Jumaat, Mei 25, 2012

Selamat bercuti


  Alhamdulillah, diam tak diam, kita telah berada di penghujung semester pertama sesi persekolahan bagi takwim Negara kita Malaysia. Pada hujung semester, akan adalah peperiksaan yang dijalankan bagi menguji pengetahuan murid-murid sepanjang pembelajaran di semester pertama tersebut. Kebanyakan sekolah telah Berjaya melangsaikan tanggungjawab mereka bagi mengadakan peperiksaan pertengahan tahun sebelum berakhirnya cuti semester ini. Menjelang cuti yang akan tiba, maka bergembiralah murid-murid dan para pelajar sekolah. Tidak kurang hebatnya para pendidik juga. Setelah berpenat lelah mendidik anak bangsa yang tercinta, dua minggu secara rasminya diperuntukkan kepada mereka untuk merehatkan diri sambil merapatkan tali silatul rahim bersama-sama dengan keluarga tercinta.


Namun, di sebalik cuti yang diperuntukkan, akan adalah sesetengah para pendidik yang akan sibuk dengan tugasan-tugasan rasmi masing-masing yang tidak membolehkan mereka berehat dengan tenang. Ada yang terpaksa memasuki kelas-kelas di institute-institut pendidikan guru sebagai pelajar kepada mana-mana program pensiswazahan perguruan, yang difahamkan ada di antara mereka akan memasuki kelas secara terus-menerus bermula dari 26 Mei hingga 9 Jun 2012 ini, ada yang perlu menanda kertas jawapan peperiksan pertengahan tahun, ada juga yang dihantar untuk menghadiri kursus-kursus anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Jabatan Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran negeri masing-masing di bawah bahagian-bahagian tertentu, ada juga yang perlu mengadakan kelas-kelas tambahan sebagai persediaan untuk peperiksaan-peperiksaan awam yang bakal menjelang pada hujung tahun nanti, dan macam-macam lagi tugasan yang perlu diusaikan oleh para pendidik ini. maka benarlah kata orang, pendidik tidak hanya mendidik di sekolah sahaja, tetapi lebih daripada itu. Justeru, apa pun tugas dan tanggungjawab para pendidik pada waktu cuti ini, hadapilah ia dengan tenang, kerana ianya telah ditentukan oleh yang maha kuasa.


Pada kesempatan yang ada ini, saya ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua murid dan tidak ketinggalan rakan-rakan pendidik semua. Semoga dengan peruntukan dua minggu cuti ini, dapat kita merehatkan diri untuk membawa semangat yang baru mendidik anak bangsa apabila semester dua bermula pada 11 Jun 2012 nanti, Insya Allah.

Khamis, Mei 24, 2012

Bersyukur ke Hadrat Ilahi.



Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Azza Wa Jalla yang telah meminjamkan sekali lagi kehadiran Bulan Allah yang penuh berkat ini, di mana, bulan ini juga adalah antara empat bulan-bulan Haram, iaitu Bulan Rejab yang terkenal dengan sirah yang agung di dalamnya,  kepada hambaNya di atas muka bumi ini. Bulan yang penuh rahmat ini dikurniakan untuk ke sekian kalinya lagi kepada kita dengan tujuan, kita dapat memanfaatkannya sebaik-baiknya dengan melakukan ibadat-ibadat sunnah yang penuh dengan kemanisan sementara menanti menjelangnya bulan yang dikhususkan untuk Umat Rasulullah, iaitu Ramadhan yang diiringi oleh Bulan yang dikhususkan untuk Rasulullah, iaitu Bulan Sya’ban sejurus sebelumnya itu.


Bulan Rejab yang terkenal dengan sirah perjalanan Rasulullah SAW yang telah diperjalankan oleh Allah Subhanahu wata’ala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, seterusnya  naik ke langit untuk menerima wahyu solat lima waktu secara langsung daripada al-Khaliq, yang dikenali juga sebagai peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini harapnya dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh hambaNya yang mengetahui akan kelebihan-kelebihannya.


Semoga Allah memanjangkan usia kita semua untuk meni’mati Bulan Rejab hingga ke hujungnya, seterusnya bertemu dengan Bulan Sya’ban dan menemui bulan yang paling dicintai oleh orang-orang yang soleh, iaitu bulan yang dikhususkan untuk kita sebagai umat Rasulullah, Ramadhan al-Mubarak nanti. Berdoalah kita semua agar impian kita ini didengari oleh Allah dan seterusnya memperkenankan doa dan permintaan kita ini hendaknya, Insya Allah. Amin…

Rabu, Mei 23, 2012

termenung seketika

catatan tanpa edit.

hehehe. termenung kejap. memikirkan apa yang telah berlaku sepanjang tahun 2006 hingga sekarang. rupa-rupanya, telah banyak pengalaman pahit manis, suka duka, perit-jerih, dan lain-lain perkataan pro-kontra lagi aku lalui. bujang... waktu ini waktu bujang. waktu tiada siapa yang mendampingiku secara kekal (sudut duniawi) melainkan dampingan-dampingan kecil yang kekadang singgah, datang dan pergi mengikut peredaran masa melalui jalan yang dibentangkan oleh Ilahi. kehidupan bujangku sudah hampir berakhir. tidak sampai 10 hari lagi, Insya Allah aku akan diberi pula suatu kehidupan baharu, kehidupan yang lain daripada kehidupan aku sebelum ini di atas dunia yang fana ini, kehidupan berkeseorangan di waktu malam sunyi, kehidupan yang penuh liku dan madu. tapi kehidupan selepas ini adalah sebuah kehidupan yang lagi mencabar dan lagi manis madunya. madu? oppsss. (orang perempuan tak suka perkataan madu ni). jadi, aku mohon kepada rakan sahabat, agar doakanlah aku kepada Allah agar aku dapat menempuhi kehidupan bersama pasangan yang difitrahkan oleh Allah untuk setiap manusia ini penuh dengan kebahagiaan dan kerahmatan serta keredhaan daripada Ilahi. Redha ibu bapaku amat kutagih untuk sepanjang masa dari dunia hingga akhirat yang paling penting bagi mencapai keredhaan Allah. aku mohon kekawan agar mendoakan aku akan keharmonian dalam rumah tangga dan kesejahteraan dalam perhubungan yang suci yang telah dan akan dikurniakan oleh ilahi. dah, dah, cukup termenung.. gi  jaga periksa tu. termenung pulak dia... hehehe...

Selasa, Mei 22, 2012

blog ni guna setting baru ke?

kan dah salah... baru edit balik.. hehehe ni yang betul.
alamak, waktu aku nak mencatat sesuatu, aku buka dashboard blog aku. tiba-tiba je setting semua dah berubah. setting baru ke ni? dah tak guna link dah. banyak guna button lak. dah padan muka aku. tu la. rajin sangat mencatat. sampai blog berubah pun tak tahu. ha, hambik kau, terkial-kial jugak nak mencari catatan baru. dulu apa tah perkataan dia. aku pun dah lupa. ok la. nak belajar setting dalam blog ni jap. nantilah aku catatkan sesuatu. ni testing je. kot jadi, alhamdulillah. kot tak jadi, aku je yang tahu aku tulis ni, sebab semua ni datang daripada otak aku. hehehe. cau cin cau...

Ahad, Mac 04, 2012

Sekadar Luahan


Assalamualaikum. Terasa terpanggil pulak hendak meluahkan rasa yang sudah terpendam hamper tiga bulan ini. Rasa? Hehehe.. bukan tidak puas hati, atau sakit hati, atau iri hati atau apa jua yang berkaitan dengan hati. Tetapi sedikit terkilan dengan proses pembahagian yang dijalankan.


Pembahagian? “Apa pulak kau merepek ni?” Hehehe… sebenarnya, saya sedang memikirkan entah di mana silapnya… siapa yang silap… apa yang silap… hinggakan saya dan beberapa orang yang senasib dengan saya menerima ujian yang sama.  Mana tidaknya, SAYA, dan beberapa orang lagi guru yang bermasalah penglihatan (tidak mempunyai penglihatan langsung atau mempunyai penglihatan terhad), yang mempunyai kelulusan pengajian dalam pendidikan khas, Pengkhususan Masalah Penglihatan, atau sekurang-kurangnya mempunyai kelulusan dalam bidang pendidikan, (sama ada diploma/ijazah sarjana muda/ijazah sarjana), (bukan bertujuan bermegah-megah dengan sedikit kelulusan yang ada, namun sekadar hendak menunjukkan pengkhususan sahaja), yang jika difikir-fikirkan wajarlah ditempatkan di Sekolah Pendidikan Khas (SPK)/Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Masalah Penglihatan, kini ada ditempatkan di Program Pendidikan Khas Integrasi Masalah Pembelajaran (selepas ini saya tulis sebagai PPKI LD sahaja).


Bila ditanya mengapakah saya ditempatkan di PPKI LD ini? Jawapan mereka yang bertanggungjawab, SPK/PPKI Masalah Penglihatan yang tuan/puan mohon tiada kekosongan. Jika tiada kekosongan, mengapakah diluluskan permohonan pertukaran saya? Apakah butang kelulusan ditekan terlebih dahulu dalam borang permohon Online saya baru disemak sama ada terdapat  ruang kosong di SPK/PPKI Masalah Penglihatan tempat permohonan saya itu? Sedangkan permohonan saya itu jelas, memenuhi semua kehendak dan keperluan mereka sama ada untuk meluluskan atau pun tidak.


Bila ditanya lagi, alasan selanjutnya diberi ialah tidak mengetahui saya ini guru yang bermasalah penglihatan. bagaimana tidak mengetahui saya ini guru bermasalah penglihatan, sedangkan saya telah mencatat di ruang “sebab pertukaran” bahawa saya ialah guru bermasalah penglihitan. Adakah mereka tidak membaca setiap sebab pertukaran yang dikemukakan sehingga tidak mengetahui saya ini adalah guru bermasalah penglihatan?  bagaimanakah sebab-sebab yang dikemukakan oleh guru-guru lain dalam borang pertukaran mereka itu? Adakah tidak dibaca jugakah? Atau, bagaimana hendak diketahui seseorang guru itu mempunyai kecacatan atau tidak sedangkan pernyataan untuk menunjukkan fizikal seseorang guru itu tidak disisipkan ke dalam borang online itu?


Wooo.. penatnya membebel. Itu semua soalan-soalan yang “saya” lontarkan kepada mereka yang bertanggungjawab. Alasan yang akhirnya diberikan ialah mereka terlepas pandang. Hmmm… tak faham, tak faham… tiada alasan yang mampu lagi diberi, entah bila mereka bermesyuarat, bila ditanya lagi, jawapan yang diberi, mereka tidak mahu guru-guru yang bermasalah penglihatan ini ramai sangat dalam sesuatu SPK/PPKI Masalah Penglihatan, cukup hanya dua orang sahaja setiapSPK/PPKI Masalah Penglihatan. Beberapa alasan lain yang diberikan kemudiannya untuk menyokong faktanya itu yang menyebabkan hati dan perasaan saya yang sudah sekian lamanya sensitif ini terguris dan terkilan. Entah dari mana fakta kenyataan itu mereka peroleh, saya tidak pasti.


Bagi saya, tidak kisah di mana saya ditempatkan, asalkan saya mampu memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada mereka. Namun, jika diletakkan saya di PPKI LD, bagaimanakah saya mahu mengajar mereka? Hal ini terbukti, setelah hamper tiga bulan saya ditempatkan di PPKILd ini, tidak banyak yang boleh saya sumbangkan kepada mereka. Kasihan murid-murid saya. Mereka tidak bersalah. Saya yang gagal menunaikan tanggungjawab saya sebaiknya lantaran daripada “ikan kembung yang dipaksa hidup di atas darat” oleh mereka yang saya anggapkan tidak bertanggungjawab. Andainya anda dapat bayangkan,anda sedang menutup mata, anda mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran, mampukah anda menunaikan tanggungjawab tersebut sebaiknya? Saya rasa sudah tentu tidakkan? Anda bayangkanlah murid-murid bermasalah pembelajaran itu bagaimana. Mereka tidak seperti murid-murid bermasalah penglihatan. terdapat murid-murid yang langsung tidak boleh belajar, terlalu hiper active, dan macam-macam lagi. Hanya yang benar-benar khusus dalam bidangnya sahaja mampu mengajar dengan baik murid-murid itu kerana mereka dilatih dengan pelbagai kaedah yang sesuai untuk mengajar dan mengejar mereka. Bagaimanakah seorang guru yang tidak mempunyai penglihatan untuk menghadapi murid yang hiper active? Dapat anda bayangkan? Logikkah penempatan ini?


Selain itu, rugilah ilmu yang saya dan beberapa orang guru bermasalah penglihatan lain yang senasib dengan saya miliki, andainya tidak dimanfaatkan sebaiknya, dan tidak diletakkan di tempat yang sewajarnya. Andainya saya dan mereka yang senasib dengan saya ditempatkan di sekolah yang betul, sudah tentu, ilmu yang kami miliki hasil daripada apa yang kami pelajari bertahun-tahun di institute-institut pengajian guru mahupun university-universiti dapat dimanfaatkan dengan sewajarnya. Murid-murid yang akan diajar pun adalah murid-murid yang kami mampu kendalikannya, Wang yang dialirkan untuk membayar upah kami pun tidak dibazirkan begitu sahaja lantaran daripada pengendalian tugas yang tidak sempurna.


Tidak adil andainya meminta bayi yang baru lahir berlarikan? tidak adil untuk meminta sang kerbau terbangkan?  Tidak adil untuk meminta orang pekak mendengar radiokan (kecuali Kevin, Kevin boleh dengar radio… manalah Kevin sekarang ya? Hehehe. Lama tak jumpa Kevin.).


Bertindaklah sewajarnya bila kita berada di atas, tiada masalah yang tidak ada penyelesaian. Pelbagai pintu rundingan boleh dibuka bagi memastikan definisi adil itu dapat di praktikkan. Definisi adil? Apa dia ya? Meletakkan sesuatu pada tempatnya. Berbuat senanglah kepada orang bawah kita sebelum mereka mengadu kepada saluran-saluran yang bukan sewajarnnya. Andainya dibuat demikian, tahu pula hendak melenting, katanya tidak disalurkan di tempat yang betul. Bila disalurkan di tempat yang sewajarnya, sehingga sekarang nasib saya dan rakan-rakan yang senasib dengan saya masih belum dibela. Tiga bulan, lama tu. Terlalu lama. Terlalu membazir masa yang telah dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang manfaat yang dapat diberikan. Wallahu a’lam.

Selasa, Februari 28, 2012

demam yang berpanjangan



dalam pada Bulan Februari sudah menemui penghujungnya, keadaan cuaca terutamanya di negara kita khususnya, dan Negara-negara lain umumnya, masih lagi tidak menentu. sekejap panas, sekejap hujan. Ini akan menyebabkan keadaan kita menjadi agak tidak selesa bila mana kita senantiasa berpanas dan berhujan untuk berjalan ke sesuatu tempat. Tambahan pula, aktiviti berjalan itu adalah merupakan aktiviti seharian yang wajib kita lakukan, yang tidak boleh tidak dilakukan, di mana, jika tidak dilakukan akan menyebabkan punca rezeki kita tidak akandiperoleh.

Sekiranya antibody kita lemah, akan keraplah kita diserang dengan demam, batuk, sakit tekak dan lain-lain penyakit pakej yang biasanya datang bersama-sama dengan demam itu.

Suka saya mengingatkan kepada diri saya dan rakan-rakan pembaca sekalian, agar perbanyakkanlah minum air suam supaya kita tidak terhidrasi lantaran daripada persekitaran yang tidak menentu ini. Tambahan lagi kepada mereka yang seharian bertugas di tempat yang berhawa dingin, bila berada di tempat tersebut akan berasa kesejukan, manakala bila keluar ke tempat biasa, akan terasalah kepanasan yang akhirnya menyebabkan tekak akan berasa kering dan mudah terkena sakit tekak yang mengakibatkan batuk dan sebagainya.

Hal ini sudah saya rasai di mana, dalam tempoh satu bulan, sudah dua kali saya didatangi oleh Encik Demam yang sedikit sebanyak mengganggu kerja-kerja harian saya. Bila dia (Encik Demam) datang kepada saya, biasanya ia akan membawa sekali kaum keluarganya iaitu batuk, sakit tekak, sakit dan pening kepala, yang akhirnya memaksa saya membaringkan diri seharian di atas katil sambil dilitupi oleh selimut yang tebal ke seluruh badan saya.

Akhirnya, melayanglah sepuluh dua ringgit lantaran daripada keterpaksaan saya untuk menemui doctor bagi mendapatkan ubat sebagai ikhtiar bagi merawat penyakit yang ditanggungi. Kalau bernasib baik, dapatlah sijil cuti sakit sehari dua untuk memberikan saya peluang rehat di rumah. Di kala coretan ini ditulis pun, tekak saya terasa kembali mulai kesakitan lantaran sudah lebih daripada 24 jam saya berada di tempat yang berhawa dingin, dan tempat ini harus saya duduki sehinggalah ke hari Jumaat, bagi menyelesaikan tugasan yang diamanahkan oleh Kerajaan Malaysia kepada saya. Justeru, saya harus mengingatkan diri saya sendiri sekarang, agar perbanyakkan minum air suam, air masak dan segala mak nika air yang boleh memberikan badan saya ini banyak air.

Moga-moga coretan ini bukan sahaja sekadar tulisan bagi memenuhi masa terluang selepas penat bertugas, malahan, ia akan memberi manfaat kepada saya khususnya, dan kepada kita semua umumnya… Insya Allah…

(saya bukan doctor, tapi saya hanya nak tegur, hehehe)…

Ahad, Februari 26, 2012

catatan malu-malu

Assalamualaikum. kenapa catatan ini diberi tajuk catatan malu-malu? hehehe... kerana saya berasa malu untuk mencatat lagi. malu kerana sudah lama tidak mencatat. tiba-tiba malam ni nak buat catatan pulak. sebenarnya, saya terlupa kata laluan untuk memasuki papan pemuka "DeskBoard" pada blog ini. itulah sebabnya agak lama tidak mencoretkan catatan baru. entah bagaimana, sekonyong-konyong, saya terjumpa semula kata laluan blog ini di dalam telefon bimbit lama saya. alhamdulillah, jadi, saya cuba buka blog ini, dapat pula akses ke dalamnya. jadi saya tulislah sedikit catatan untuk memberi penjelasan mengapa saya sudah lama tidak menulis. harapan saya, kepada yang bertanya akan persoalan tersebut, moga-moga terjawablah sudah persoalan itu. hehehe. tulisan macam budak-budak pula ya? berbelit-belit bunyinya. macam baru belajar menulis. almaklumlah, saya tidak hadir kursus menulis, jadi ayat pun tunggang-terbalik. lagipun, dah lama tidak menulis... hmmm... alasan, alasan. macam-macam alasan si Suhaimi ni. hehehe. apa-apa pun, doakan saya kembali aktif menulis di dalam blog ini ya? salam kemaafan kepada semua. cau cin cau....