Seperti yang sedia maklum, dan pada yang belum maklum, pada
Hari Selasa, 27 Syawal 1434 Hijriah, bersamaan dengan 3 September 2013 yang
lepas, saya telah diuji dengan sedikit ujian yang telah dikurniakan oleh
pemilik seluruh alam ini. Allah Rabbul-Malik. Pada pagi itu, seperti biasa,
setelah bersalaman dengan isteri dan anak, saya keluar dari rumah dan menuruni
tangga untuk memulakan langkah ke tempat kerja. Alhamdulillah, perjalanan saya
pada masa itu lancar. Saya menaiki Putra-LRT dari stesen Taman Melati ke Masjid
Jamek seperti biasa, jam 6.23 pagi dan tiba di Masjid Jamek jam 6.46 pagi. Setelah
melangkah keluar dari Putra-LRT di stesen Masjid Jamek, saya berjalan
menyelusuri terowong pejalan kaki menuju ke stesen Star-LRT untuk ke tempat
kerja. Hasrat saya untuk turun di stesen Star-LRT Sultan Ismail, dari Masjid
Jamek. Saya berjalan seperti biasa, menaiki tangga yang entah berapa meter
tingginya dan masuk keluar lif, terus ke platform stesen tersebut. setelah tiba
di platform, train baru sahaja berlepas. Ini bermakna, train jam 6.53 pagi
sudah terlepas dan saya perlu menunggu train yang berikutnya. Jam 6.56 pagi,
train berikutnya tiba, dan setelah pintu dibuka, saya seperti biasa, melangkah
dengan berhati-hati untuk memasuki train tersebut.
Takdir Allah menentukan, setelah saya melangkah memasuki pintu
train, tiba-tiba saya rasa jangkahan saya amat jauh ke dalam dan tahu-tahu
sahaja saya telah berada di bawah train akibat terjatuh dari platform. Rupa-rupanya,
saya bukan melangkah ke pintu train, sebaliknya, saya telah melangkah di tengah-tengah
penyambung antara dua gerabak di bahagian dan belakang. Akibatnya, saya terjatuh
ke dalam platform dan berada di bawah train. Jatuh sahaja saya di bawah train
tersebut, dua sahaja yang saya terfikir, hidup atau mati. Ini kerana jika tidak
betul gayanya, saya akan dipijak oleh tayar train yang bakal bergerak sebentar
lagi.
Bersyukur ke hadrat Allah, pada waktu itu, dengan sepantas
kilat, Allah telah memberikan sedikit akal pada fikiran saya untuk menyorok di
bawah platform yang kebetulan di bawah platform stesen Star-LRT Masjid Jamek
itu ada sedikit ruang seperti kabinet dapur untuk saya berselindung di
bawahnya. Walau bagaimanapun, keyakinan saya untuk terselamat masih lagi kabur,
kerana sebelum itu. saya tidak tahu, di mana saya berada ketika itu. yang
pasti, saya berada di bawah suatu tempat yang atasnya saya ketuk seakan-akan
simen.
Setelah kedengaran pintu Star-LRT ditutup, maka saya
berdebarlah menunggu nasib saya sama ada kekal hidup, atau sebaliknya. Train berjalan
perlahan meninggalkan saya di bawah platform tersebut. setelah train melepasi
saya, saya rasa terlalu lega. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,
perasaan syukur yang amat kepada Allah kerana menyelamatkan saya daripada
menerima apa-apa musibah daripada peristiwa itu.
Setelah train melepasi saya, saya menunggu kalau-kalau ada
orang yang akan membantu membawa saya naik dari platform tersebut. hampir 3
minit setelah kejadian tersebut, kedengaran bunyi walkie-talkie pegawai-pegawai
Stesen Star-LRT Masjid Jamek. Butir biji bicaranya tidak dapat saya dengari,
yang pasti, saya mendengar suara jeritan dari atas “ada orang ke di bawah”,
lalu dengan spontan saya menjawab “ada!”. Mereka berbincang untuk menaikkan
saya dari bawah platform tersebut dan saya meminta mereka menyegerakan bantuan
terhadap saya kerana pada fikiran saya, saya perlu berada di tempat kerja
sebelum jam 7.30 pagi.
Setelah demikian, saya dibantu dengan seorang pegawai turun
ke bawah platform untuk menaikkan saya dan dibantu oleh dua pegawai di atas
untuk menyambut saya. berasa diri saya tidak mengalami sebarang kecederaan,
saya berasa amat bersyukur sekali. Pertamanya, saya terselamat daripada maut
yang seolah-olah menunggu saya di bawah platform tersebut, dan keduanya saya
tidak mengalami apa-apa kecederaan lantaran daripada insiden yang menimpa saya
itu.
Pegawai-pegawai tersebut menerima arahan daripada “Control”
untuk membawa saya ke bilik rehat dan memeriksa saya kalau-kalau terdapat
kecederaan. Walaupun saya meminta izin untuk bergerak ke tempat kerja kerana
waktu sudah agak lewat, mereka agak keberatan untuk melepaskan saya. Namun,
oleh kerana pada waktu itu saya berfikir, agak payah untuk saya menghadapi
situasi berikutnya andainya saya lewat masuk ke tempat kerja, saya bertegas
juga untuk ke tempat kerja. Mereka katakan baju saya kotor, namun saya tidak
mengindahkannya. Entah kenapa begitu fikiran saya pada hari itu. Yang saya
tahu, saya nak juga ke tempat kerja dengan segera. Seorang pegawai akhirnya mengiringi
saya menaiki Star-LRT ke Stesen Sultan Ismail, destinasi sepatutnya saya turun
train yang saya nak naik sebelum itu. Setelah saya berjanji untuk menemui
mereka semula pada tengah harinya, dan memberikan nombor telefon saya, barulah
pegawai tersebut melepaskan saya.
Saya mula terasa sakit-sakit di bahagian pinggang. Walau bagaimanapun,
saya gagahkan juga berjalan ke tempat kerja, dengan badan yang mula rasa
sakit-sakit, dan baju yang dikatakan kotor. Entah banyak atau sikit kotornya
saya tidak pasti. Yang pasti, tiba di tempat kerja, rakan sekerja menegur akan
kekotoran baju saya dan kecomotan tangan saya. Namun, persoalan tersebut tidak
dapat saya jawab, kerana saya tidak tahu, bagaimana untuk saya menceritakan
peristiwa itu kepada rakan sekerja saya. Dan sehingga coretan ini diterbitkan,
mereka masih tidak tahu akan peristiwa yang menimpa saya itu. Dan, akibat daripada
peristiwa itu, saya masih terasa sakit-sakit di bahagian pinggang hingga ke
tengah belakang. Mungkin akibat terhentak dengan kuat semasa terjatuh atau
sebagainya, wallahu a’-lam. Kepada isteri saya pun saya tidak bercerita akan
peristiwa ini hinggalah saya pulang ke rumah pada petangnya, baru saya
bercerita.
Akibat daripada peristiwa itu, saya berasa berdebar setiap
kali melangkahkan kaki memasuki train terutamanya Star-LRT. Fobia akan
peristiwa itu masih saya rasai hinggakan tsehingga coretan ini diterbitkan,
isteri saya masih lagi menghantar dan mengambil
saya pergi dan balik dari kerja. Saya perlu mendapatkan bantuan untuk
memulihkan perasaan takut den berdebar ini dalam jangka masa terdekat agar ia
dapat dipulihkan seperti sediakala.