Rabu, November 17, 2010

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adhha

assalamualaikum. di kesempatan yang ada ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidil Adhha 1431 Hijriah kepada semua pembaca halaman blog ini. semoga Aidil Adhha kali ini menyedarkan kita betapa besarnya makna akan peristiwa-peristiwa yang terkandung di sebalik kewujudan akan hari raya ini. dan seterusnya, peristiwa-peristtiwa seperti perintah Allah terhadap Nabi Ibrahim A.S. untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S., yang akhirnya Allah gantikan dengan peristiwa penyembelihan seekor Qibash, peristiwa melontar batu yang merupakan simbolik kepada perejaman Nabi Ismail A.S terhadap syaitan Laknatullahi 'Alaihim akibat syaitan tersebut menggoda Nabi Ismail agar mengingkari perintah Allah itu, dan peristiwa-peristiwa lain di samping itu menjadi pengajaran kepada kita semua bahawa, kita hanya Makhluk Allah SWT, dan selayaknya kita diuji oleh Allah SWT dengan ujian-ujian yang kita mampu untuk hadapinya. kerana Allah tidak akan menguji hambaNya dengan ujian yang tidak mampu dihadapi oleh hambaNya itu. sedangkan Nabi Allah, Ibrahim Khalilullah dan Nabi Ismail A.S sendiri pun diuji, apatah lagi kita, cuma hambaNya yang imannya lebih nipis daripada kulit bawang ini, akan lebih layak diuji olehNya dengan ujian-ujian yang kadang-kala membuatkan kita terjelepuk jatuh ke bumi dan tidak mampu lagi bangun untuk melawannya. namun, sedarlah kita semua, ujian-ujian yang Allah berikan kepada kita itu sebenarnya adalah ujian yang mampu kita hadapi, andainya Allah tempat kita meletakkan harapan dan tempat kita bergantung. namun, andainya bukan Allah tempat sebenar-benarnya kita berharap dan menggantungkan harapan, sebab itulah kita jatuh terjelepuk ke bumi dan tidak mampu lagi untuk bangun semula melawan ujian yang diberikan itu.
Semoga, Hari Raya Aidil Adhha ini juga dapat melipatgandakan pahala kita semua dengan Ibadah Qurban yang kita lakukan dan dapat mencapai Haji yang Mabrur bagi mereka yang sedang menunaikan Rukun Islam terakhir itu di Makkah al-Mukarramah tika dan saat ini. akhirnya, semoga kita semua ditempatkan dalam kalangan Hamba-hamba Allah yang soleh dan solehah, diampunkan segala dosa, dipermudahkan segala urusan, dimakbulkan segala niat dan diberi kebaikan di dunia mahupun akhirat hendaknya, Insya Allah. Wallahu A'-lam.

                          Salam Aidil Adhha.

Kuda padi ganti anjing

JARI jemari Mona Ramouni menyelak helaian teks semasa dia menyemak ejaan untuk buku teks kalkulus yang akan diterbitkan dalam braille, dengan kuda padi yang menjadi juru pandunya duduk dengan sabar di sisi. Cali, kuda padi keperangan yang cantik dengan bulu hitam lembut, haiwan yang menjadi juru pandu pertama untuk Mona, 28, wanita Islam buta yang kedua-dua ibu bapanya, pendatang dari Jordan, tidak akan menerima seekor anjing ke dalam rumah mereka. Air liur anjing dianggap tidak bersih dalam ajaran Islam, meskipun anjing dibenarkan sebagai haiwan bekerja seperti menjadi penjaga atau pengembala. "Terdapat hadis Nabi yang diterima oleh kebanyakan orang Islam bahawa malaikat tidak akan masuk ke rumah yang mempunyai anjing di dalam rumah itu," kata Pengarah Majlis Hubungan Islam Amerika, bahagian Michigan, Dawud Walid. Menurutnya, meskipun beberapa ulama terkemuka menegaskan anjing sebagai juru pandu diterima Islam, ia tetap kekal sebagai tabu di kalangan kebanyakan orang Islam. Kata Mona, ibu bapanya juga secara umumnya tidak menggemari haiwan walaupun mereka membenarkan dia membela arnab dan menerima kuda padi itu yang tinggal di kandang kecil di laman rumah mereka di Dearborn, Michigan, Amerika Syarikat (AS). Selepas kebimbangan awal terhadap anak perempuan mereka terutama bagaimana Mona menyesuaikan diri dengan hanya seekor kuda kecil sebagai juru pandunya, mereka kemudiannya mula percaya Mona boleh berdikari dengan sendiri bersama kuda padi berkenaan. Cali hanya seekor daripada sekelompok kuda kecil di AS yang digunakan sebagai haiwan pembimbing atau jurupandu untuk orang buda. Beratnya kurang daripada 45 kilogram, kuda padi itu lebih kurang serupa saiznya dengan seekor anjing yang besar tetapi dapat membantu orang yang mempunyai masalah pergerakan. Haiwan itu juga mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Ia boleh hidup dan bekerja selama lebih daripada 30 tahun manakala anjing yang menjadi jurupandu pula biasanya bersara pada usia 12 tahun.Bagaimanapun kuda padi perlukan lebih banyak jagaan dan lebih mahal harganya. "Seluruh dunia saya dan pandangan saya mengenai pelbagai perkara berubah kerana saya rasa terdapat lebih banyak kemungkinan. "Sebelum Cali, saya tak rasa saya boleh ke sana ke mari dengan sendiri, walaupun secara teorinya saya mungkin boleh," katanya. Ketika kecil, Mona diajar bagaimana mencari arah dengan rotan tetapi tidak begitu berjaya. Dengan enam adik beradik, mereka sentiasa ada di sisi untuk memimpinnya. Berdasarkan gerak hati, dia mula mencari kuda sebagai juru pandu dan tekad untuk menjadikannya satu kenyataan terutama apabila ada yang memberitahu dia tidak boleh melakukannya atau tak sepatutnya berbuat demikian. Ada jiran yang cuba mempengaruhi majlis perbandaran supaya menolak permitnya untuk tempat kediaman Cali, begitu juga e-mel daripada mereka yang menghentam kepercayaan agama keluarganya. Bagi Mona, dia perlu mencari jurulatih, kuda dan belajar bagaimana untuk mempercayai serta menjaga Cali. Dia membeli kuda berusia tiga tahun yang sebelum ini sering membuat persembahan itu pada Oktober 2008 dan menghantar kuda itu kepada seorang jurulatih profesional yang meluangkan masa tujuh bulan untuk mengajar Cali keluar masuk kereta atau bas, menunjukkan halangan di jalan malah mengambil objek yang ditempatkan di tempat yang salah. Ia biasanya mengambil masa enam bulan sehingga ke setahun untuk menjalin hubungan dengan haiwan yang boleh menyediakan perkhidmatan dan enam minggu pertama Mona bersama Cali memang agak tertekan. "Saya bekerja dengan Cali. Dia juga bekerja dengan saya. Kami seolah-olah saling cuba memahami. "Dialah kuda kecil paling menakjubkan. Kalau dia mampu melakukannya dan dia fikir dia boleh lakukannya, dia akan melakukannya. "Jika dia rasa ada kemungkinan untuknya melakukannya, dia akan cuba sepenuh hati," kata Mona. Cali juga menarik perhatian ramai kerana mereka berdua tidak boleh ke mana-mana tanpa orang ramai berhenti untuk bertanyakan mengenainya. Mona pula yang kakaknya sering menggelarnya anti sosial kerana dia biasanya menghabiskan masa berjam lamanya bersendirian di dalam bilik, mendapati dia semakin aktif disebabkan Cali. Dengan Cali di sisi, Mona dapat melakukan perkara mudah yang dianggap remeh oleh orang lain seperti pergi ke kedai, duduk di taman atau menaiki bas ke tempat kerja. Dia juga berharap untuk mendapat ijazah dalam jurusan psikologi kanak-kanak dan membuka kliniknya sendiri. "Saya hanya mahu menikmati kehidupan yang normal. Selepas ini anda fikir saya akan menjalani kehidupan biasa? Tapi itulah yang saya benar-benar mahukan," kata Mona. - AFP

Rabu, September 08, 2010

PERUTUSAN YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR NEGERI KELANTAN SEMPENA SAMBUTAN AIDIL FITRI 1431H.

assalamualaikum. Berikut saya muatnaikkan Perutusan YAB Menteri Besar Negeri Kelantan sempena sambutan Aidil Fitri 1431H yang kita sambut ini. Semoga kita semua mendapat manfaat daripada perutusan yang penuh berhikmah ini. insya allah.

************

Perutusan Idulfitri 1431Hby Nik Abdul Aziz Nik Mat on Wednesday, September 8, 2010 at 2:58pm


Bismillahir Rahmanir Rahim

Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar. Lailaha Illallah Wallahu akbar. Allahuakbar Walillahil Hamd

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

Segala kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi di dalam bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri 1431H pada tahun ini. Sesungguhnya kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT ini wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan aktiviti ibadah dan seterusnya meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan berpuasa.

Orang yang bertaqwa hidupnya selari dengan agama. Hidup beragama terlalu jauh berbeza dengan hidup berdasarkan perlembagaan buatan manusia. Kerana tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat (maliki yaumid din). Oleh yang demikian, apalah sangat pihak yang mereka perlembagaan dapat membawa ruh perlembagaan buatan ini untuk memuaskan hati pihak hakim di akhirat kelak iaitu Allah SWT. Tanpa ada seebarang keraguan di mahkamah Allah (without any shadow of doubt). Bolehkah perlembagaan buatann ini menyelamatkan seseorang manusia itu darripada neraka Allah SWT.

Perlembagaan sebenar (alsirat al-mustaqim) ialah al-Quran yang kita tadarus, yang kita baca di dalam solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana. Ia mengandungi nur iaitu cahaya.

Cahaya itu bukan cahaya matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka. Tanpa adanya cahaya ini manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan-kelemahan manusia.

Sebab itu di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh, melaungkan Allahuakbar sekuat-kuatnya, di merata-rata tempat, bukan sahaja di masjid dan di surau. Ini kerana jika Allahuakbar adalah akbar, terbesar, terpenting, maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila bertembung dengan kehendak Allah SWT. Di negara kita, umat islam masih agak terikat dengan budaya bertakbir di masjid dan di surau sahaja. Saya mencadangkan agar kita mempelopori suasana yang baru, berteraskan sunnah iaitu bertakbir di merata-rata temppat.

Insya-allah jika semangat takbir ini dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang berlaku di dalam negara dapat diselesaikan. Masyarakat dapat hidup aman dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan kebudayaan. Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan. Melayu misalnya dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India Muslim. Ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata.

Alhamdulillah, ini dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan khususnya apabila masjid-masjid dan madrasah-madrasah dipenuhi dengan kaum. Tanpa mengira bangsa, semua kita melafazkan amin apabila imam menghabiskan bacaan al-fatihah. Kita tidak merasa kekok apabila bahu kita bersentuhan dengan saudara seagama dari kaum lain ketika mengerjakan solat. Kita tidak berasa janggal untuk menghulurkan salam kepada rakan sebelah yang berbeza keturunan. Persoalannya, kenapakah perasaan ini tidak muncul di luar masjid dan madrasah? Jawapannya, kerana kebesaran Allah SWT hanya diikrarkan di dalam masjid sahaja dan tidak dibawa keluar sebagai asas kehidupan.

Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir. Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat non muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. Insya-allah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai.

Selain itu, tidak lupa saya berpesan agar anak-anak Kelantan di perantauan dapat berhati-hati semasa berada di jalan raya. Perlulah diingat bahawa kepulangan kita ditunggu-tunggu oleh orang yang tersayang. Janganlah pula kepulangan di hari raya disambut dengan kedukaan akibat perkara yang tidak diingini semasa di jalanraya. Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan khususnya diterima sebagai amalan yang soleh dan akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.

Salam Idulfitri. Minal ’aidin wal faizin.

Dengan hormat,

YAB TUAN GURU DATO BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

1 Syawwal 1431H 

Isnin, Februari 15, 2010

TERSENTUHNYA HATI...

“…... kepada ibu, tabahlah menghadapi ujian ini. Ayah… ayah di mana?

Assalamualaikum. Begitulah sebahagian daripada satu pesanan ringkas yang telah dihantar oleh seorang pengirim SMS kepada salah sebuah radio yang saya dengar malam tadi. Tersentuh rasanya bila mendengarkan ungkapan tersebut. Fahamlah saya, bahawa kkeluarga tersebut mempunyai masalah kekeluargaan yang amat perit untuk dihadapinya.

Massalah tersebut pada fikiran saya addalah masalah yang berkaitan dengan pergerakan untuk menuju ke ambang kemusnahan sebuah institusi keluarga yang amat perit untuk ditanggung oleh penghadapnya. Mereka sedang menghadapi saat-saat perpecahan rumah tangga yang mungkin disebabkan oleh beberapa factor yang sukar untuk dijangkakan. Namun factor-faktor tersebut adalah factor-faktor yang sering kita dengar di mahkamah dan di media-media massa.

Penceraian adalah salah satu factor utama ungkapan tersebut dilontarkan lewat SMS yang dikirimkan. Penceraian dewasa kini terlalu kerap kali kita dengar berlaku dalam institusi kekeluargaan. Terjadinya penceraian ini berpunca daripada tidak ada lagi persefahaman antara suami dan isteri, tidak ada lagi toleransi antara mereka, tidak ada lagi perasaan kasih sayang antara mereka dan pelbagai factor lain. Natijahnya, anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa lantera daripada penceraian tersebut. Anak-anak sedikit sebanyak akan menghadapi kesannya di mana, mungkin mereka terabai, tidak mempunyai tempat untuk bergantung dan tidak mempunyai lagi kehidupan yang lengkap iaitu mempunyai ibu dan bapa seperti anak-anak yang lain. Akibatnya, mereka akan menjadi liar, tidak dengar kata, terjebak ke dalam lembah maksiat, terjebak dengan pengedaran, penagihan dadah dan sebagainya. Akhirnya, mereka menjadi rosak dan tidak bernilai lagi kepada masyarakat.

Mengapakah terjadinya penceraian seperti ini? Seharusnya, jika tali pernikahan yang diikat sebelum ini berpaksikan niat hanya kerana Allah, seharusnya tidak akan berl akunya perkara seperti ini. Ini kerana, mereka akan sedar, betapa jodoh yang ditentukan oleh Allah itu adalah ketentuan daripadaNya. Jika berlaku ketidaksefahaman antara mereka sekalipun, mereka boleh mencari jalan keluar untuk menanganinya agar tidak terlepas kata-kata “aku ceraikan engkau dengan talak sekian sekian” sekaligus berlakunya penceraian yang tidak diingini tersebut.

Seperkara lagi yang perlu difikirkan sebelum penceraian berlaku. Tidak penatkah kita mencari beribu-ribu ringgit, malahan berpuluh-puluh ribu ringgit semata-mata untuk menjadikan Majlis Walimatul Urus yang telah diadakan sebelum ini meriah dan menarik? Hantaran dan mas kahwin yang beribu-ribu ringgit yang telah dibelanjakan dan dihadiahkan semata-mata demi memenuhi syarak dan adat untuk pasangan yang tersayang? Kenapakah dengan tidak semena-mena hendak diputuskan tali pernikahan yang telah diikat begitu kejap dan disimpul dengan rapi melalui Ijab dan Qabul hasil daripada majlis Aqad Nikah bersama Qadi-qadi yang kita genggam tangan mereka dan mereka genggam tangan kita? Bukan sedikit orang yang melihat majlis Aqad Nikah kita. Jika diadakan di masjid, sudah tentu kita akan melafazkan Qabul nikah kita tersebut di corong-corong pembesar suara yang pasti akan didengari oleh seluruh kampong tersebut. Paling tidak pun, ia akan didengar oleh penduduk sekitar masjid tersebut. Malukan kita ketika itu? Tapi, demi pasangan yang tersayang, kita gagahkan juga hati ini untuk menghadapi situasi itu. Itu belum lagi menghadapi imam-imam yang cerewet. Macam-macam dia nak dengar kita baca sebelum majlis aqad nikah itu diadakan. tidak cukup dengan itu, kita panggil pula jurukamera datang dengan membawa berkotak-kotak gulungan filem untuk mengambil gambar kita bagi dijadikan kenang-kenangan sempena majlis pernikahan kita itu yang kemudiannya kita bayar mereka beribu-ribu ringgit demi memuaskan hati kita setelah memiliki gambar-gambar yang telah diambil dengan pelbagai reaksi dan gelagat yang menarik serta pakaian-pakaian pengantin yang cantik-cantik ibarat "raja di atas takhta" pada hari tersebut.

Jika kita fikir-fikirkan kembali, faktor-faktor sebegitu sudah cukup untuk kita membatalkan hasrat dan niat kita untuk melafazkan lafaz-lafaz yang berbaur perceraian ini.

Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya. Setiap penyakit yang kita hidapi itu pasti ada ubatnya kecuali mati. Itu janji nabi. Kenapa kita tidak genggam erat-erat kata-kata tersebut biar menjadi azimat dalam diri kita? Andainya ada masalah, bukankah Islam telah anjurkan beberapa langkah penyelesaian demi menyelamatkan rumah tangga yang telah dibina? Antaranya, melalui perbincangan sesama pasangan, melalui orang tengah wakil daripada kedua-dua keluarga, melalui perbincangan dengan kaunselor, dengan jabatan-jabatan agama negeri dan banyak lagi.

Insya allah, jika kita ikut saluran yang telah dianjurkan oleh Islam tidak akan ada penceraian yang begitu banyak di antara institusi-institusi kekeluargaan Islam ini. Janganlah berlakunya di antara umat Islam ini penceraian kerana penceraian akan memusnahkan institusi kekeluargaan yang telah kita bina selama ini. Perkara yang halal di sisi Islam tetapi diMurkai oleh Allah adalah penceraian. Janganlah kita mencari kemurkaan Allah jika kita ingin mendapatkan keredhaanNya. Sebaliknya, carilah keredhaan Allah walaupun akhirnya nanti kita akan dimurkai oleh manusia.

Firman Allah SWT yang maksudnya: ‘...dan bergaullah kamu dengan mereka

(isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)” (an-Nisaa’: 19).

Wallahu a’-lam.

Ahad, Februari 14, 2010

Valentine Day (Hari Kasih Sayang)

Assalamualaikum.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah Al-An’am : 116)

Hari 'kasih sayang' yang diraikan oleh orang-orang Barat pada tahun-tahun terakhir disebut 'Valentine Day' ini amat popular dan merebak di pelusuk Indonesia bahkan di Malaysia juga. Lebih-lebih lagi apabila menjelangnya bulan Februari di mana banyak kita temui simbol-simbol atau iklan-iklan yang tidak Islamik hanya wujud demi untuk mempromosi Valentine. Berbagai tempat hiburan bermula dari disko/kelab malam, hotel-hotel, organisasi-organisasi mahupun kumpulan kecil; ramai yang berlumba-lumba menawarkan acara untuk meraikan Valentine. Dengan pengaruh media massa barat seperti surat kabar, Internet, radio mahupun televisyen; sebagian besar orang Islam juga turut dihidangkan dengan iklan-iklan Valentine Day.

SEJARAH VALENTINE:

Sungguh menyedihkan dan tidak sepatutnya terjadi apabila telinga kita mendengar bahkan kita sendiri 'terjun' dalam perayaan Valentine tersebut tanpa mengetahui sejarah Valentine itu sendiri. Menurut sejarah-sejarah yang dibaca melalui media-media massa dan beberapa sumber yang lain, Valentine sebenarnya adalah seorang martyr (dalam Islam disebut 'Syuhada'). Oleh kerana kesolehan dan bersifat 'dermawan' yang dimiliki olehnya, maka dia diberi gelaran Saint.

Ensiklopedia Katolik menyebutkan tiga versi tentang Valentine, tetapi versi terkenal adalah kisah Pendeta St.Valentine yang hidup di akhir abad ke 3 M di zaman Raja Romawi Claudius II. Pada 14 Februari 270 M Claudius II menghukum mati St Valentine yang telah menentang beberapa pperintahnya. Claudius II melihat St. Valentine mengajak manusia kepada agama nasrani, lalu dia memerintahkan untuk menangkapnya. Untuk mengagungkan dia (St. Valentine), yang dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka para pengikutnya memperingati kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'.

Dalam versi kedua, Claudius II memandang para bujangan lebih tabah dalam berperang daripada mereka yang telah menikah yang sejak semula menolak untuk pergi berperang. Maka dia mengeluarkan perintah yang melarang pernikahan. Tetapi St. Valentine menentang perintah ini dan terus mengadakan pernikahan di gereja dengan sembunyi-sembunyi sampai akhirnya diketahui lalu dipenjarakan. Dalam penjara dia berkenalan dengan putri seorang penjaga penjara yang terserang penyakit. Ia mengobatinya hingga sembuh dan jatuh cinta kepadanya. Sebelum dihukum mati, dia mengirim sebuah kad yang bertulis “Dari yang tulus cintanya, Valentine.” Hal itu terjadi setelah puteri tersebut memeluk agama nasrani bersama 46 kerabatnya.”

Versi ketiga menyebut, ketika agama nasrani tersebar di Eropa, di salah satu desa terdapat sebuah tradisi Romawi yang menarik perhatian para pendeta. Dalam tradisi itu para pemuda desa selalu berkumpul setiap pertengahan bulan Februari. Mereka menulis nama-nama gadis desa dan meletakkannya di dalam sebuah kotak, lalu setiap pemuda mengambil salah satu nama dari kotak tersebut, dan gadis yang namanya keluar akan menjadi kekasihnya sepanjang tahun. Ia juga mengirimkan sebuah kad yang bertulis “Dengan nama Tuhan Ibu, saya kirimkan kepadamu kad ini.”

Akibat sukarnya menghilangkan tradisi Romawi ini, para pendeta memutuskan mengganti kalimat “Dengan nama Tuhan Ibu” dengan kalimat “Dengan nama Pendeta Valentine” sehingga dapat mengikat para pemuda tersebut dengan agama Nasrani.

Versi lain mengatakan St Valentine ditanya tentang Atarid, Tuhan perdagangan, kefasihan, makar dan pencurian, dan Jupiter, Tuhan orang Romawi yang terbesar. Maka dia menjawab Tuhan-Tuhan tersebut buatan manusia dan bahwasanya Tuhan yang sesungguhnya adalah Isa Al Masih. Bahkan ketika ini terdapat kad-kad perayaan keagamaan ini dengan gambar anak kecil dengan dua sayap terbang mengelilingi gambar hati sambil mengarahkan anak panah ke arah hati yang sebenarnya merupakan lambang Tuhan cinta bagi orang-orang Romawi.

Tetapi sejak abad 16 M, 'upacara keagamaan' tersebut mulai beransur-ansur hilang dan berubah menjadi 'perayaan bukan keagamaan'. Hari Valentine kemudian dihubungkan dengan pesta jamuan kasih sayang bangsa Romawi kuno yang disebut “Supercalis” yang jatuh pada 15 Februari.

Setelah orang-orang Romawi itu masuk agama Nasrani(Kristian), pesta 'supercalis' kemudian dikaitkan dengan upacara kematian St. Valentine. Penerimaan upacara kematian St. Valentine sebagai 'hari kasih sayang' juga dikaitkan dengan kepercayaan orang Eropah bahwa waktu 'kasih sayang' itu mulai bersemi 'bagai burung jantan dan betina' pada tanggal 14 Februari.

Dalam bahasa Perancis Normandia, pada abad pertengahan terdapat perkataan “Galentine” yang bermaksud 'galant atau cinta'. Persamaan bunyi antara galentine dan valentine menyebabkan orang berfikir bahwa sebaiknya para pemuda dalam mencari pasangan hidupnya pada tanggal 14 Februari. Dengan berkembangnya zaman, sejarah asal seorang 'martyr' bernama St. Valentino mungkin akan terus tersasar jauh pengertiannya(jauh dari erti yang sebenarnya). Manusia pada zaman sekarang tidak lagi mengetahui dengan jelas asal usul hari Valentine. pada zaman sekarang ini orang mengenal Valentine melalui kad ucapan, pesta persaudaraan, bertukar-tukar memberi hadiah dan sebagainya tanpa mengetahui latar belakang sejarahnya yang sudah lebih dari 1700 tahun yang lalu.

dapatlah dibuat kesimpulan bahwa ia hanyalah tidak lebih daripada sekadar bercorak kepercayaan atau animisme yang berusaha merosakkan 'akidah' muslim dan muslimah sekaligus memperkenalkan gaya hidup barat dengan bertopengkan percintaan dan kasih sayang.
PANDANGAN ISLAM

Sebagai seorang muslim yang mu'min,tanyakanlah pada diri kita sendiri, apakah kita akan mencontohi begitu saja sesuatu yang jelas bukan bersumber dari Islam ?
Mari kita renungkan firman Allah s.w.t.:

“ Dan janglah kamu megikuti apa yang kamu tidak ketahui tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan bertanggung jawab”. (Surah Al-Isra : 36)
Dalam Islam kata “tahu” bermaksud mampu mengetahui dengan seluruh pancaindera yang dikuasai oleh hati. Pengetahuan yang sampai pada taraf memahami isi dan hakikat sebenarnya. Bukan hanya sekedar dapat melihat atau mendengar, Bukan pula sekadar tahu sejarah, tujuannya, apa, siapa, bila, bagaimana, dan di mana, akan tetapi lebih dari itu.

Oleh kerana itu Islam amat melarang kepercayaan yang mendorong kepada suatu kepercayaan lain atau dalam Islam disebut Taqlid.

Hadis Rasulullah s.a.w:“ Barang siapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama) maka dia termasuk kaum (agama) itu”.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali Imran ayat 85 :“Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-sekali tidaklah diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”.

PERKARA-PERKARA YANG HARUS DIBERI PERHATIAN:-

Dalam masalah Valentine itu perlu difahami secara mendalam terutama dari kaca mata agama kerana kehidupan kita tidak dapat lari atau lepas dari Islam sebagai pandangan hidup. Di bawah ini terdapat beberapa perkara yang harus difahami di dalam masalah 'Valentine Day' ini.

1. PRINSIP

Valentine Day adalah suatu perayaan yang berdasarkan kepada pesta jamuan 'supercalis' bangsa Romawi kuno di mana setelah mereka masuk Agama Nasrani (kristian), maka berubah menjadi 'acara keagamaan' yang dikaitkan dengan kematian St. Valentine.

2. ASAS SUMBER

Valentine jelas-jelas bukan bersumber dari Islam, melainkan bersumber dari rekaan fikiran manusia yang diteruskan oleh pihak gereja. Jika kita berpegang kepada akal rasional manusia semata-mata, dan tidak berdasarkan kepada Islam(Allah), maka ia akan tertolak.

Firman Allah swt dalam Surah Al Baqarah ayat 120 :“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.

Katakanlah : “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelahkamu mengetahui, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.

3. TUJUAN

Tujuan mencipta dan mengungkapkan rasa kasih sayang sesama manusia adalah baik. Tetapi bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Bukan pula bererti kita harus mempercayai kepada Valentine seolah-olah mengutamakan ajaran lain berbanding dengan ajaran Islam. Islam diutuskan kepada umatnya dengan memerintahkan umatnya untuk berkasih sayang dan menjalinkan persaudaraan yang abadi di bawah naungan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Bahkan Rasulullah s.a.w. bersabda :“Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga ia cinta kepada saudaranya seperti cintanya kepada diri sendiri”.

4. PERLAKSANAAN

Pada umumnya acara Valentine Day diadakan dalam bentuk pesta keramaian dan kesukaan yang akhirnya menjerumus ke lembah maksiat seperti penzinaan dan sebagainya.

Perhatikanlah firman Allah s.w.T.dalam Surah Al-Anfal ayat 63 yang mafhumnya:
“…walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Sudah jelas ! Apapun alasannya, kita tidak dapat menerima kebudayaan luar yang nyata bertentangan dengan keyakinan (akidah) kita. Janganlah kita mencemarkan akidah kita dengan toleransi dan setia kawan yang sebegini. Kerana kalau nak dikira yang paling bertoleransi, Islamlah yang paling toleransi di dunia.

Sudah berapa lamakah kita mendekati dan meraikan Valentine Day sepanjang hayat kita ini? Sedarlah akan kesilapan kita sekarang, agar jangan sampai terjunam lebih jauh lagi. Tidak perlu kita iri hati dan cemburu dengan upacara dan bentuk kasih sayang agama lain. Bukankah Allah itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Bukan hanya sehari untuk setahun. Dan bukan pula diselimuti dengan hawa nafsu. Tetapi yang jelas kasih sayang di dalam Islam lebih luas dari semua itu. Bahkan Islam itu merupakan penyelamat setelah manusia gagal dengan sistem-sistem lain.

Lihatlah kebangkitan Islam!!! Lihatlah kerosakan-kerosakan yang ditampilkan oleh peradaban Barat sama ada dalam media massa, televisyen dan sebagainya. Kerana sebenarnya Barat hanya mengenali perkara atau urusan yang bersifat materi. Hati mereka kosong dan mereka bagaikan 'robot' yang bernyawa.

MARILAH KITA ISTIQAMAH (BERPEGANG TEGUH) DENGAN AJARAN ISLAM

Semoga Allah memberikan kepada kita hidayahNya dan ketetapan hati untuk istiqamah dengan Islam sehingga hati kita menerima kebenaran serta melaksanakan ajarannya agar diri kita selalu taat kepada Allah s.w.t.

Berkata Peguam Zulkifli Nordin, "VALENTINE" adalah nama seorang paderi. Namanya St. Valentino. 14 Februari 1492 adalah hari kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol. Paderi ini umumkan atau isytiharkan hari tersebut sebagai hari 'kasih sayang' kerana padanya Islam adalah ZALIM!!! Tumbangnya Kerajaan Islam Sepanyol dirayakan sebagai Hari Valentine. Semoga Anda Semua Ambil Pengajaran!!! Jadi.. mengapa kita ingin menyambut Hari Valentine ini kerana hari itu adalah hari jatuhnya kerajaan Islam kita di Sepanyol..". wallahu a'-lam.

SELAMAT, SELAMAT, SELAMAT...

Assalamualaikum. Hari ini, Ahad, 14 Februari 2010 dan esok, Isnin, 15 Februari 2010 adalah cuti umum bagi seluruh warga Malaysia bagi memberikan penghormatan kepada rakan-rakan kita yang berbaangsa Tiong Hua menyambut sambutan Tahun Baru Cina.

Dikatakan pada tahun ini adalah tahun harimau yang dipercayai memberikan pelbagai kekuatan dari semua aspek kehidupan sama ada dari segi ekonomi, kekeluargaan dan sebagainya.


Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan “Selamat Tahun Baru Cina”, Kong Si Fa Cai, kepada rakan-rakan yang berbangsa Cina khususnya dan pembaca-pembaca blog ini umumnya. Selamat bercuti juga sehingga Selasa ini kepada semua rakan-rakan yang mendapatkan gajinya daripada majikan mereka serta selamat bercuti selama seminggu kepada rakan-rakan guru dan murid-murid/pelajar-pelajar yang sekolahnya mengambil cuti selama satu minggu hasil daripada gantian sekolah dan cuti peristiwa yang telah diluluskan oleh jabatan pelajaran negeri masing-masing sebelum ini. berseronoklah bersama-sama keluarga anda semua tanpa melupakan tanggungjawab kita kepada tugas yang diberikan walaupun sekolah saya bercuti hingga Hari Rabu sahaja namun saya tetap bergembira kerana berpeluang balik ke kampung menziarahi ayah dan ibu di sini. saya akan kembali semula ke Seremban pada malam Rabu ini insya Allah.

Okaylah, Moga-moga tahun Harimau ini akan memberikan seribu satu erti dan makna serta kebahagiaan kepada mereka yang mempercayainya. “Selamat Tahun Baru Cina” sekali lagi.

Sabtu, Februari 13, 2010

DAH GILA AGAKNYA!!!!!!

Allahu akbar!!! Tak dapat saya nak gambarkan betapa sedihnya perasaan bila terbaca berita ini melalui M-Star online. Saya ada tampalkan artikel ini di bawah. Mari kita baca sama-sama.

Bayi Baru Lahir Ditemui Terbakar Dalam Tong Sampah

KUALA KRAI: Mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui terbakar di dalam sebuah tong sampah besar milik Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) di Jalan Tengku Zainal Abidin di sini pagi tadi.

Tidak dapat dipastikan sama ada bayi yang masih bertali pusat dan uri itu telah dibakar hidup-hidup.

Ketika ditemui oleh tiga petugas MDKK yang sedang melakukan tugas memungut sampah di situ kira-kira 11 pagi, bayi yang berkulit cerah tersebut ditemui rentung pada sebahagian badan sementara kakinya juga terputus dari badannya.

Salah seorang petugas tersebut, Mohd Zain Pa'Su, 57, berkata pada mulanya beliau dan rakan-rakanya terkejut apabila mendapati tong sampah tersebut telah terbakar.

"Tong sampah ini turut dipenuhi dengan rumput, kayu dan zink yang didapati disusun dengan rapi seolah-olah bagi menyembunyikan sesuatu.

"Amat jarang tong sampah ini terbakar.

Disebabkan sukar untuk mengangkat sampah kerana tongnya terbakar, kami terpaksa memunggahnya.

"Tetapi alangkah terkejutnya kami apabila menemui mayat bayi lelaki di dalamnya. Ketika itu separuh badan bayi itu masih putih tetapi masih ada bara api pada keseluruhan badannya," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Abdul Rahim Che Ghani berkata berdasarkan siasatan, tong sampah itu dipercayai terbakar sejak pagi semalam.

"Tetapi disebabkan semalam bukan waktu untuk memungut sampah, tidak ada sesiapa yang menemui bayi itu sehinggalah kakitangan MDKK menjalankan tugas mereka pagi ini," katanya.

Beliau berkata para petugas MDKK tersebut telah membuat laporan kepada dua anggota polis bermotosikal yang melakukan rondaan di kawasan tersebut kira-kira 11.25 pagi tadi.

"Kita turut mengesyaki suspek sengaja membakar tong sampah itu untuk menghapuskan bahan bukti kerana bimbang ia akan diketahui umum," kata Abdul Rahim.

Beliau berkata pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Kuala Krai untuk mengetahui punca kematian bayi tersebut.

Katanya pihaknya juga percaya perbuatan itu dilakukan oleh remaja yang tinggal di sekitar bandar ini kerana beranggapan tidak mungkin orang luar akan berkereta bagitu jauh untuk membuang bayi tersebut.

Beliau meminta orang ramai agar memberi maklumat mengenai kejadian tersebut dan juga meminta hospital dan klinik memaklumkan kes pesakit yang baru bersalin.

Abdul Rahim berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. Pada Rabu lalu, kes buang bayi turut dilaporkan di Kampung Permatang Duyong, Melaka manakala sehari sebelum itu, satu kes turut berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Satu lagi kes dilaporkan berlaku di Kedah, Isnin lalu.- BERNAMA.
**********

Kenapa harusnya berlaku kejadian seperti ini? Tak adakah perasaan kasihan terhadap bayi yang tidak berdosa itu? Mengapakah sudah terantuk baru nak tengadah? Akibatnya, bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman manusia yang tidak berhati perut!!!

Pelbagai faktor bagi saya sehingga berlakunya kejadian seperti ini. mungkin si pembuat dosa ini adalah penzina yang sudah tidak mampu untuk menyorokkan lagi hasil zinanya, mungkin juga mereka yang tidak sanggup lagi menjadi ibu dan bapa kepada anak ini, mungkin juga mereka ini adalah haiwan yang agaknya melahirkan anak manusia. Oleh kerana bukan spesies mereka, lalu mereka bakar anak tersebut supaya hanya spesies mereka sahaja yang hidup dan ada di dalam keluarga mereka. entahlah... sedihnya yang teramat sangat apabila saya baca berita ini.

kepada si pembuat dosa ini, rasakanlah azab Allah di akhirat kelak di atas perbuatan kejam anda itu. Marilah kita doakan bersama-sama agar si pembuatnya itu mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya. Amin… Allahu akbar!!!

Khamis, Februari 04, 2010

kenapa sedih?

assalamualaikum. hmmm..... Dua tiga hari ni aku rassa sedih la. perasaan tu kini bersarang di lubuk hatiku ini. Pada pandangan luar, aku memang dilihat seorang yang ceria, gembira dan riang. Tapi pada hakikatnya sedih ini amat tidak tertanggung lagi di balik hati yang kecil ini.
Kenapa ya?

Entah la. Aku sendiri pun tak tahu kenapa, tapi terasalah akan kesedihan di hati ini. Mungkin Allah sengaja nak ujii akan kesabaran hati ini agaknya. selalu Dia berikan kegembiraan dalam hidupku. Agaknya, kata Allah, "apa ssalahnya sekali sekala bagi Hati Kristal ni sedih. biar dia ingat sikit pada Aku."
kalau begitulah hakikatnya, biarlah. Aku Redha.
Moga-moga selepas ini Allah mengembalikan ketenangan, kecerian, kegembiraan dan kerianganku seperti dahulu. Amin.

Isnin, Februari 01, 2010

aku kembali

assalamualaikum. lamanya tak update blog ni. apa punya tuan blog dah. buat blog tak reti-reti nak update blog. apa-apa pun saya nak minta maaf la kepada semua pembaca blog ni sebab dah lama tak update blog. ada kekangan-kekangan tertentu yang menyebabkan berlakunya perkara sedemikian.

tapi insya allah, saya akan kembali menerbitkan catatan-catatan saya sama ada yang dinukil sendiri mahupun menampal mana-mana artikel yang menarik yang difikirkan ilmiah untuk dikongsi.

Anyway, terima kasih kerana masih menyokong blog ini dengan terus melawatinya dari semasa ke semasa. andainya ada cerita-cerita menarik sudah pasti saya akan kongsikan ia bersama-sama anda. ada masa, sudi-sudikanlah utarakan pendapat, komen, dan apa saja yang menmarik di "kotak menjerit" di blog ni ya? hehehe, terima kasih.