Jumaat, Mei 25, 2012

Selamat bercuti


  Alhamdulillah, diam tak diam, kita telah berada di penghujung semester pertama sesi persekolahan bagi takwim Negara kita Malaysia. Pada hujung semester, akan adalah peperiksaan yang dijalankan bagi menguji pengetahuan murid-murid sepanjang pembelajaran di semester pertama tersebut. Kebanyakan sekolah telah Berjaya melangsaikan tanggungjawab mereka bagi mengadakan peperiksaan pertengahan tahun sebelum berakhirnya cuti semester ini. Menjelang cuti yang akan tiba, maka bergembiralah murid-murid dan para pelajar sekolah. Tidak kurang hebatnya para pendidik juga. Setelah berpenat lelah mendidik anak bangsa yang tercinta, dua minggu secara rasminya diperuntukkan kepada mereka untuk merehatkan diri sambil merapatkan tali silatul rahim bersama-sama dengan keluarga tercinta.


Namun, di sebalik cuti yang diperuntukkan, akan adalah sesetengah para pendidik yang akan sibuk dengan tugasan-tugasan rasmi masing-masing yang tidak membolehkan mereka berehat dengan tenang. Ada yang terpaksa memasuki kelas-kelas di institute-institut pendidikan guru sebagai pelajar kepada mana-mana program pensiswazahan perguruan, yang difahamkan ada di antara mereka akan memasuki kelas secara terus-menerus bermula dari 26 Mei hingga 9 Jun 2012 ini, ada yang perlu menanda kertas jawapan peperiksan pertengahan tahun, ada juga yang dihantar untuk menghadiri kursus-kursus anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Jabatan Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran negeri masing-masing di bawah bahagian-bahagian tertentu, ada juga yang perlu mengadakan kelas-kelas tambahan sebagai persediaan untuk peperiksaan-peperiksaan awam yang bakal menjelang pada hujung tahun nanti, dan macam-macam lagi tugasan yang perlu diusaikan oleh para pendidik ini. maka benarlah kata orang, pendidik tidak hanya mendidik di sekolah sahaja, tetapi lebih daripada itu. Justeru, apa pun tugas dan tanggungjawab para pendidik pada waktu cuti ini, hadapilah ia dengan tenang, kerana ianya telah ditentukan oleh yang maha kuasa.


Pada kesempatan yang ada ini, saya ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua murid dan tidak ketinggalan rakan-rakan pendidik semua. Semoga dengan peruntukan dua minggu cuti ini, dapat kita merehatkan diri untuk membawa semangat yang baru mendidik anak bangsa apabila semester dua bermula pada 11 Jun 2012 nanti, Insya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

komen sikit...