Jumaat, Mei 30, 2014

Kepimpinan, amanah yang akan disoal

assalamualaikum. Firman Allah pada ayat 27-28 surah al-Anfaal : Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. Kepimpinan merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan umat manusia pada setiap zaman, tempat dan ketika. Melalui al-Quran, kita dapat mengambil pengajaran penting daripada beberapa kisah para Nabi Allah yang Allah paparkan kepada kita seperti kisah Nabi Ibrahim a.s yang berdepan dengan kesesatan Raja Namrud, Nabi Musa a.s pula berdepan dengan kezaliman Firaun, manakala junjungan besar Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w berdepan dengan keangkuhan, kejahilan dan kedengkian Abu Lahab, Abu Jahal dan pemimpin-pemimpin jahiliah yang lain. Setiap masa dan tempat akan sentiasa berlaku pertembungan antara yang hak dan yang batil, kebenaran dan kesesatan, keadilan dan kezaliman, Islam dan jahiliah, cahaya keimanan dan kegelapan kekufuran sehinggalah kemenangan akhirnya berpihak kepada Islam. Allah s.w.t menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat bagi sesiapa yang bijak memilih pemimpin yang adil serta menentang sebarang bentuk ketidakadilan dan kezaliman yang ada. Sebagai manusia yang muslim maka kita diajar oleh agama kita agar bersifat benar dalam tiap tutur kata, tindakan serta perbuatan kita. Apatah lagi jika kita adalah seorang pemimpin kepada masyarakat, maka adalah sesuatu yang amat hina mengaibkan apabila kita bercakap bohong atau menipu demi meraih sokongan orang ramai kepada kita. Ingatlah amaran Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim : إِيَّاكُم وَالْكَذِبَ ، فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَلاَ يَزَالُ الْرجل يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّاباً - رواه البخاري ومسلم Maksudnya : Berhatilah kamu dengan penipuan, sesungguhnya penipuan membawa kepada kejahatan (maksiat) dan kejahatan (maksiat) membawa kepada neraka. Seseorang itu berterusan dan bersunguh-sungguh pada menipu (berbohong) sehinggalah dia dicatatkan sebagai penipu (di sisi Allah s.w.t). Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur : Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. Ketika membicarakan tentang amanah kepimpinan maka ianya bukanlah sesuatu yang boleh dianggap main-main atau remeh-temeh kerana ia adalah penentu kepada kebahagiaan atau penderitaan hidup manusia yang dipimpin di dunia dan juga di akhirat. Ingatlah pesanan Nabi s.a.w kepada seorang sahabat yang bernama Abu Dzar yang datang bertanyakan kepada Nabi s.a.w tentang jawatannya ketika sahabat-sahabat yang lain diberikan jawatan oleh Nabi s.a.w sedangkan Abu Dzar sendiri tidak diberi sebarang jawatan lalu Baginda Nabi s.a.w bersabda kepada Abu Dzar: يَا أَبَا ذَرٍّ ! إِنَّكَ ضَعِيفٌ ، وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ ، وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْىٌ وَنَدَامَةٌ إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا ، وَأَدَّى الَّذِى عَلَيْهِ فِيهَا - رواه مسلم Maksudnya : Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan akan menimpa (mereka yang berjawatan) kecuali mereka yang telah mengambilnya dengan hak serta menunaikan setiap tanggungjawabnya. Ketika Khalifah Harun ar-Rasyid menunaikan ibadah haji di Makkah, dia telah berjumpa dengan seorang Ulama’ yang sedang mengembala kambing-kambingnya di atas Jabal Rahmah berhampiran dengan padang Arafah, lalu ulama’ itu berkata kepadanya : “Wahai Harun ar-Rasyid! Aku ini hanya seorang pengembala kambing sahaja, maka aku sudah pasti akan ditanya oleh Allah tentang diriku dan kambing-kambing peliharaanku sahaja di akhirat nanti, sedangkan engkau yang dilantik menjadi khalifah maka engkau bukan sahaja akan ditanya di akhirat nanti tentang rakyat yang sedang berada di bumi Arafah pada hari ini malah seluruh rakyat yang berada di bawah pemerintahanmu. Jika engkau berjaya menunaikan amanah kepimpinan dengan adil maka berjaya dan berbahagialah engkau di sana. Tetapi sebaliknya, jika sekiranya engkau mengkhianati amanah ini dan melakukan kezaliman terhadap rakyatmu maka celaka dan menderitalah engkau di dalam neraka Allah”. Kisah ini memperlihatkan kepada kita semua bagaimana pentingnya gabungan dan kesepakatan antara umara’ yakni pemimpin dengan ulama’ dalam menguruskan urusan negara berdasarkan kehendak agama dalam memastikan negara diberkati dan dirahmati Allah s.w.t dan bukannya ditimpa pelbagai bala’ dan musibah silih berganti siang dan malam akibat penderhakaan terhadap Allah. Allah s.w.t telah menjanjikan doa yang sentiasa dimakbulkan bagi seorang pemimpin yang adil. Begitu juga di akhirat nanti, pemimpin yang adil akan dipayungi di bawah naungan atau teduhan bayangan ‘Arasy Allah. Ia bukan suatu janji yang kecil dan ia juga bukan suatu janji yang mudah dicapai kecuali bagi seorang pemimpin yang sentiasa bertaqwa dalam menguruskan amanah kepimpinan yang telah diletakkan di atas bahunya. Imam as-Syafi’e rahimahullah pernah berwasiat tentang 5 perkara yang mesti ada pada setiap pemimpin yang benar-benar bertaqwa kepada Allah serta jujur dalam kepimpinannya, iaitu [1] hendaklah benar dalam percakapan dan pertuturan, [2] hendaklah menjaga rahsia, [3] hendaklah menunaikan segala janji-janjinya, [4] hendaklah sentiasa memberi nasihat kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, dan yang ke [5] hendaklah menunaikan segala kewajipan dan amanah yang telah diamanahkan kepadanya dengan telus dan jujur. Sekiranya negeri atau negara atau dunia dipimpin oleh pemimpin yang beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t, nescaya rakyat akan menikmati kehidupan yang diberkati dan dirahmati oleh Allah. Tidak akan berlaku penyelewengan dan pecah amanah terhadap harta benda Negara. Rakyat jelata tidak akan dizalimi bahkan mereka akan hidup dalam limpahan rahmat dari Yang Maha Esa. Akan tetapi apabila yang di atas yakni pemimpin tidak bersifat amanah, maka yang di bawah yakni rakyat jelata akan turut tidak amanah tanpa rasa segan silu dan tanpa rasa bersalah. Benarlah kata penyair, النَّاسُ عَلَي دِيْنِ مُلُوْكِهِمْ Maksudnya : Manusia mengikut agama pemimpin-pemimpin mereka. Apabila yang di atas yakni pemimpin sibuk melonggokkan harta kekayaan dan kemewahan dunia maka begitulah juga tabiat yang di bawah yakni rakyat jelata, apabila yang di atas yakni pemimpin seronok dengan hiburan yang melalaikan maka begitulah juga rentak hidup yang di bawah yakni rakyat bawahan, mereka juga akan lalai dihanyutkan oleh dunia. Sebaliknya jika pemimpin yang ada merupakan pemimpin yang taat dan patuh kepada perintah Allah serta melakukan amal soleh dan bersifat amanah serta jujur dalam kepimpinannya, maka rakyat di bawahnya juga akan mengikut jejak langkah pemimpin yang seperti ini. wallahu a’-lam. Dipetik dan diubahsuai daripada halaman blog http://seruankhatib.blogspot.com/2012/09/khutbah-kepimpinan-amanah-yang-akan.html