Isnin, Disember 07, 2009

biasalah... selepas hujan

Assalamualaikum. Sememangnya kita tahu, musim sekarang adalah musim tengkujuh. Musim bah. Musim banjir. Tapi sehari dua ni hujan di Negeri Kelantan dan Terengganu beransur kurang. Malahan, sudah dua hari, (semalam dan hari ini) Kelantan tidak dilanda hujan. Namun tidak bererti musim tengkujuh sudah berakhir kerana kita masih lagi berada di dalam edahnya lagi. Paling-paling awal, musim tengkujuh ini akan melabuhkan tirainya pada bulan Januari nanti. Jadi, berwaspadalah kita sebagai orang-orang yang terlibat secara langsung dengan banjir ini.
Bukannya musim tengkujuh yang ingin saya ulas di dalam tulisan kali ini. Tetapi, pada kali ini, saya ingin memperkatakan serba sedikit mengenai penyakit-penyakit yang akan menyinggahi diri kita selepas hujan. Terdapat pelbagai penyakit yang biasanya menghinggapi diri kita terutamanya selepas hujan begini. Antaranya, penyakit Taun, Cirit-birit, demam, batuk, selesema dan sebagainya.

Penyakit-penyakit ini biasanya mendatangi diri kita seandainya kita tidak menjaga makanan, minuman dan kebersihan diri serta pakaian. Tambahan pula, pakaian yang kita basuh dan jemur, ianya tidak begitu kering dan lembap akibat daripada matahari yang tidak memunculkan dirinya menyinari bumi yang bertuah ini.

Di dalam keluarga saya sendiri, sudah ada tanda-tanda penyakit-penyakit seperti ini akan singgah. Adik saya misalnya, ketika ini sering batuk-batuk, selesema dan sakit-sakit kepala. Begitu juga dengan anak saudara saya yang paling kecil, berusia lima bulan, turut batuk-batuk dan panas-panas badan. Saya sendiri rasa tidak sedap badan. Lemah-lemah badan dan lesu dua tiga hari ini. Hal ini berpunca daripada perubahan cuaca yang kadang-kadangg panas dan kadang-kadang lembap. Jadi, saya mengambil tindakan untuk memperbanyakkan meminum air masak agar bahagian dalam badan sentiasa dikitar dengan air tersebut melalui pembuangan air kecil dan sebagainya. Jika kita banyak minum air massak, badan kita akan sedikit berpeluh pada musim-musim begini. Ia sedikit sebanyak dapat mengeluarkan toksid-toksid yang terdapat di dalam badan kita melalui peluh.

Jadi, jika pembaca-pembaca blog ini yang mula berasa tidak sedap badan, lakukanlah pemeriksaan d klinik-klinik berhampiran dan segeralah berjumpa dengan doctor agar penyakit-penyakit tersebut dapat dikawal dengan cepat agar ianya tidak menjejaskan kesihatan kita. Insya allah.

Jumaat, Disember 04, 2009

Bergembiralah selagi diberi peluang.

Assalamualaikum. Kita sering ketawa bilamana diberikan kegembiraan terhadap diri kita dan menangis bilamana musibah melanda diri. Itu adalah sifat yang normal yang dipunyai insan bernama manusia.
Tapi tahukah kita bahawa, ada sesetengah orang, dia akan menangis bila gembira dan akan tersenyum bila berduka? Dia menangis kerana terlalu bersyukur di atas nikmat Allah yang memberikan kegembiraan kepada dirinya dan bersabar sambil tersenyum menerima musibah Allah dengan harapan dapat menangis lagi bilamana Allah mengurniakan kegembiraan kepada dirinya. Payahkan nak dapat seperti itu? Hanya mereka yang mampu sahaja yang boleh berbuat demikian.

Sebenarnya, tidak salah untuk kita bergembira dan bersukaria selagi kewajipan kita terhadap Allah Azza Wajalla tidak kita lupakan. Ketawa, senyum mampu menggerakkan minda kita agar ianya lebih positif dalam melakukan sesuatu kerja. Namun jangan keterlaluan kerana dikhuatiri hilai tawa dan senyum ria tersebut bertukar sekelip mata dengan esak tangis dan deraian air mata. Kerana hidup kita ibarat roda. Kekadang kita berada di atas dan kekadang kita berada di bawah. Bila kita berada di atas, kita akan rasa kita cukup gah dan mampu tersenyum dan tertawa. Namun, bila kita berada di bawah, kita akan rasa pula betapa siksanya dipijak oleh orang yang berada di atas dan baru kita sedar, kita sudah berada di zon kedukaan dan bukannya zon kegembiraan seperti sebelum ini.

Bergembiralah seadanya agar bila kita bersedih, tidakterasa sangat kesedihan tersebut. Dan, bersedihlah sekadarnya agar kita tidak menyalahkan Allah dalam musibah yang kita terima itu. Allah maha Adil. Dia maha pengasih dan penyayang. Dia sengaja menguji makhluk-makhlukNya untuk Dia mempertingkatkan keimanan makhluk-makhlukNya. Jika kita Berjaya dengan ujian Allah bermakna iman di dada kita akan bertambah dan meningkat serta ketaqwaan kita kepada Allah semakin kuat ibarat, bila sudah lulus peperiksaan, temu duga dan seumpamanya, kita akan dinaikkan pangkat dan jawatan yang lebih tinggi. Fikir-fikirkanlah. Wallahu a’-lam.

Khamis, Disember 03, 2009

Berhati-hatilah.

Assalamualaikum. Seperti yang kita tahu, banjir khususnya banjir gelombang kedua telah melanda Negara kita ketika ini. Negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang khususnya, adalah negeri-negeri yang terlibat secara langgsung dengan banjir ini. Oleh itu, semua penduduk di tiga negeri ini khususnya dan seluruh Malaysia Umumnya disaran berwaspada dengan semua keadaan.
Ibu bapa disarankan supaya berwaspada terhadap anak-anak mereka kerana dikhuatiri lemas akibat daripada bermain banjir ini. Ini kerana, setakat tulisan ini diterbitkan, sudah seramai lima orang di Kelantan telah menjadi korban akibat banjir yang melanda negeri ini.

Berhati-hattilah dengan keadaan ini agar angka tersebut tidak bertambah kepada jumlah yang lebih ramai lagi. Biarlah ianya setakat lima orang sahaja. Kepada keluarga mereka yang terlibat dengan korban akibat banjir ini, sekalung ucapan takziah saya ucapkan dan bersabarlah di atas ujian Allah ini.

Manakala, kepada ibu bapa yang masih punyai anak-anak kecil, pantau-pantaulah pergerakan anak-anak tersebut agar ianya tidak bermain dengan air banjir. Jangan biarkan mereka dan kita bergembira buat seketika dan kita berduka selama-lamanya akibat kehilangan mereka. Biarkan mereka menangis kerana tidak dapat bermain air banjir daripada kita menangis kerana kehilangan mereka. Mereka menangis seketika, sedangkan kita akan menangis selama-lamanya. Berfikirlah untuk melakukan sesuatu tindakan agar tindakan kita sentiasa menjadi tindakan yang betul dan hasil yang sempurna. Wallahu a’-lam.

Rabu, Disember 02, 2009

Penjualan Paket Rokok Kurang 20 Batang Dilarang Mulai 1 Jun

assalamualaikum. lama tak update blog ni. hmmm... menarik. tiba-tiba tengah-tengah hujan yang sejuk ni saya terbaca satu artikel dari M Star online. menarik bunyinya. jum baca artikel yang saya tampalkan di bawah ni.


Rabu Disember 2, 2009


KUALA LUMPUR: Penjualan paket rokok yang mengandungi kurang daripada 20 batang adalah dilarang mulai 1 Jun tahun depan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sejajar dengan keputusan itu, pihak syarikat rokok diberi masa tujuh bulan mulai sekarang hingga 31 Mei ini untuk menghabiskan stok paket rokok yang kurang daripada 20 batang rokok di pasaran.
"Kerajaan tidak akan melayan sebarang rayuan ke atas perkara ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan pengilangan dan penjualan paket rokok kurang dari 20 batang rokok mulai 1 Jun 2010," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata keputusan itu telah dipersetujui oleh semua syarikat rokok dan kerajaan berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama syarikat-syarikat tersebut.

"Larangan pengilangan dan penjualan rokok paket rokok yang mengandungi kurang dari 20 batang sebenarnya telahpun diwartakan pada 23 Sept 2004 melalui peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, bagaimanapun penguatkuasaan terhadap larangan tersebut telah ditangguhkan selepas kerajaan mempertimbangkan rayuan daripada syarikat-syarikat rokok," katanya.
Liow berkata sehubungan dengan penguatkuasaan itu, sesiapa yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Menurut beliau lagi, larangan itu juga selaras dengan saranan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Larangan penjualan paket rokok bungkusan kecil ini adalah bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan golongan kanak-kanak dan remaja untuk membeli dan memulakan tabiat merokok yang tidak sihat dan merugikan," katanya. BERNAMA

***************

harapan saya agar usaha kerajaan ini dapat mengurangkan penggemar-penggemar rokok dalam kanak kanak-kanak dan remaja khususnya. langkah ini agak baik kerana ia dapat mengurangkan sedikit tabiat yang kurang sihat terutamanya kanak-kanak dan remaja. semoga mereka sedar, usaha kerajaan ini adalah untuk memberikan kebaikan kepada mereka juga. insya-allah.

Ahad, November 22, 2009

cuti sekolah dah bermula!!!

Assalamualaikum. sedar tak sedar, cuti sekolah sudah bermula mulai 20/21 November sehingga 2/3 Januari 2010 akan datang. cuti-cuti sekolah ni yang paling seronok adalah murid-murid. tidak kurang cikgunya juga. hehehe. maklumlah kurang lebih 40 hari cuti. lama tuuuu. selamat bercutilah kepada semua murid-murid dan rakan-rakan guru yang bercuti. tapi ingat, jangan pula adik-adik yang bercuti ni bermain dengan banjir. maklumlah musim-musim banjir begini. jaga keselamatan agar dapat kembali semula ke sekolah tahun depan dengan selamat. jangan ada adik-adik yang menjadi mangsa korban banjir. sedih ibu-ibu bapa nanti atas kehilangan adik-adik. kerana, adik-adiklah permata hati mereka.

rasanya masih tidak terlewat untuk saya ucapkan sekalung tahniah kepada adik-adik yang mempunyai keputusan cemerlang di dalam UPSR yang diumumkan baru-baru ini. usaha adik-adik berkorban masa tidak sia-sia kerana hasilnya telah adik-adik tuai dengan menunjukkan keputusan yang cemerlang kepada semua orang. bagi adik-adik yang tidak berjaya, jangan putus asa kerana sekali adik-adik gagal tak bererti adik-adik akan gagal selamanya, cuba lagi dalam peperiksaan PMR yang akan datang. tunjukkan bahawa adik-adik sebenarnya sememangnya cemerlang. cuma dalam UPSR ni belum ada rezeki lagi saja untuk mempamerkan kecemerlangan adik-adik. selamat berusaha.

Namun demikian adik-adik kita yang berada di tingkatan 5 dan tingkatan 6 atas sekarang sedang sibuk bertarung dengan dua peeriksaan besar iaitu Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mana peperiksaan-peperiksaan tersebut merupakan peperiksaan-peperiksaan yang bakal menentukan hala tuju dan masa depan mereka. lakukanlah yang terbaik demi masa depan adik-adik agar ianya bakal memberikan sinar bahagia sekurang-kurangnya kepada diri seterusnya mengharumkan nama keluarga dan sekolah tercinta. ucapan istimewa kepada adik saya yang bungsu yang juga terlibat secara langsung dalam peperiksaan SPM ni. "buak molek perekso tu cek we. biar buleh keputuse paling cemerle skali, biar bulih masuk universiti, biar bulih sekure-kurenyo ore kato paling-paling tidok pun khijo sedap seksok. jange malu ma abah." kepada semua calon SPM dan STPM, selamat berusaha dan teruskan menempa kejayaan.

Kepada rakan-rakan guru yang sedang mengikuti Program Guru Sekolah Rendah (PGSR) di institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia, selamat meneruskan cita-cita anda menggenggam segulung ijazah. saya mohon juga, tapi belum ada rezeki lagi. nampak gaya kena mohon lagilah tahun depan. belajar rajin-rajin. jangan ponteng kuliah. "wek malu cikgu yo ponteng koleh. aja anak murid jangan ponteng, ekau lak yang ponteng. buek habihkan boreh yo. Bolajar rajin-rajin. jangan maleh-maleh"

Kepada rakan-rakan guru, jangan lupa kembali ke sekolah 3/4 Januari nanti dengan idea-idea yang segar bagi membangunkan lagi sahsiah murid-murid kita. jangan lemah semangat untuk mendidik anak bangsa kita dan jangan luntur semangat untuk membawa anak-anak didik kita ke mercu kejayaan walaupun ditimpa dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang hebat-hebat pada masa kini. selamat bercuti.

Selasa, November 17, 2009

BARU AKU TAHU

Baru aku tahu,
Sebab aku cikgu aku hidup selesa,
Sebab aku cikgu aku diterima oleh masyarakat,
Sebab aku cikgu aku dikasihi rakan,
Sebab aku cikgu aku disegani lawan,
Sebab aku cikgu aku dihormati budak-budak,
Sebab aku cikgu aku didikasihi orang tua
Dan Sebab aku cikgulah,
Aku dicintai wanita.

Tapi,
Baru aku tahu,
Sebab aku buta aku segan untuk dibawa berjumpa oleh sang kekasih kepada kawan-kawannya,
Sebab aku buta aku segan untuk dijumpai sang kekasih,
Sebab aku buta aku sukar untuk berjumpa sang kekasih,
Dengan berbagai-bagai alasan yang diberi,
Sebab aku buta aku payah untuk dibawa keluar oleh sang kekasih,
Untuk hanya sekadar bersiar-siar,
Dan sebab aku butalah,
Aku segan untuk dibawa oleh rakan ke tempat ramai.

Kenapa aku cikgu aku diterima oleh masyarakat?
Tetapi,
Kenapa kerana disebabkan aku buta,
Aku terpaksa terima semua keadaan-keadaan itu?
Kenapa sedikit kesenangan yang aku miliki ingin sang kekasih nikmati dan berkongsi bersama-samaku?
Tetapi kenapa diri aku tidak sanggup dimasyhurkannya kepada kawan-kawannya?
Kenapa sang kekasih tidak sanggup mengatakan bahawa “si buta inilah kekasihku”
Kepada kawan-kawannya dengan bangga!

Apakah sebenarnya kehendak sang kekasih ini?
Adakah semata-mata kerana sedikit kesenangan yang aku miliki ingin dipunyaiku,
Ataupun diriku sendiri?

Kalaulah diriku yang ingin dimiliki
Kenapa tidak sanggup sang kekasih lakukan semua itu?
Aku tidak perlukan kesenangannya!
Cukup sekadar orang tahu bahawa akulah kekasihnya.
Cukup!!!!!!
Tak perlu lebih daripada itu!!!

Mungkin diriku tidak perlu dipunyai sang kekasih,
Cukup sekadar sedikit kesenangan yang aku miliki dikongsinya.
Kalaulah “diriku” yang ingin dipunyai
Dan bukannya kesenanganku,
Orang lain lebih layak untuk dirinya.

Aku apa ada?
Sekadar sedikit kesenangan yang orang-orang lain juga mampu memilikinya.

Doctor ke,
Pengurus syarikat ke,
Pengurus bank ke,
Juruterbang ke,
Pegawai-pegawai kerajaan ke,
Pelumba kereta ke,
Ataupun setidak-tidaknya cikgu-cikgu lain yang sama sepertiku,

Tapi yang penting,
Mereka semua tidak buta seperti aku.
Kan???
Betul tak?
Betul tak!!!!!
Hmm… Nasib… nasib......

Sabtu, Oktober 31, 2009

PRIHATINKAH NEGARA KITA DALAM ERTI KATA YANG SEBENARNYA?

assalamualaikum. Pada hari khamis, 29 Oktober yang lalu, sekolah saya telah didatangi oleh pelajar-pelajar dari Fakulti Pendidikan, Universiti Terbuka Malaysia. Kedatangan mereka semata-mata untuk melawat sekolah di samping mencari sedikit maklumat berkenaan dengan Pendidikan Khas khususnya maklumat tentang perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran (P & P) di sekolah ini.

Saya telah ditanya pelbagai soalan oleh mereka bermula dengan soalan yang berkaitan dengan tujuan lawatan mereka hinggalah ke soalan-soalanperibadi. Segala maklumat yang dapat saya berikan berkenaan dengan soalan mereka, dapatlah saya jawab. Manakala yang tidak dapat dijawab oleh saya, maka saya diam sahajalah. Paling tidak pun saya senyum tanda isyarat bahawa saya tidak dapat menjawab soalan mereka.

Antara persoalan yang mereka timbulkan ialah, berkenaan dengan penggunaan computer dalam kalangan golongan cacat penglihatan.

Mereka bertanya, bagaimana mengetahui huruf-huruf yang terdapat pada papan kekunci “Key Board” pada computer. Di samping itu mereka juga bertanya penggunaan printer Braille “Embosser” dan lain-lain. Selain itu juga, mereka bertanya berkenaan dengan penggunaan pembaca skrin “Screen Reader” pada computer yang digunakan oleh golongan cacat penglihatan. Antara persoalan tersebut ialah, bagaimana menggunakan computer, bagaimana skrin dibaca oleh pembaca skrin “Screen Reader”, bagaimana membezakan huruf besar dan huruf kecil pada skrin, bagaimana untuk memahami pembacaan yang disampaikan oleh pembaca skrin “Screen Reader”, dan paling menarik yang dapat saya bawakan di sini ialah, satu persoalan berkenaan dengan inisiatif yang diambil oleh negara kita untuk membangunkan perisian pembaca skrin kita sendiri yang boleh membaca dengan fasih perkataan-perkataan dalam Bahasa Malaysia khususnya dan Bahasa-bahasa lain umumnya yang masih tidak Nampak kewujudannya.

Persoalan sebegini sebenarnya sudah lama kedengaran oleh mereka yang mengunapakai perisian pembaca skrin ini sendiri khususnya mereka yang berada di Malaysia serta mereka yang lain yang tidak menggunakan perisian ini secara khusus. Kedengaran juga desas-desus bahawa perisian seperti ini sedang diusahakan untuk dibangunkan di negara kita satu ketika dahulu. namun sehingga ke hari ini kewujudannya masih dipersoalkan lantaran daripada bukti kesungguhannya masih lagi diselimuti kabus yang tebal. Sebagai pengetahuan pembaca, perisian pembaca skrin yang digunakan oleh golongan cacat penglihatan di Negara ini hanya boleh menyebut dengan fasih perkataan di dalam Bahasa Inggeris sahaja. Sekiranya perkataan-perkataan Bahasa Malaysia ditulis, maka pembaca skrin ini akan membacanya dalam “Slang” Bahasa Inggeris. Sebagai contoh, jika kita menulis perkataan “baca”, maka pembaca skrin ini akan menyebut “baka” bukan “baca” seperti yang kita sebut. Begitu juga dengan perkataan “orang”. Ia akan menyebut dengan sebutan “oreng” dan bukannya “orang”.

Mengapakah Negara kita yang semaju ini tidak mengambil inisiatif untuk membina perisian pembaca ini sendiri? Sedangkan kita tahu, Negara-negara barat lain berlumba-lumba untuk mencipta sesuatu yang baru khususnya untuk rakyatnya yang berkeperluan khas dari segi penglihatan ini. Tidak cukup dengan itu, mereka mengeksport pula produk-produk mereka ke luar Negara termasuk Negara kita untuk dibeli dan diguna oleh golongan ini. Adakah kita ingin menggunakan sahaja produk-produk mereka tanpa berusaha untuk menciptanya sendiri? Sampai bilakah kita harus bergantung dengan produk-produk dari negara luar ini untuk kita gunapakai di dalam Negara kita?

Sepatutnya, pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya kepada golongan ini harus memikirkan perkara ini terlebih awal lagi sebelum ianya disuarakan. Bukankah kita selalu melaung-laungkan bahawa kita merupakan “Negara membangun”? kita juga sering melaung-laungkan bahawa nengara kita adalah “Negara Prihatin”. Prihatinkah sebenarnya Negara kita kepada mereka yang berkeperluan seperti ini? Jika prihatin, mengapakah inisiatif ini tidak boleh diambil untuk membangunkan kemudahan tersebut? Jika ada yang mengeluarkan kenyataan bahawa Negara kita prihatin. kita telah banyak menyediakan kemudahan kepada golongan cacat penglihatan khususnya, saya berpendapat bahawa ianya hanya kenyataan semata-mata. Tidak lebih daripada itu. Mengapa saya berpendapat demekian? Kemudahan-kemudahan yang disediakan sebenarnya hanya “melepaskan batuk itangga” sahaja. Asalkan ada, sudah memadai. Tidak dapat dimanfaatkan secara maksimum oleh golongan sasar.

Perisian pembaca skrin dalam Bahasa Malaysia dan perisian-perisian lain untuk golongan ini sepatutnya boleh dibina untuk keselesaan penggunanya dan sebagai pengurangan kebergantungan Negara kita kepada produk-produk luar. Inisiatif ini sepatutnya perlu dipikul oleh mereka yang bertanggungjawab agar penggunanya dapat menikmatinya secara menyeluruh akan kemudahan-kemudahan seperti ini. Selain itu juga, ianya dapat menjimatkan perbelanjaan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyediakan perisian-perisiaan seperti ini kerana perisian-perisian seperti ini harganya terlalu mahal. Sebagai contoh, perisian pembaca skrin “Screen Reader” JAWS misalnya, berharga lebih daripada USD900. jika ditukar kepada Ringgit Malaysia, ianya boleh mencecah sehingga RM3,000 seunit. Tidakkah satu pembaziran besar yang terpaksa ditanggung oleh penyedia-penyedia perisian ini khususnya di sekolah-sekolah dan institusi-institusi berkaitan? Jika inya dibina di Negara kita sendiri, sudah pasti harganya jauh lebih rendah daripada itu.

Itu baru seunit, bayangkan berunit-unit lagi kita perlukan untuk memenuhi keperluan golongan ini khususnya di sekolah-sekolah dan institusi-institusi berkaitan. Itu baru satu perisian, belum lagi perisian-perisian lain seperti Pembesar teks, pembantu pengimbas dan lain-lain lagi. Pendek kata, berpuluh-puluh ribu, malahan tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa, berjuta-juta ringgit erpaksa dikeluarkan untuk membiayai kos pengeksportan perisian-perisian seperti ini.

Diharapkan dalam masa terdekat ini, mereka yang bertanggungjawab dapat membuka mata seluas-luasnya dan bangun dari lena yang panjang serta mimpi yang indah bagi mencari jalan penyelesaian untuk menangani akan perkara ini dan ianya dilaksanakan secepat mungkin bagi memberikan keselesaan yang maksimum kepada pengguna-penggunanya. Jika Negara kita benar-benar prihatin, tunjukkanlah keprihatinan yang sebenarnya kepada golongan sasar seperti ini. Golongan seperti inilah sepatutnya difikirkan akan kemudahan mereka agar ianya dapat berdiri setanding dengan warganegara kita yang lain. Fikir-fikirkanlah.

Jumaat, Oktober 30, 2009

Pengiraan merit ke IPTA guna gred baru mulai tahun hadapan

assalamualaikum. satu lagi perubahan akan berlaku dalam sistem pendidikan negara kita di mana pengiraan merit untuk membolehkan kemasukan ke Institut Pendidikan Tinggi Awam akan di ubah mulai tahun hadapan. maklumat lanjut seperti yang dilampirkan di dalam berita di bawah.

mari kita baca sama-sama.


Jumaat Oktober 30, 2009


 PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, pengiraan merit untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dan setaraf akan menggunakan penggredan baru.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata perubahan itu selaras dengan sistem penggredan baru Kementerian Pelajaran yang memperkenalkan peringkat kelulusan A+ untuk pelajar SPM 2009 berbanding gred 1A sebelum ini .

"Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik bagi memasuki IPTA supaya ada perbezaan contohnya antara A+ dengan A dengan A," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Melalui sistem baru itu, pelajar yang mendapat A akan dikategorikan kepada A+, A dan A dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14, katanya.

Beliau berkata gred 3B ditukar kepada B+ dengan merit 12, 4B kepada B(10), 5C kepada C+ (lapan), 6C kepada C (enam), 7D kepada D(empat), 8E kepada E (dua) dan 9G kepada G dengan merit sifar.

Bagaimanapun Dr Radin Umar berkata kaedah baru itu akan mengambil kira syarat khas kemasukan program pengajian seperti gred 6C (kepujian) sebelum ini, tarafnya tidak akan diturunkan ke gred lebih rendah.

"Pemprosesan, pengiraan markah merit, syarat am universiti, syarat khas program pengajian serta pemilihan calon akan dilaksanakan secara dua kaedah dalam proses transisi iaitu kaedah sedia ada bagi lepasan SPM 2008 dan sebelumnya serta kaedah terkini bagi calon lepasan SPM 2009," katanya.

Beliau berkata ini bagi memastikan peluang pelajar lepasan SPM terdahulu untuk melanjutkan pengajian ke IPTA tidak terjejas.

Katanya pelaksanaan kaedah pengiraan markah merit terkini itu akan disebarkan melalui Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 mulai Januari hingga Mac tahun depan di 10 zon terpilih seluruh negara.

"Kementerian juga akan mengadakan taklimat kepada guru bimbingan dan kaunseling serta mengemas kini maklumat itu melalui cetakan dan agihan brosur ke Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah serta di laman web kementerian (Pengajian Tinggi) dan Kementerian Pelajaran," kata Dr Radin Umar. BERNAMA


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

diharapkan dengan perubahan sistem pentaksiran ini akan menambahbaikkan lagi sistem pendidikan negara setaraf ataupun lebih baik lagi dengan sistem pendidikan di negara-negara maju yang lain.

Sabtu, Oktober 24, 2009

Ke Manakah Murid-Murid Bermasalah Penglihatan Selepas Sekolah Menengah?

Firman Allah Dalam Surah Ibrahim Ayat 7 yang bermaksud: “dan ingatlah Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azabku amatlah pedih”

Murid-murid biasanya akan mencari haluan mereka masing-masing selepas mereka menamatkan pengajian di peringkat menengah rendah. Dengan cara memilih aliran mereka di peringkat menengah atas (di tingkatan 4), sama ada aliran sastera, aliran Sains dan sebagainya, mereka sudah mampu menentukan nasib mereka apabila menamatkan pengajian di peringkat SPM. Mereka akan memilih pengkhususan yang mereka minati di Tingkatan 6, Institut-institut Pengajian Tinggi dan pusat-pusat latihan kemahiran bagi mencorakkan diri mereka sebagai itu dan ini setelah tamat kelak. Keluarnya mereka daripada institute-institut pengajian tinggi dan pusat-pusat latihan kemahiran, mereka sudah boleh mencari pendapatan masing-masing untuk menyara setidak-tidaknya hidup mereka sendiri.

Namun, itu akan hanya berlaku kepada murid-murid yang cukup sifat fizikalnya. Dengan kata lain murid-murid itu adalah murid-murid normal. Sedarkah kita, ke manakah hala tuju murid-murid bermasalah penglihatan setelah mereka menamatkan pelajaran mereka nanti? Banyakkah pilihan-pilihan kursus yang sesuai mereka ikuti di institute-institut pengajian tinggi dan pusat-pusat latihan kemahiran?

Sudah tentu jawapannya tidak. Mereka hanya diberi peluang untuk mengikuti kursus-kursus tertentu sahaja seperti pendidikan, kesusasteraan, bimbingan dan kaunseling, undang-undang dan beberapa kursus lain yang tidak melibatkan kemahiran.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab, mereka seharusnya sedar akan perkara ini. Pihak-pihak tertentu sepatutnya memberi peluang kepada murid-murid masalah penglihatan ini mengikuti kursus-kursus yang berbentuk kemahiran ini. Jika ada pun kursus-kursus kemahiran, ia hanya tertumpu kepada kursus-kursus urut, anyaman dan telefonis sahaja yang mereka dapat ikut. Itupun hanya NGO-NGO yang berkepentingan kepada golongan ini sahaja yang memberi peluang mengadakan kursus-kursus tersebut.

Sedarkah mereka, sebenarnya, banyak lagi kemahiran-kemahiran golongan seperti ini boleh lakukan selain daripada yang dinyatakan di atas? Misalnya, kemahiran mengacara, menjadi DJ Radio, menjadi penyanyi, pemain muzik dan lain-lain. mengapakah mereka yang bertanggungjawab sering pandang enteng akan kebolehan mereka ini?

Selain itu juga, terdapat hafiz-hafiz al-Quran dari golongan ini yang mempunyai tauliah dan sijil dari institute-institut tahfiz yang bertauliah, qari-qari yang boleh membaca al-Quran dengan baik, punyai suara yang lunak untuk mengalunkan azan dan lain-lain serta macam-macam kemahiran lagi mereka punyai. Mengapa kemahiran-kemahiran ini tidak dipandang serius oleh mereka yang bertanggungjawab dalam bidang ini? Sedangkan kita sudah lebih separuh abad merdeka. Sepatutnya, sudah lama kemahiran-kemahiran daripada golongan ini diketengahkan agar ia tidak hanya semata-mata menjadi kemahiran yang dipendamkan tanpa digali kelebihannya dan dimanfaatkan kebolehan mereka.

Sedarkah kita sebenarnya, andainya kita gali akan kemahiran-kemahiran mereka sedalam-dalamnya, kita sudah mampu membantu mereka menyara setidak-tidaknya hidup mereka sendiri? Malahan, jika mereka sudah punyai isteri dan anak, mereka sekaligus akan menyara isteri dan anak mereka dengan bantuan kita itu? Mereka tidak perlukan wang yang dihulur tanpa sebarang pekerjaan yang dilakukan, dengan kata lain, mereka tidak perlukan sedekah daripada kita. Mereka juga seperti insan biasa, memerlukan wang untuk menyara keluarga dengan hasil titik peluh mereka sendiri. Mereka perlukan pekerjaan untuk menjamin masa depan mereka. mengapakah pekerjaan tidak diberikan kepada mereka, sedangkan kemahiran dalam melakukan pekerjaan tersebut mereka miliki?

Bersyukurlah insan-insan yang diberi semua cukup. Mata ada, tangan dan kaki ada, semua ada. Fikirkah kita, andainya suatu hari Tuhan menarik nikmat-nikmat itu daripada kita, dan kita jadi seperti mereka, tidak punyai daya penglihatan, bolehkah kita melakukan kerja-kerja yang kita lakukan sekarang ini lagi? ditambah pula usia kita ketika itu yang sudah meningkat dan tiada upaya untuk ikuti kursus-kursus kemahiran yang dianjurkan oleh NGO-NGO tertentu? di manakah kita harus cari nafkah ketika itu untuk menyara anak dan isteri kita?

Bantulah ringankan beban hidup mereka dengan menghapuskan diskriminasi pemilihan pekerja. Jika ada kemahiran yang bersesuaian dengan kehendak kita, tak kira siapa pun mereka, normalkah, bermasalah penglihatankah, masalah anggotakah, terimalah mereka bekerja bersama-sama kita dengan senang hati dan gembiranya. Kongsilah rezeki yang kita ada bersama-sama dengan sesiapa sahaja tanpa diskriminasi walaupun sebutir debu agar Tuhan akan tambahi lagi rezeki kita.

Fikir-fikirkanlah.

Selasa, Oktober 20, 2009

Ada Maklumat Lagi?

Assalamualaikum. Terima kasih kepada Pembaca-pembaca blog ini yang tak jemu-jemu saban waktu menziarahi blog ini.

Dalam tulisan kali ini, saya akan kongsikan sedikit maklumat yang telah saya baca melalui satu keratin artikel berkenaan dengan satu penyakit mata. Sebenarnya, terdapat banyak penyakit-penyakit mata yang telah dikenalpasti oleh pakar-pakar mata seluruh dunia. Ia termasuklah yang selalu kita baca seperti katarak, glaucoma dan lain-lain. Namun, maklumat di bawah adalah sejenis penyakit mata yang dipanggil penyakit Rrtinitis Pigmentosa.



Apakah itu retinitis pigmentosa?

untuk pengetahuan pembaca sekalian, Retinitis pigmentosa adalah sejenis penyakit yang membabitkan bahagian retina mata. Retina adalah tisu sensitif di dalam mata yang mengandungi sel-sel penerima cahaya yang juga dikenali sebagai fotoreseptor.

Retina boleh diibaratkan seperti filem di dalam kamera. Sel-sel fotoreseptor pada retina iaitu sel kon rod akan dirangsang oleh cahaya dan merekodkan imej yang seterusnya disalurkan ke otak melalui saraf optik.

pesakit-pesakit retinitis pigmentosa mengalami degenerasi/kemerosotan pada sel-sel fotoreseptornya yang seterusnya akan menyebabkan sel-sel ini berhenti berfungsi. Akibatnya, tiada maklumat penglihatan yang akan disampaikan ke otak untuk pesakit melihat dengan jelas.

Apakah yang menyebabkan berlakunya retinitis pigmentosa?

untuk makluman pembaca, Penyebab utama penyakit ini dipercayai berpunca daripada gangguan genetik.

Penyakit ini telah diprogramkan di dalam sel-sel fotoreseptor dan bukannya disebabkan oleh infeksi/jangkitan kuman, trauma ataupun agen asing.

Gangguan genetik ataupun mutasi pada sel-sel sensitif ini akan menyebabkan proses degenerasi dan seterusnya mengakibatkan kehilangan deria penglihatan.

Bagaimanakah retinitis pigmentosa diwarisi?

pembaca sekalian, Gen untuk retinitis pigmentosa adalah sama ada autosomal dominan, autosomal resesif ataupun X-linked.

Autosomal membawa maksud, gen tersebut terdapat di dalam salah satu daripada 22 pasang kromosom yang sama di dalam lelaki atau perempuan.

X-linked pula bererti gen itu cuma terdapat di dalam kromosom X iaitu kromosom yang menentukan jantina seseorang.

Sekiranya gen itu dominan, salah seorang ibu atau bapa yang mempunyai gen tersebut akan menyebabkan anaknya mewarisi penyakit ini. Sekiranya gen itu resesif, kedua-dua ibu dan bapa perlu mempunyai gen tersebut sebelum diturunkan kepada anak mereka.

Sekiranya gen itu X-linked, cuma anak lelaki sahaja yang akan mendapat gejala penyakit manakala anak perempuan menjadi pembawa gen ini yang boleh diturunkan ke generasi yang seterusnya.

Perlu diingatkan bahawa, oleh kerana penyakit retinitis pigmentosa ini adalah penyakit yang diwarisi, maka ia juga biasanya terdapat pada ahli keluarga yang lain.

Oleh itu, ahli keluarga lain adalah dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan mata walaupun tiada masalah penglihatan.

Apakah simptom penyakit retinitis pigmentosa?

sebagai informasi kepada pembaca, Simptom yang paling awal dan ketara pada penghidap penyakit ini adalah kesukaran untuk melihat pada waktu malam dan kehilangan penglihatan periferal.

Kabur malam ini bukan sahaja berlaku pada waktu malam tetapi juga di tempat-tempat yang mempunyai cahaya malap seperti di restoran dan panggung wayang.

Kehilangan penglihatan periferal juga dikenali sebagai penglihatan terowong, iaitu pesakit berasa seolah-olah melihat menerusi terowong yang makin lama makin menjadi sempit.

Di peringkat akhir, sesetengah pesakit mungkin kehilangan penglihatan sentral mereka dan boleh dikategorikan sebagai buta.

Kehilangan penglihatan ini biasanya berlaku secara beransur-ansur di mana pesakit mengalami peringkat yang agak stabil seketika sebelum kemerosotan penglihatan berlaku.

Kebanyakan pesakit retinitis pigmentosa akan menjadi legally blindiaitu buta dari segi undang-undang semasa mencecah umur 40 tahun ke atas.

Walaupun demikian, kebanyakan pesakit ini masih boleh berfungsi dengan saki-baki penglihatan yang tinggal dengan bantuan teknologi canggih masa kini.

Adakah retinitis pigmentosa boleh dirawat?

Setakat ini, masih belum ada cara untuk menghentikan proses degenerasi pada retina mata ataupun cara untuk memulihkan penglihatan yang hilang.

Namun demikian, kajian masih dijalankan dengan meluas untuk mencari penawar penyakit ini.

Salah satu penemuan terbaru adalah menerusi pengambilan vitamin A palmitate sebanyak lebih kurang 18,000 International Unit (IU) sehari yang didapati memperlahankan proses degenerasi pada retina, sekali gus melambatkan kehilangan deria penglihatan.

Bagaimanapun, sebelum mengambil dos vitamin yang tinggi ini, pesakit dinasihatkan menjalani pemeriksaan fungsi hati dan vitamin A di dalam darah bagi mengelakkan kesan toksik di dalam badan.

Begitu juga dengan wanita yang mengandung dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak disyorkan mengambil dos yang tinggi sebegini disebabkan adanya kesan sampingan yang mungkin berlaku.

Rawatan untuk retinitis pigmentosa secara pemindahan mata (transplantasi bebola mata) masih belum ada setakat ini. Namun demikian, transplantasi sel retina masih di peringkat kajian awal.

Terdapat banyak alat optik yang dapat membantu penglihatan pesakit retinitis pigmentosa. Antaranya, penggunaan cermin mata, prisma, teleskop dan alat pandang malam.

Dengan adanya teknologi yang canggih dan sentiasa berkembang kini, sesetengah alatan ini memberikan peluang serta sinar baru kepada pesakit retinitis pigmentosa untuk memaksimumkan penglihatan mereka. Wallahu a’-lam.

Isnin, Oktober 19, 2009

Perkongsian Setitis Ilmu

Assalamualaikum. Tengah bosan-bosan lepas kepala buntu membina soalan untuk peperiksaan akhir tahun 2009 ni, saya telah melayari internet. Sengaja mencari artikel-artikel menarik yang boleh dibaca. Tiba-tiba terjumpa satu artikel yang menarik. Setelah membacanya berulang kali, saya fikir ianya agak sesuai jika dikongsikan dengan pembaca-pembaca blog saya ni. jadi, saya telah menampalkan artikel yang telah saya baca tersebut di bawah ini. Jum kita baca sama-sama sekali lagi nak?

Jum…

rawatan buat cerebral palsy

Cerebral Palsy (Kerencatan Otak)

Cerebral – merujuk kepada otak

Palsy – kurang atau ketidakupayan mengawal pergerakan otak. Cerebral palsy - Sebahagian besar otak mengalami kerosakan yang mempengaruhi pergerakan badan dan kordinasi otot-otot.

Simptom/tanda-tanda

Perkembangan/pertumbuhan lambat

Hanya menggunakan sebelah tangan

Mengalami masalah penyusuan/makan

Kerap menangis, merengek, meragam tanpa sebab atau terlalu diam dan kurang tindakbalas terhadap ransangan

Mengalami sembelit dan cepat marah

Faktor/punca:

Sebelum lahir;

- berlaku jangkitan pada rahim seperti rubella, cytomegalovirus & toxoplasmosis sehingga menyebabkan kecederaan pada sistem saraf bayi.

- ibu mengalami penyakit seperti darah tinggi, kencing manis & kurang darah semasa mengandung

- si ibu mengalami pendarahan teruk semasa mengandung

- kekurangan bekalan oksigen (anoxia)

- Pendedahan kepada bahan2 toksik (alkohol, rokok & dadah) – merencatkan pertumbuhan organ-organ seperti otak, buah pinggang, jantung dan sebagainya.

- Kekurangan zat makanan seperti makanan seimbang, vitamin & asid folik boleh menjejaskan pertumbuhan janin.

Faktor genetik – masalah terlebih kromosom (Trisomi 13 & Trisomi 18) menyebabkan muka, jantung, otak, kaki & tangan janin mengalami kecacatan.

Semasa lahir;

- kelahiran tidak cukup bulan (premature birth)

- bayi mengalami kecederaan otak semasa lahir

- bayi lemas semasa lahir

- bayi tertelan najis sendiri

- jangkitan kuman semasa lahir

- penyakit kuning (jaundis)

Selepas proses kelahiran;

- Asphyxia – penyakit asma yang menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak

- Shaken Baby Syndrome – bayi yang digoncang terlalu kuat semasa menangis

- Keracunan ubat-ubatan – panadol, minyak tanah dsbgnya.

- Tertelan benda asing – guli, duit siling

- berlaku kecederaan otak akibat kemalangan, penderaan @ penganiayaan fizikal.

Jenis-jenis Cerebral Palsy

Dikategorikan kepada 3 jenis

Spastik (otot-otot keras)

-Biasanya berlaku kekejangan pada sebelah kanan badan

-Jika kaki & tangan kanan kejang – hemiplegia”

-Jika kedua-dua belah kaki kejang – “diplegia”

Seluruh badan – “quadriplegia”

Ataxia

-Otot-otot tangan & kaki lembik

-Keadaan pergerakan motor tidak stabil dan bergegar.

Athetoid/Diskinetik

- Pergerakan abnormal yang tidak boleh dikawal.

- Kecederaan pada muka, tangan, badan. Ini akan menyebabkan kesulitan dalam percakapan, cara makan, memegang benda dan pergerakan motor.

Kaedah rawatan/terapi

Terapi fizikal

- Lebih kepada senaman untuk melonggarkan otot-otot seperti regangan (stretching)

- Contoh; kanak2 yang mempunyai kaki yang tidak sama panjang akan menggunakan kasut khas yang bertumit tinggi pada kaki yang lebih pendek.

- Kanak2 yang tidak boleh berjalan – diajar berjalan menggunakan tongkat, kerusi roda, crutches, walkers.

Terapi hidro/air

- Sesuai untuk perkembangan fizikal melalui pergerakan motor halus dan kasar.

- Ransangan air – membolehkan pesakit merasa tenang.

- Aktiviti dalam air dapat memantapkan perkembangan fizikal melalui regangan dan seterusnya melembutkan fungsi-fungsi sendi & meningkatkan daya ketahanan jantung dan otot-otot.

Terapi cara kerja (Occupational Therapy)

- Terapi yang fokus kepada meningkatkan perkembangan motor halus seperti tangan, kaki, muka, jari tangan dan kaki.

- Mengajar kemahiran asas seperti cara berpakaian, cara makan, cara pergi ke tandas dan sebagainya.

- Penggunaan alatan sokongan seperti kerusi roda bagi memudahkan kehidupan mereka.

Terapi pertuturan

- Melatih pergerakan bibir dan lidah

- Terapi ini sesuai untuk kanak-kanak yang mengalami masalah bercakap dan makan.

- Dilatih untuk mengungkapkan kata-kata verbal & non-verbal (bahasa isyarat)

Terapi Integrasi Sensori

- Pendekatan yang digunakan untuk membolehkan kanak-kanak mencapai tahap optimum dari segi pergerakan dan memperbaiki keseimbangan.

- Contoh: sentuhan & urutan pada bahagian badan dengan bantuan alat-alat sokongan seperti “styrofoam chips”, air dan alat permainan.

Terapi ubat-ubatan

- Ubat-ubatan untuk mengurangkan masalah ketegangan.

- Contoh: Diazepam, Baclofen, and Dantrolene

- Suntikan ubat “Botulinum Toxin” – pada bahagian otot-otot yang tegang.

Pembedahan/Surgery

- Pembedahan hanya akan dijalankan sekiranya perlu.

- Contoh: Mereka yang berjalan menggunakan hujung kaki

- Pembedahan orthopedic untuk memanjangkan urat kaki akan dilakukan.

- Ini membantu kanak-kanak tersebut mengatasi masalah berjalan dan kawalan keseimbangan.

Peralatan (special equipment)

Penggunaan peralatan yang sesuai untuk kanak-kanak cerebral palsy.

Tujuan: untuk memudahkan mereka menjalankan aktiviti dan menjalani rawatan/pemulihan.

Contoh: kerusi roda & walker

RUMUSAN

Kanak-kanak cerebral palsy tidak boleh sembuh sepenuhnya.

Akan tetapi terdapat pelbagai kaedah rawatan yang boleh membantu mereka memaksimumkan keupayaan dan kekuatan fizikal, dan seterusnya dapat memperbaiki kualiti kehidupan mereka.

Rawatan/terapi yang dilakukan membolehkan mereka mengurus kehidupan seharian sendiri seperti kebolehan menjaga kebersihan diri, pengurusan pakaian, kebolehan bertutur walaupun tidak lancar dan sebagainya.


----------------------

bersyukurlah dengan apa yang adakan? jika dibandingkan dengan orang lain, mereka lebih menderita daripada kita. fikir-fikirkanlah...

Ahad, Oktober 18, 2009

dah nak habis dah?

Assalamualaikum. Sedar tak sedar kita dah minggu-minggu terakhir bulan Oktoberkan tahun ni? macam-macam dah kita lalui sepanjang bulan ni. raya pun dah. rumah terbuka sana-sini tu. kenyang perut. terima kasih la yang jemput gi rumah terbuka tu. rumah saya kalau ada rezeki lain tahun la saya buat rumah terbuka. hehehe. Pilihanraya Kecil Dun Bagan Pinang pun dah, gembiralah pada yang menang, bersabarlah pada yang kalah. menang tak selamanya menang, kalah tak selamanya kalah. bersabarlah. Yang menang jangan suka sangat, yang kalah jangan sedih sangat. Sambutan perayaan Deepavali pun sudah. perhimpunan Agung UMNO pun dah, yang belum lagi bajet 2010 je. tu pun tak lama lagi. Jumaat ni je. tontonlah TV kalau nak tengok pembentangan Bajet 2010 Jumaat nanti. manalah tahu, ada apa-apa habuan untuk kita ke. hehe.

hmmm... Sudah semestinya orang yang paling sibuk pada minggu-minggu terakhir bulan Oktober ini ialah cikgu. Mana taknya, mereka semua sekarang ni sibuk menyediakan soalan-soalan peperiksaan bagi Peperiksaan Akhir Tahun 2009 sekolah masing-masing.


Saya tak terkecuali dalam hal tersebut. Agak sibuk beberapa hari ni menyediakan soalan-soalan peperiksaan akhir tahun. Ada 7 kertas soalan yang perlu saya siapkan menjelang peperiksaan akhir tahun pada 2 November nanti. BM kertas pemahaman tahun 2, BM kertas penulisan tahun 2, Sains Tahun 2, Matematik Kertas 1 tahun 1, Matematik Kertas 2 tahun 1, Matematik Kertas 1 Tahun 6 dan Matemeatik Kertas 2 Tahun 6. huhuhu… banyak tu. Soalan-soalan tu semua untuk murid-murid penglihatan yang saya ajar di sekolah ni. hehehe… ni pun tak siap lagi.

Fikir-fikir kembali dah macam penggubal soalan peperiksaan dah saya ni. Hehehe.

Tak apalah. Demi tugas dan tanggungjawab, saya redah jugalah.

Kepada cikgu-cikgu yang sama-sama dengan saya membina soalan untuk peperiksaan akhir tahun tu. Saya ucapkan selamat membuat soalan. Jangan malas-malas tau. Hehehe.

Rabu, Oktober 14, 2009

Aduh, Perit!!!!

Sabda Nabi yang bermaksud: sesiapa yang tidak mengasihani, dia tidak akan dikasihi. (Riwayat Bukhari)

macam-macam orang bercintakan? ada yang melalui sms, ada yang melalui friendster, ada yang berkenalan secara tidak sengaja, ada yang dikenalkan oleh orang tua, dan macam-macam lagi.

tapi betul ke orang kata, cinta yang dimulakan oleh ibu bapa tu benar-benar akan membawa bahagia?

entah la. yang pasti, apabila bercinta, semua indah. berselisih faham seketika pun dah tak senang hati. sebab apa? sebab takut kehilangan si dia. kalau kehilangan si dia macam mana? perit oooo! hehehe, pengalaman tuuuu!!!

tapi, bercintalah seikhlasnya kerana Allah. hanya allah yang mampu membahagiakan kita semua. tak kiralah dengan siapa kita bercinta, yang penting, sandarkanlah cinta kita tu kepada Allah.

terimalah dan tolaklah seseorang kerana Allah, bukan kerana fizikalnya. andai Allah mengizinkan kita bercinta dengan orang yang kita sayang, berbahagialah. Andai sebaliknya, mungkin Allah punyai rencana terbaik untuk kita. terimalah seikhlasnya keputusan allah itu.

kita merancang sesuatu, namun Allah lebih arif tentang perancangan kita. Allah merupakan sebaik-baik perancang.

Betul… kita sayang pada orang yang pernah kita sayangi, tapi, ingatlah, jika berpisah dengannya sebelum tiba masanya yang sebenar, maka sudah tentu Allah punyai hikmah untuk kita fikirkan. Kenapa aku tidak dengan dia? Kenapa aku putus dengan dia? Kenapa aku bukan untuk dia? Kerana… ya, mungkin dia bukan yang terbaik untuk kita. Dia bukan yang terbaik untuk kita jadikan penyeri hidup kita. Dia bukan yang terbaik untuk menjadi ayah/ibu kepada bakal anak-anak kita. Dia baik, tapi bukan untuk dimiliki oleh kita. Kita baik, tapi bukan untuk dimiliki oleh dia.

Bersabarlah andainya kita diuji dengan batu sebesar Tanah Tinggi Genting Highlands ini. Kerana ni’mat Sebesar syurga akan kita perolehi suatu hari nanti. Tidak di dunia, di akhirat. Bersabarlah andai kita diuji sehebat Nabi Noh ini kerana kita akan diberikan kebahagiaan seperti Nabi Yusuf dan Zulaikha. Percayalah.

Insya allah. Allah tidak akan menzalimi hamba-hambaNya selama-lamanya. Dia adalah Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. Kita akan berbahagia suatu hari nanti, lebih daripada kebahagiaan yang kita kecapi sebelum ini. Insya-Allah.

Selasa, Oktober 13, 2009

mengimbas kenangan silam

Assalamualaikum.

Seronokkan waktu sekolah dulu? Macam-macam pengalaman pahit, manis, suka, duka dan macam-macam la. Dah tua-tua ni, bila duk sorang-sorang kat rumah, teringat zaman kecik-kecik dulu.
Tapi sayang ek? Aku Tak ada gambar-gambar kenangan waktu sekolah dulu. Entah. Hilang ke, atau pun memang tak ambil langsung gambar.
Mungkin tak ambik gambar kot. Sebabnya, dulu-dulu, aku ni penyegan orangnya. Bukan apa, orang kata, bila aku ambik gambar, muka aku mesti masam walaupun aku dah habis bergaya mensenyumkan diri. Hehehe. Sebab tu la aku melarikan diri bila orang nak ambik gambar aku. Hehe.

Kalaulah diberi peluang untuk kembali ke zaman kanak-kanak, kan best? Ya tak? Ramai kawan-kawan aku masa tu. Tapi sekarang, diorang dah entah ke mana dah. Ada jugak la aku jumpa diorang yang duduk kat KL tu. Diorang kerja kat sana. Tapi tu beberapa orang je. Tak semua. Kawan-kawan lain ramai lagi yang tak dapatku hubungi. sekarang ni kawan-kawan kerja je la yang ada kat Seremban ni.

Agak-agaknyakan. Kalau la diorang baca coretan ni, boleh la kan, kita berhubung semula. Boleh kita bincang-bincang untuk buat reunion ke, perjumpaan ke. Ya tak? hehe. dapatlah kita bersembang-sembang panjang. kalau jumpa gerenti macam-macam cerita punya yang keluar. jumpa dengan kawan-kawan yang boleh aku hubungi pun dah macam-macam cerita kenangan yang kitaorang imbas. kadang-kadang tu diulang-ulangkannya berkali-kali. tak jemu-jemu pulak tu. hehehe.

Hmmm…. Tu zaman kanak-kanak. Zaman remaja? Hehe. Biasanya zaman remaja ni penuh onak duri, ranjau kehidupan. Almaklum la. Dah remaja. Hati tengah melonjak-lonjak. Waktu di sekolah dulu, kitaorang budak-budak sekolah menengah ni dibenarkan keluar untuk membeli-belah di pusat-pusat membeli-belah di sekitar kawasan sekolah.
Wah, macam ayam terlepas dari reban la kitaorang. Seronoknya dapat keluar hujung minggu. Dapat makan nasi goeeng kampong kat stesen bas pun dah happy dah. Kadang-kadang tak beli apa pun keluar, semata-mata nak keluarkan diri dari asrama je. Bosan. Asyik terkurung je. Tak buat apa.

Banyak lagi pengalaman-pengalaman best-best masa zaman budak-budak dulu. Nantilah aku cite kat kauorang dari semasa ke semasa. OK? Insya allah.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Peninggalan Sejarah Kerajaan Jembal

assalamualaikum. sejarah sesuatu kerajaan sememangnya unggul di mata sesiapa sahaja yang mendokongnya. ia harus diwarisi agar anak cucu dapat mengetahuinya tanpa meninggalkan fakta-fakta penting mengenainya. Di bawah ini saya paparkan kesan sejarah pemerintahan sultan kelantan untuk tatapan umum. mari kita amati bersama-sama.

PENGENALAN

Negeri Kelantan hari ini merupakan sebuah negeri yang diasaskan daripada sebuah kerajaan yang kukuh dan disegani sejak zaman berzaman. Kelantan mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan unik. Disebabkan pantainya menghala ke timur, maka telah wujud satu bentuk jalinan perhubungan tradisi dengan negeri China dan negeri-negeri yang lain di rantau ini.Kedudukannya di persisiran pantai dan tambah pula posisinya di pertengahan jalan dagang timur barat, sudah tentu ia menjadi satu kawasan yang strategik dan mendapat perhatian kepada pedagang-pedagang yang berulang alik dan kerajaan-kerajaan besar dunia pada masa itu. Dengan itu tidak hairanlah jikalau di Kelantan terdapat sebuah kerajaan yang besar yang mengawal aliran perdagangan dan politik di kawasan ini.Salah sebuah kerajaan yang agung dan terkenal sedikit masa dahulu ialah kerajaan di bawah pimpinan keluarga Diraja Jembal. Keluarga Raja Jembal ini memerintah Kelantan dalam abad yang ke-17 dan 18 iaitu antara 1600-an hingga tahun 1733 M.


SEJARAH AWAL

Asal Nama Kelantan

Sejarah awal Kelantan iaitu bila ianya diasaskan agak sukar dikesan. Setengah-setengah ahli sejarah berpendapat Kelantan sudah wujud sebelum abad yang pertama lagi. Masa itu ialah dikenali dengan nama Medang Kemulan, iaitu bermaksud "Medan Permulaan". Dari abad pertama hingga abad kelima ia dikenali pula dengan panggilan Medang Gana.Dalam abad yang ke-5, Kelantan dikenali pula dengan nama Kalatana atau "Tanah Kala". Dalam catatan Cina disebut Ho-lo-tan iaitu catatan yang dibuat oleh Shen Yao (414 - 512 M).Menurut satu riwayat lain, dalam abad yang ke-11, orang melihat satu pancaran sinar yang kuat pada suatu malam dari Bukit Panau terus menjulang ke langit. Oleh kerana pancaran itu dapat dilihat di seluruh pelusuk Kelantan dan mempunyai pengertian yang rahsia, maka raja yang memerintah pada masa itu telah memberi nama sebagai Medan Kilatan Saji. Nama ini disebut "Kilatan" sahaja dan seterusnya menjadi Kelantan, hinggalah ke hari ini.

Kelantan Abad ke-15

Catatan sejarah Kelantan yang lebih jelas ialah bermula pada abad yang ke-15. Dalam tahun 1411 M, Kelantan diperintah oleh seorang raja yang beragama Islam yang bernama Raja Kumar. Baginda menjalinkan hubungan yang baik dengan negeri China. Kemudian Kelantan diperintah pula oleh Sultan Iskandar sehingga tahun 1465 M. Setelah baginda mangkat, diganti pula oleh putera baginda iaitu Sultan Mansur. Masa ini Kelantan menjadi terkenal di merata tempat.Pada tahun 1477 M, Kelantan telah diserang oleh Melaka yang di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Namun begitu, satu peristiwa yang menarik telah berlaku, iaitu berakhir dengan perkahwinan antara Sultan Mahmud Syah dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening.Setelah Sultan Mansur mangkat pada tahun 1526, anakanda baginda Raja Gombak telah menjadi Sultan. Apabila Sultan Gombak mangkat, cucu baginda, Raja Ahmad pula ditabal menjadi Sultan pada tahun 1584 bergelar Sultan Ahmad. Sultan Ahmad telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D'Raja, sepupu dengan Raja Hussin. Baginda mendapat seorang puteri dan diberi nama Cik Wan Kembang.



Cik Siti Wan Kembang

Apabila Sultan Ahmad mangkat pada tahun 1589, anakanda baginda Cik Wan Kembang tidak dapat ditabalkan kerana baru berusia 4 tahun. Oleh itu Raja Hussin dari Johor dilantik menjadi pemangku raja. Setelah Raja Hussin mangkat pada tahu 1610 M, Cik Wan Kembang pun ditabal menjadi raja. Pusat pentadbiran baginda ialah di Gunung Cinta Wangsa, Ulu Kelantan.Pemerintahan Cik Wan Kembang menjadi masyhur sehingga ramai pedagang datang berniaga, termasuklah pedagang dari Arab. Orang-orang Arab memanggil baginda dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Dari situlah baginda lebih dikenali dengan nama Cik Siti Wan Kembang.



KEBANGKITAN KERAJAAN JEMBAL

Pada masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang berpusat di Gunung Cinta Wangsa, di sebelah timur laut Negeri Kelantan telah timbul pula sebuah kerajaan yang berpusat di Jembal iaitu di bawah pentadbiran Raja Sakti. Hubungan kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan kerajaan Jembal di bawah Raja Sakti terjalin dengan baik sekali. Kedua-duanya saling menghantar utusan.



Asal-usul Kerajaan Jembal

Kerajaan Jembal asalnya diasaskan oleh Raja Besar yang dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah negeri Kedah dalam abad ke-14. Baginda Raja Bersiung dihalau oleh adinda baginda yang berpangkat Raja Muda. Baginda telah melarikan diri ke Kelantan. Mengikut ringkasan "Cetera Kelantan" yang ditulis oleh Dato' Nik Mahmud Nik Ismail (Dato' Paduka Raja), Raja Besar dan Raja Bersiung adalah orang yang sama. Kenyataan ini agak kabur dan bercanggah dengan fakta sejarah kerana Raja Bersiung memerintah Kedah pada abad ke-14, sedangkan pembukaan Jembal oleh Raja Besar ialah pada awal abad ke-17 (tahun 1600-an).Raja Besar dan pengikut-pengikut baginda mencari satu tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Angkatan baginda telah menemui satu kawasan tanah yang subur yang terletak di tepi Sungai Babong dan Pulau Melaka. Di situ baginda mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya mendirikan sebuah kota. Di dalam kawasan itu terdapat sebatang pokok yang sangat besar iaitu pokok jambu jembal, lalu baginda menamakan tempat itu JEMBAL.Baginda Raja Besar tiba di Jembal bersama beberapa orang pengikutnya serta dua orang kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-duanya dipercayai cucu baginda. Yang lelaki bernama Raja Sakti dan yang perempuan bernama Puteri Mani Kemeyan. Setelah kedua-duanya meningkat dewasa lalu mereka dikahwinkan.



Pertabalan Raja Sakti

Pada tahun 1638 M Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai raja di Jembal dan memerintah di bahagian utara dan timur Kelantan. Jembal dijadikan pusat pemerintahannya. Tidak lama selepas pertabalan Raja Sakti, Raja Besar pun mangkat. Setengah cerita mengatakan Raja Besar ghaib menghilangkan diri, kerana itulah tidak terdapat makam baginda di kawasan Jembal itu.Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu. Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong. Puteri baginda iaitu Puteri Unang Melor telah berkahwin dengan Raja Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin 1. Dari keturunan inilah asalnya Raja-raja yang memerintah Terengganu hari ini.



Penyatuan Kelantan di bawah Raja Loyar

Setelah Raja Sakti merasa dirinya sudah tua dan putera-puteri baginda meningkat dewasa Raja Sakti telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada mereka semua. Pada tahun 1649 M, Raja Loyar ditabalkan sebagai raja yang memerintah kerajaan Jembal. Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda dan Raja Sungai sebagai Raja Temenggung.Setelah menyerah semua pemerintahan Kerajaan Jembal, maka baginda Raja Sakti pun mengadakan "Istiadat Bersiram" di pinggir Sungai Babong (sekarang hanya kelihatan sebagai lembah sahaja yang dijadikan sawah padi, terletak di belakang Sekolah Menengah Raja Sakti), selama 7 hari 7 malam, setelah sampai malam ke-7 maka baginda Raja Sakti dan Puteri Mani Kemeyan pun "ghaib" dan tidak diketahui riwayatnya sehingga hari ini.Raja Loyar sangat dikasihi oleh semua lapisan rakyat jelata dan para pembesar negeri. Sikap baginda sangat luar biasa, lemah lembut, halus tutur kata dan bersopan santun. Mengikut kepercayaan, pada diri baginda terdapat sifat-sifat ganjil yang kononnya baginda berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Pendek kata apa yang dihajati semuanya dapat kerana baginda adalah seorang yang "keramat".





Makam Al- Marhum Raja Loyor ayahanda kepada Puteri Saadong memerintah kelantan pada tahun 1649M

(Makam ini terletak bersebelahan SMK Raja Sakti Kota Jembal)



Hubungan kerajaan Jembal Dengan Paduka Cik Siti Wan Kembang

Kerajaan Jembal terus maju dan makmur di bawah pemerintahan Raja Loyar. Baginda membuat perhubungan dengan kerajaan-kerajaan sekitar termasuklah dengan kerajaan di Gunung Cinta Wangsa di bawah pemerintahan Cik Siti Wang Kembang. Baginda berdua selalu bertukar-tukar utusan dan persembahan.Raja Loyar dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera yang diberi nama Raja Sakti (mengambil nama sempena ayahanda baginda), tetapi telah mangkat dalam usia setahun sahaja. Seorang lagi puteri dan diberi nama Puteri Mariam tetapi lebih dikenali sebagai Puteri Saadong. Puteri Saadong ini amat terkenal dalam sejarah Kelantan.Apabila Paduka Cik Siti Wan Kembang mendapat berita bahawa Raja Loyar mendapat seorang puteri, maka baginda berangkat ke Jembal menemui Raja Loyar.Apabila Cik Siti Wan Kembang melihat wajah Puteri Saadong, maka timbul perasaan kasih sayang dan berhasrat mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat baginda. Baginda bercadang melantik Puteri Saadong sebagai mewarisi takhta kerajaannya kerana baginda tidak mempunyai anak dan tidak bersuami. Hasratnya itu disampaikan kepada Raja Loyar dan baginda memperkenankan permintaan tersebut.Puteri Saadong telah dibawa ke Gunung Cinta Wangsa oleh Paduka Cik Siti Wan Kembang. Di sinilah Puteri Saadong dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan penjagaan yang sempurna oleh seorang pemerintah negeri.Cik Siti Wan Kembang telah memerintahkan kepada pembesar negeri dan hulubalang supaya mencari dua ekor anak kijang untuk dijadikan binatang mainan Puteri Saadong supaya tidak kesunyian. Dari situlah gambar dua ekor anak kijang telah dijadikan lambang kebesaran kerajaan Negeri Kelantan sehingga ke hari ini.



Perkahwinan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah

Apabila meningkat remaja, Puteri Saadong menjadi seorang Puteri yang sangat cantik paras rupa dan tingkahlakunya. Mengikut Abdullah Nakula, Puteri Saadong juga dikenali sebagai "Puteri Vijaya Mala". Kecantikan Puteri Saadong ini termasyhur ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Cik Siti Wang Kembang, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak.Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah iaitu anakanda Raja Bahar.Setelah istiadat perkahwinan itu selesai, Raja Abdullah telah membina sebuah kota di hilir Negeri Kelantan dan dinamakan "Kota Jelasin" (sekarang ini dinamakan Kampung Kota, dalam daerah Kota Bharu).Setelah beberapa lama bersemayam di Kota Jelasin, Paduka Cik Siti Wan Kembang bersama Raja Abdullah dan Puteri Saadong berangkat mudik ke hulu dan singgah membuka penempatan baru di Chetok, Pasir Mas. Penempatan ini diberi nama "Tanah Serendah Sekebun Bunga". Di sinilah dikatakan bahawa baginda Cik Siti Wan Kembang telah jatuh gering kerana mengidap deman panas. Baginda telah dibawa balik ke Gunung Cinta Wangsa dan mangkat di sana. Setelah kemangkatan Cik Siti Wan Kembang maka seluruh negeri Kelantan diperintah oleh Raja Loyar.



Peperangan dengan Angkatan Siam

Berita perkahwinan Raja Abdullah dengan Puteri Saadong sampai juga ke pengetahuan Raja Siam. Baginda terus menghantar satu angkatan tentera ke Kelantan untuk merampas Puteri Saadong. Apabila sampai ke Kota Jelasin, maka berlakulah peperangan yang dahsyat. Rakyat Raja Abdullah ramai yang mati. Dalam senyap-senyap Raja Abdullah berundur ke Melor. Di sinilah baginda telah membina sebuah kota yang dinamakan Kota Mahligai.Kedudukan Raja Abdullah di Kota Mahligai dapat juga dikesan oleh angkatan Raja Siam. Mereka mula bergerak menuju ke Kota Mahligai. Kerana sayangkan nyawa rakyat Puteri Saadong sanggup berkorban. Baginda sanggup menyerah diri dengan persetujuan Raja Abdullah dan mengikut angkatan Siam ke Ayudhiya.Sepeninggalan Puteri Saadong ke Ayudhiya, Paduka ayahanda Raja Loyar telah mangkat. Jenazah baginda dimakamkan di Jembal (makam tersebut terletak di hilir Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti sekarang). Dengan persetujuan kerabat dan pembesar-pembesar negeri, Paduka baginda kepada Almarhum Raja Loyar iaitu Raja Omar yang dahulunya memegang jawatan sebagai Raja Muda telah ditabalkan menjadi raja di Jembal bergelar Sultan Omar.Sekembalinya Puteri Saadong dari Ayudhiya dan setelah mendapat tahu ayahandanya telah mangkat, baginda terus ke Kota Mahligai untuk menemui suaminya Raja Abdullah. Apabila sampai ke Kota Mahligai alangkah terkejutnya baginda kerana mendapati Raja Abdullah telah berkahwin lain, sedangkan baginda telah berjanji akan menanti sehingga Puteri Saadong pulang dari Ayudhiya, Raja Abdullah telah berkahwin dengan anak salah seorang pembesar negeri masa itu.Satu perbalahan telah terjadi antara Puteri Saadong dengan Raja Abdullah. Raja Abdullah telah mangkat kerana ditikam oleh Puteri Saadong dengan pemancak sanggulnya di dada sebelah kiri, jenazah Raja Abdullah pada mulanya hendak dimakamkan di Jembal tetapi setelah disebabkan kesukaran perjalanan jenazah baginda dimakamkan di Kampung Padang Halban berhampiran Melor.







Makam Al-Marhum Raja Abdullah memerintah pada tahun 1663,

baginda merupakan sepupu dan suami kepada Puteri Saadong

(Makam ini terletak di Kampung Padang Halban berhampiran Melor)

Bukit marak adalah satu lagi tempat bersejarah Kerajaan Jembal merupakan tempat bersemayam Puteri Saadong setelah mangkatnya Suami baginda Raja Abdullah

Pemerintahan Raja Abdul Rahim

Setelah kemangkatan Raja Abdullah, adinda baginda bernama Raja Abdul Rahim telah ditabal menjadi pemerintah di Kota Mahligai pada tahun 1671 M bergelar Sultan Abdul Rahim. Baginda telah dikahwinkan dengan balu Almarhum Raja Abdullah. Setelah selesai pertabalan, Puteri Saadong pun berpindah ke Bukit Marak untuk bersemayam di sana. Pemerintahan Sultan Abdul Rahim dikatakan zalim dan ramailah rakyat jelata datang mengadu kepada Puteri Saadong di Bukit Marak sehingga baginda selalu berdukacita.Pada tahun 1673 M, Puteri Saadong berangkat ke Gunung Ayam iaitu berhampiran dengan Sungai Nenggiri (kawasan Gua Musang sekarang) untuk mengasingkan diri. Di sinilah berakhirnya riwayat baginda.Kezaliman Sultan Abdul Rahim telah dipandang berat oleh Sultan Omar di Jembal. Baginda telah memerintah anakandanya Raja Kecil Sulong menyelesaikan masalah pentadbiran di Kota Mahligai. Salah seorang orang suruhan Raja Kecil Sulong telah berjaya menikam Sultan Abdul Rahim di tepi Tasik Lalayang Mandi dekat Bukit Kecil, Melor. Kemudian baginda mangkat di situ juga.

Kegemilangan Kelantan di bawah Pemerintahan Sultan Omar

Sultan Omar telah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1675 M setelah kemangkatan Raja Loyar. Kerajaan Jembal kembali masyhur di bawah pemerintahan baginda. Baginda memerintah seluruh Negeri Kelantan.Semasa pemerintahan baginda, banyak kemajuan telah dicapai. Antara kemajuan yang telah dibuat oleh baginda termasuklah membuka kawasan tanaman padi yang luas dinamakan Padang Jembal, yang terletak di kawasan Bachok.Baginda mengadakan lawatan ke seluruh kawasan dan jajahan takluk Kelantan. Baginda juga telah mengadakan perhubungan dengan kerajaan-kerajaan luar seperti Kerajaan Pattani, China, Jawa dan negeri-negeri jiran seperti Terengganu.Baginda dikurniakan lima orang putera-puteri iaitu Raja Kecil Sulong, Raja Pah, Raja Sakti III, Raja Ngah dan Raja Nah.

Makam Al-marhum Sultan Omar memerintah kelantan pada tahun 1675M,

Kerajaan Jembal begitu masyhur di bawah pemerintahan baginda

(Makam ini Terletak di kampung Senang, Kota Jembal)


Kedatangan Anak Raja Pattani

Dalam tahun 1686 M, tiga orang anak Datu Pengkalan Tua, Raja dari Pattani telah datang mengadap baginda Sultan Omar. Mereka ialah Tuan Sulong (Long Sulong), Tuan Senik (Long Senik) dan Tuan Besar (Long Bahar).Setelah berada di Kelantan beberapa lama mereka bertiga pun dikahwinkan oleh Sultan Omar. Tuan Sulong dikahwinkan dengan Cik Biru, anak kepada Penghulu Hitam, orang besar baginda yang tinggal di Kampung Laut. Tuan Senik dikahwinkan dengan Cik Seku, anak Penghulu Deraman orang besar yang tinggal di Kampung Geting, Tumpat. Tuan Besar (Long Bahar) pula dikahwinkan dengan Raja Pah, puteri baginda.Baginda Sultan Omar telah membina sebuah kota dekat Jembal yang dinamakan kota Senang. Sekarang tempat ini dinamakan Kampung Senang. Kota ini kemudiannya diserahkan kepada menantu baginda Tuan Besar. Pada tahun 1721 M, baginda Sultan Omar telah mangkat setelah memerintah Kelantan selama 46 tahun. Jenazah baginda dimakamkan berhampiran dengan Kota Senang. Belindang makam baginda dipercayai didatangkan dari Negeri China kerana ukiran di batu itu mengandungi bentuk ukiran burung dan bunga yang terdapat pada lukisan orang-orang China.

Raja Kecil Sulong

Setelah kemangkatan Sultan Omar dengan persetujuan para kerabat serta pembesar negeri maka anakanda baginda Raja Kecil Sulong ditabalkan menggantikan baginda. Baginda telah membina sebuah kota berhampiran Jembal dinamakan Kota Teras yang diperbuat daripada teras tembesu. Tempat itu sekarang dikenali sebagai Kampung Teras. Baginda memerintah selama lima tahun sahaja. Pada tahun 1725 M, baginda telah mangkat dalam usia yang masih muda.
Peranan Raja Pah

Sebelum jenazah Almarhum dimakamkan Raja Pah dipercayai telah mempengaruhi para kerabat dan pembesar negeri untuk menabalkan suaminya bernama Tuan Besar atau Long Bahar untuk menjadi sultan. Pertabalan Long Bahar menaiki takhta kerajaan dengan alasan bahawa Putera Raja Kecil Sulong yang bernama Raja Abdul Rahman masih muda serta masih belum layak untuk memerintah negeri.Dengan pertabalan Long Bahar, suami Raja Pah itu maka tertolaklah Raja Abdul Rahman untuk mewarisi takhta kerajaan ayahandanya. Setelah Long Bahar menjadi raja, baginda telah berpindah dari Kota Senang ke Kota Jembal iaitu istana almarhum Sultan Omar, ayahanda mertuanya.Apabila Long Bahar mangkat, anakanda baginda yang bernama Long Sulaiman telah menaiki takhta memerintah Negeri Kelantan. Daripada keturunan Long Sulaiman inilah datangnya salasilah raja-raja yang memerintah Negeri Kelantan sehingga ke hari ini.

PENUTUP

Nama Jembal yang begitu bersejarah hanya kekal disebut rakyat jelata sehingga tahun 1922 M sahaja. Bermula pada tahun itu tempat tersebut telah berubah dengan panggilan Kampung Kedai Lalat. Perubahan panggilan ini berlaku secara tidak dirancang tetapi hanya sebagai sindiran sahaja kerana pekan di situ pada awalnya lebih ramai penjual daripada pembeli.Kini, di sekitar Kedai Lalat, masih terdapat ramai keturunan Raja Jembal. Mereka bukan sahaja bertumpu di kawasan sekitar Kedai Lalat bahkan juga telah tersebar di segenap pelusuk Negeri Kelantan dan ke seluruh negara. Mereka berpindah disebabkan banyak faktor, antaranya kerana mencari nafkah dan tugasan lain.Keturunan kerabat Raja Jembal ini ada yang memakai gelaran RAJA, TENGKU, TUAN , KU dan NIK.

Ada juga sebilangan kecil yang telah membuang gelaran tersebut kerana sebab-sebab tertentu.Disebabkan keturunan ini tersebar luas ke seluruh pelusuk tanah air, ramai antara ahli-ahli kerabat sudah tidak mengenali antara satu sama lain. Dari itulah timbul usaha untuk menyatukan semula ahli kerabat ini di dalam satu pertubuhan yang dinamakan PERTUBUHAN KERABAT RAJA JEMBAL KELANTAN. Semoga dengan usaha murni ini akan memberi manfaat yang besar kepada ahli kerabat seluruhnya.


(Dipetik dari Sejarah Ringkas: Kerajaan Jembal Kelantan, terbitan Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan pada 14 Julai 1994)

sumber dipetik daripada: laman blog Persatuan Kerabat Diraja Jembal Kelantan
http://www.pkrjk.blogspot.com/

Jumaat, Oktober 09, 2009

apa kata anda?

assalamualaikum. terkejut aku baca artikel ni. jum kita baca...

Khamis Oktober 8, 2009


BN Kelantan akui Kelantan mundur

KOTA BAHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan mengakui Kelantan masih mundur berbanding dengan negerinegeri lain di Malaysia berikutan kegagalan kerajaan negeri melaksanakan pembangunan sebagaimana dijanjikan pada pilihan raya tahun lepas.

Setiausaha BN negeri, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad berkata berbanding dengan Terengganu, Kelantan ketinggalan dari segi infrastruktur dan insaniah kerana kerajaan negeri lebih mengutamakan politik dari kebajikan rakyat.

"Semua orang tahu dan nampak bila sebut pembangunan di Kelantan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan terlalu sedikit untuk itu, ini disebabkan tidak ada duit," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin semalam, berhubung kegagalan Pas memerintah Kelantan setelah 20 tahun menerajui negeri ini, di sini, hari ini.

Timbalan Presiden Umno itu berkata kepimpinan BN sudah terbukti apabila meletakkan Malaysia antara negara yang maju di dunia selepas memerintah negara selama 50 tahun, sedangkan Kelantan terus mundur dengan kadar kemiskinan tertinggi.

Alwi yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata kerajaan negeri perlu mengubah sikap dengan mengambil pendekatan berdasarkan janjijanji yang dibuat pada pilihan raya sebagaimana terdapat di dalam manifesto.
"Apa yang dibuat oleh kerajaan negeri, agak sukar untuk dikatakan berjaya, sekadar Kolej Islam Sains dan
Teknologi (Kist) dan Maahad Tahfiz di Pulau Chondong kita tidak nafilah," katanya.
Beliau berkata dari segi pendidikan yang berjaya hanya pelajar dan ibu bapa pelajar itu sendiri bukannya kerajaan Pas Kelantan kerana usaha yang dilakukan oleh pelajar terbabit.

"Kita tengok sekolahsekolah agama rakyat, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri? Masih seperti dahulu, kita tidak nafi dengan kejayaan pelajar dalam bidang pelajaran, tetapi itu usaha pelajar itu sendiri," katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu juga berkata di bidang pertanian yang diwarwarkan oleh Pas sebelum pilihan raya lepas juga tidak berjaya apabila sehingga kini Kelantan masih mengimport makanan terbesar dalam negara.

"Dengan kata lain, Kelantan tidak berjaya sekalipun memerintah beberapa tahun lagi, malah terus ketinggalan sekiranya tiada usaha dilakukan bagi memastikan janji itu terlaksana," katanya. BERNAMA


...

kenapa mereka tidak mahu pandang langsung pembangunan demi pembangunan yang dilaksanakan di Negeri Kelantan ya? tak faham aku.

apa kata pembaca?

Khamis, Oktober 08, 2009

sejenak berfikir

guru ialah orang yang paling penting dalam sesebuah sekolah. Tanpa guru, sesebuah sekolah tidak akan dapat beroperasi dengan sempurna. Begitu juga dengan murid-murid. Mereka adalah asset penting kepada sekolah kerana mereka adalah produk yang bakal dihasilkan oleh guru. jika kilang akan mengeluarkan produk berbentuk pepejal dan cecair, sekolah pula adalah ibarat kilang yang akan mengeluarkan sejenis produk yang mampu mengubah nasib sesebuah bangsa dan negara. produk itulah yang akan menghasilkan produk-produk lain pula.


Namun sedarkah sesetengah pihak bahawa emosi seseorang guru berkait rapat dengan penyampaian mereka dalam memberikan pengajaran kepada murid-murid? Andainya mereka punyai emosi yang baik, maka pada hari tersebut mereka dapat melaksanakan tugas mereka untuk memberikan ilmu yang sempurna kepada murid-murid. Namun demikian, jika sebaliknya, maka mereka akan mempunyai kekangan dalam penyampaian ilmu kepada murid-murid.

Oleh sebab itulah, emosi guru-guru perlu dijaga agar ianya tidak terganggu supaya mereka dapat memberikan ilmu dan tunjuk ajar yang sempurna kepada anak bangsa mereka.

Pada hujung tahun begini, ramai guru sibuk memperkatakan tentang pertukaran. Mana taknya, borang pertukaran yang perlu diisi dalam EG-tukar melalui system aplikasi di laman portal Kementerian Pelajaran baru saja titutup 1 Oktober yang lalu. Mereka sibuk memperkatakan sebab itu dan sebab ini mereka perlu bertukar. Dan, bagi mereka, sebab-sebab yang dikemukakan itu punyai kewajaran yang perlu dipertimbangkan oleh mereka yang bertanggungjawab dalam proses pertukaran ini.


Sememangnya penulis faham akan kesulitan pihak yang bertanggungjawab untuk memenuhi semua permintaan guru-guru yang ingin bertukar, namun demikian, jika tidak dipertimbangkan sewajarnya permohonan tersebut, dibimbangi perkaitan emosi seperti yang dinyatakan di dalam muqaddimah di atas akan menjadi kenyataan.

Mereka perlu diberi tempat sewajarnya untuk mereka mencurahkan ilmu yang mereka punyai agar murid-murid yang bakal mereka didik dapat menikmati akan ilmu tersebut dengan berkesan tanpa sebarang kesan emosi daripada guru-guru itu.

Penulis faham akan alas an-alasan yang diberikan oleh pihak yang bertanggungjaab, namun demikian, mereka perlu sedar akan kebajikan guru-guru yang memohon untuk bertukar itu. Mereka juga perlu faham akan keadaan guru-guru tersebut. Mereka juga perlu mempertimbangkan alasan-alasan yang guru-guru tersebut berikan dengan sehalus-halusnya.

Bagi penulis, hal permohonan pertukaran ini terjadi kerana, pihak yang bertanggungjawab pada awal-awalnya lagi tidak mempertimbangan permintaan guru-guru tersebut untuk ditempatkan seperti yang mereka isi di dalam borang penempatan setelah tamat pengajian mereka di IPGM dahulu. Jika perkara ini diambil kira dan dipertimbangkan, penulis yakin, tidak akan ramai guru-guru yang memohon untuk bertukar.

Pada catatan ini, penulis ingin berkongsi satu cadangan sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada kemelut ini. Cadangan tersebut adalah, mengambil bakal-bakal guru mengikut negeri mereka ingin ditempatkan berdasarkan kekosongan pada tahun mereka ditempatkan untuk mengajar.


Sebagai contoh, sewaktu temuduga lagi, mereka perlu mengisi satu borang penempatan dan pihak bertanggungjawab boleh mengambil mereka untuk ditempatkan di IPGM sebagai guru pelatih berdasarkan kelayakan mereka seterusnya ditempatkan di tempat yang telah mereka isi di dalam borang penempatan tersebut.


Hal ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan guru-guru yang akan ditempatkan dan memberikan peluang kepada mereka mencurahkan bakti di tempat yang mereka mahukan.

Ini adalah sekadar pandangan peribadi penulis sahaja. Jika ianya difikirkan sesuai, pertimbangkanlah cadangan ini. Tetapi, jika sebaliknya, abaikanlah cadangan ini.

Isnin, Oktober 05, 2009

harga rokok naik 1 sen

assalamualaikum. hmmm... tertarik saya baca artikal ni. walaupun kenyataannya pendek, namun saya rasa sudah cukup untuk membuat pengemar-pengemar kepada "batang" mengelabah. batang apa? hehehe, batang rokok la.

cuba baca ni.

Isnin Oktober 5, 2009

Harga rokok naik satu sen

PETALING JAYA: Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan minggu lalu, syarikat pengedar tembakau dari Amerika dan Britain telah menyemak semula harga bagi rokok jenama yang dikeluarkan oleh syarikat masing-masing.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tembakau tersebut hari ini, perokok kini perlu membayar pada harga yang lebih tinggi dengan kenaikan satu sen bagi setiap batang rokok dan kenaikan tersebut berkuat kuasa serta merta.--M Star Online

pada pandangan saya, agak bertuah bagi mereka yang tidak menghisap rokok kerana tidak perlu lagi berfikir-fikir berkenaan kenaikan harga rokok ni. tapi agak malang sedikit la, bagi mereka yang juga penggemar-penggemar rokok ni kerana "1 sen" bagi setiap batang rokok akan naik serta-merta.

bukan apa, jika dikira dengan kiraan Matematik mudah, 1 sen untuk sebatang. kalau 10 batang sehari, 10 sen dah perlu ditambah kepada perbelanjaan harian. kalau seminggu, 70 sen. kalau sebulan, RM2.80.

banyak tuuuu.... tu pun belum lagi pembentangan belanjawan 2010 oleh pihak kerajaan. saya optimis, harga rokok akan naik lagi dalam pembentangan tu nanti berdasarkan kepada faktor-faktor kegawatan ekonomi negara, pengurangan beberapa jenis cukai yang melibatkan kekurangan aliran masuk kewangan negara dan keadaan kewangan kerajaan pada masa kini.

jadi selepas ini, penggemar-penggemar rokok perlulah menyediakan perbelanjaan tambahan sekiranya anda masih terus untuk menghisap rokok.

fikir-fikirkanlah.

Ahad, Oktober 04, 2009

Gred baru A+ akan diperkenalkan bagi SPM

saya baru sempat membaca akhbar online pada pagi ini. terdapat satu artikel yang menarik yang boleh saya kongsikan untuk tatapan kita bersama. artikel ini akan bakal mengembirakan sesetengah pihak, tak kurangnya bakal mendukacitakan sesetengah pihak yang lain kerana tidak diberi peluang untuk menikmatinya. Sabtu Oktober 3, 2009 Gred baru A+ akan diperkenalkan bagi SPM PETALING JAYA: Sistem penilaian baru bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diperkenalkan mulai tahun ini. Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pertukaran itu akan memberi perincian kepada pecahan tahap pencapaian pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut. “Perubahan itu bermakna akan ada gred baru iaitu A+. Sebelum ini tahap pencapaian tertinggi SPM adalah 1A,” ujar beliau dalam satu kenyataan akhbar semalam. Dalam sistem sedia ada, para pelajar akan digredkan kepada 1A, 2A, 3B, 4B, 5C, 6D, 7D, 8E, dan 9G. Sementara itu, gred baru yang akan diperkenalkan adalah A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E dan G. Alimuddin berkata, perubahan itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak kerana dalam sistem sedia ada, tiada pecahan terperinci untuk calon yang cemerlang. “Perubahan ini dapat melahirkan calon peperiksaan yang lebih layak agar mereka dipilih untuk program latihan dan tawaran biasiswa, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri kita baru-baru ini,” tambah beliau. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun lepas berkata, satu kategori baru akan diwujudkan dalam pemberian biasiswa Jabatan Perhubungan Awam (JPA). Kategori baru yang akan diperkenalkan mulai tahun depan hanya berdasarkan merit dan bukannya bangsa. Menurut Alimuddin, Kabinet telah meluluskan pertukaran gred tersebut pada bulan lepas. “Ini tiada kaitan dengan peperiksaan SPM kerana ini hanya melibatkan gred,” ujarnya. Katanya, guru besar di semua sekolah menengah telah diarah untuk menerangkan mengenai sistem baru tersebut kepada calon-calon yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.--M star online

macam cokfat

assalamualaikum. hehehe, macam cokfat. sekejap kat Seremban, sekejap kat Kelantan, ni (masa sedang ditulis catatan) baru je sampai Seremban. lepas ambik mak dan abah dari Kelantan semalam. pada awalnya, cadang-cadang nak turun keretapi ni kat KL Central terus tapi memandangkan keretapi ni sampai awal di Seremban, aku membuat keputusan untuk turun Seremban dulu sebab nak mandi, solat subuh dan sarapan. dalam pukul 10.00 baru pergi ke IJN dengan komuter dan teksi. rasanya, semenanjung Malaysia ni kecil je. boleh berada di Kelantan dan Seremban hanya dalam masa sehari semalam. mungkin ditambah dengan teknologi pengangkutan awam di Malaysia yang sudah meningkat dan tersusun menambahcepatkan lagi perjalanan aku agaknya. tambahan pula, balik ke Kelantan dan datang ke Seremban ni aku ambil tiket tempat tidur, jadi taklah terasa penat sangat kot. tapi, tak-tak penat pun, rasa nak melayang juga badan ni. sekejap lagi aku akan pergi ke IJN. mak saudaraku akan dimasukkan ke dalam wad biasa selepas pendaftaran pukul 1:00 petang dan sekiranya perancangan dapat dijalankan dengan lancar, insya allah pembedahan seperti yang dinyatakan dalam catatan sebelum ni akan dilakukan pada Hari Isnin atau Selasa. aku mohon sekali lagi jasa baik rakan-rakan pembaca blog ni dapat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mak saudara aku yang ku panggil maksu tu ya? moga-moga beliau selamat menjalani pembedahan tersebut dengan jayanya, insya allah.

Jumaat, Oktober 02, 2009

esok cuti!

assalamualaikum. happynya aku, esok cuti. dapat relax. tu yang sepatutnya la. sebab esok hari Sabtu. tapi cuti minggu ni, bukan kata nak relax, nak bernafas pun tak sempat kot. hehe. mana taknya, malam ni, aku nak balik kelantan semula dengan keta api. nak kena ambik mak dan abah, dia orang kena datang KL. kenapa? actually, hari Isnin ni mak saudara aku kena buat pembedahan jantung kat IJN. seawal hari Ahad lagi dia (mak saudara aku) kena masuk wad kat IJN tu. entah la... katanya ni pembedahan yang pertama akan dilakukan oleh doktor Malaysia kepadanya. pembedahan tu pelik sikit la. kena masukkan payung ke dalam jantung? macam tu la. tak tahu aku. kalau berjaya, pembedahan ni adalah pembedahan pertama yang berjaya di Malaysia ni. tapi menurut mak saudara aku lagi, berjaya ke, tak berjaya ke, penyakit jantungnya tak dapat dipulihkan seperti biasa, cuma hanya tahan sakit je la. risau aku dengar. tapi nak buat macam mana, dia sendiri yang nak buat pembedahan tu. orang-orang di sekeliling dia, terimalah keadaan tu seadanya. oh ya, dah melalut dah aku. sampai-sampai je kelantan pagi esok, aku relax jap pastu petang nak kena naik keta api lagi, nak balik semula KL. sebab hari Ahad dah kena ada di KL, kat IJN. penat oooo..... lepas tu, petang Ahad tu kena balik semula ke Seremban, Isnin dah kena ngajar. tapi, demi mak saudara aku dan demi mak dan abah aku, aku gagahkan juga diri ni buat semua tu. doa-doakanlah ya kawan-kawan semua, moga-moga mak saudara aku dapat jalani pembedahannya dengan berjaya, insya allah. amin

Khamis, Oktober 01, 2009

perkenalkan diri sikit

assalamualaikum. salam perkenalan kepada semua pembaca blog yang sempat melayari blog yang tak seberapa ni. saya sebenarnya tidaklah pandai sangat menulis dan mencoret. namun, oleh kerana keinginan saya untuk berkongsi pengalaman, cerita dan berita, suka dan duka kehidupan saya serta orang-orang di keliling saya, saya gagahkan juga hati ini untuk mewujudkan satu lagi diari kehidupan manusia di alam maya ini untuk ditatap, dibaca dan didengar oleh semua pembaca. harapan saya salam perkenalan ini sudi disambut dengan huluran tangan yang mesra dan hati yang ikhlas menerima kehadiran blog ini. terima kasih.