidak menyalahkan Allah dalam musibah yang kita terima itu. Allah maha Adil. Dia maha pengasih dan penyayang. Dia sengaja menguji makhluk-makhlukNya untuk Dia mempertingkatkan keimanan makhluk-makhlukNya. Jika kita Berjaya dengan ujian Allah bermakna iman di dada kita akan bertambah dan meningkat serta ketaqwaan kita kepada Allah semakin kuat ibarat, bila sudah lulus peperiksaan, temu duga dan seumpamanya, kita akan dinaikkan pangkat dan jawatan yang lebih tinggi. Fikir-fikirkanlah. Wallahu a’-lam.

Khamis, Disember 03, 2009

Berhati-hatilah.

Assalamualaikum. Seperti yang kita tahu, banjir khususnya banjir gelombang kedua telah melanda Negara kita ketika ini. Negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang khususnya, adalah negeri-negeri yang terlibat secara langgsung dengan banjir ini. Oleh itu, semua penduduk di tiga negeri ini khususnya dan seluruh Malaysia Umumnya disaran berwaspada dengan semua keadaan.
Ibu bapa disarankan supaya berwaspada terhadap anak-anak mereka kerana dikhuatiri lemas akibat daripada bermain banjir ini. Ini kerana, setakat tulisan ini diterbitkan, sudah seramai lima orang di Kelantan telah menjadi korban akibat banjir yang melanda negeri ini.

Berhati-hattilah dengan keadaan ini agar angka tersebut tidak bertambah kepada jumlah yang lebih ramai lagi. Biarlah ianya setakat lima orang sahaja. Kepada keluarga mereka yang terlibat dengan korban akibat banjir ini, sekalung ucapan takziah saya ucapkan dan bersabarlah di atas ujian Allah ini.

Manakala, kepada ibu bapa yang masih punyai anak-anak kecil, pantau-pantaulah pergerakan anak-anak tersebut agar ianya tidak bermain dengan air banjir. Jangan biarkan mereka dan kita bergembira buat seketika dan kita berduka selama-lamanya akibat kehilangan mereka. Biarkan mereka menangis kerana tidak dapat bermain air banjir daripada kita menangis kerana kehilangan mereka. Mereka menangis seketika, sedangkan kita akan menangis selama-lamanya. Berfikirlah untuk melakukan sesuatu tindakan agar tindakan kita sentiasa menjadi tindakan yang betul dan hasil yang sempurna. Wallahu a’-lam.

Rabu, Disember 02, 2009

Penjualan Paket Rokok Kurang 20 Batang Dilarang Mulai 1 Jun

assalamualaikum. lama tak update blog ni. hmmm... menarik. tiba-tiba tengah-tengah hujan yang sejuk ni saya terbaca satu artikel dari M Star online. menarik bunyinya. jum baca artikel yang saya tampalkan di bawah ni.


Rabu Disember 2, 2009


KUALA LUMPUR: Penjualan paket rokok yang mengandungi kurang daripada 20 batang adalah dilarang mulai 1 Jun tahun depan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sejajar dengan keputusan itu, pihak syarikat rokok diberi masa tujuh bulan mulai sekarang hingga 31 Mei ini untuk menghabiskan stok paket rokok yang kurang daripada 20 batang rokok di pasaran.
"Kerajaan tidak akan melayan sebarang rayuan ke atas perkara ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan pengilangan dan penjualan paket rokok kurang dari 20 batang rokok mulai 1 Jun 2010," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata keputusan itu telah dipersetujui oleh semua syarikat rokok dan kerajaan berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama syarikat-syarikat tersebut.

"Larangan pengilangan dan penjualan rokok paket rokok yang mengandungi kurang dari 20 batang sebenarnya telahpun diwartakan pada 23 Sept 2004 melalui peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, bagaimanapun penguatkuasaan terhadap larangan tersebut telah ditangguhkan selepas kerajaan mempertimbangkan rayuan daripada syarikat-syarikat rokok," katanya.
Liow berkata sehubungan dengan penguatkuasaan itu, sesiapa yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Menurut beliau lagi, larangan itu juga selaras dengan saranan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Larangan penjualan paket rokok bungkusan kecil ini adalah bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan golongan kanak-kanak dan remaja untuk membeli dan memulakan tabiat merokok yang tidak sihat dan merugikan," katanya. BERNAMA

***************

harapan saya agar usaha kerajaan ini dapat mengurangkan penggemar-penggemar rokok dalam kanak kanak-kanak dan remaja khususnya. langkah ini agak baik kerana ia dapat mengurangkan sedikit tabiat yang kurang sihat terutamanya kanak-kanak dan remaja. semoga mereka sedar, usaha kerajaan ini adalah untuk memberikan kebaikan kepada mereka juga. insya-allah.