Rabu, September 11, 2013

Menyelami Peristiwa

Alhamdulillah, thumm alhamdulillah, thumm alhamdulillah, thumm alhamdulillah, rabbil ‘aalamiin… di atas limpah kurniaNya, yang menjadikan hambaNya yang terlalu hina ini berada di atas muka bumiNya ini dan masih dipinjamkan secebis kehidupan bagi hambaNya ini menghadapi cabaran dunia yang kian mencengkam ini. bersyukur setinggi-tingginya saya ke Hadrat Allah, Rabbul-rahim, yang memberikan ihsan dan belas kasihanNya kepada hambaNya ini seterusnya telah menyelamatkan hambaNya ini dari ditimpa marabahaya yang memungkinkan cabaran-cabaran yang lebih besar pada hari-hari yang mendatang, bukan kepada hambaNya ini, tetapi kepada insan-insan lain yang berada di keliling hambaNya ini terutamanya isteri, anak, ibu, bapa, serta adik-adik hambaNya ini. bersyukur kepadaMu ya Rabbi yang masih meminjamkan sedikit kehidupan kepada hambaMu ini biarpun terasa ianya hampir berakhir pada ketika itu. Allahu rabbi, tidak dapat diucap dan diungkapkan dengan kata-kata. Sedikit coretan saya ini semoga ianya memberikan manfaat kepada kita semua, tidak kira siapa, keseluruhannya yang terlibat, moga ianya dapat dijadikan iktibar untuk kita semua.
 
Seperti yang sedia maklum, dan pada yang belum maklum, pada Hari Selasa, 27 Syawal 1434 Hijriah, bersamaan dengan 3 September 2013 yang lepas, saya telah diuji dengan sedikit ujian yang telah dikurniakan oleh pemilik seluruh alam ini. Allah Rabbul-Malik. Pada pagi itu, seperti biasa, setelah bersalaman dengan isteri dan anak, saya keluar dari rumah dan menuruni tangga untuk memulakan langkah ke tempat kerja. Alhamdulillah, perjalanan saya pada masa itu lancar. Saya menaiki Putra-LRT dari stesen Taman Melati ke Masjid Jamek seperti biasa, jam 6.23 pagi dan tiba di Masjid Jamek jam 6.46 pagi. Setelah melangkah keluar dari Putra-LRT di stesen Masjid Jamek, saya berjalan menyelusuri terowong pejalan kaki menuju ke stesen Star-LRT untuk ke tempat kerja. Hasrat saya untuk turun di stesen Star-LRT Sultan Ismail, dari Masjid Jamek. Saya berjalan seperti biasa, menaiki tangga yang entah berapa meter tingginya dan masuk keluar lif, terus ke platform stesen tersebut. setelah tiba di platform, train baru sahaja berlepas. Ini bermakna, train jam 6.53 pagi sudah terlepas dan saya perlu menunggu train yang berikutnya. Jam 6.56 pagi, train berikutnya tiba, dan setelah pintu dibuka, saya seperti biasa, melangkah dengan berhati-hati untuk memasuki train tersebut.

Takdir Allah menentukan, setelah saya melangkah memasuki pintu train, tiba-tiba saya rasa jangkahan saya amat jauh ke dalam dan tahu-tahu sahaja saya telah berada di bawah train akibat terjatuh dari platform. Rupa-rupanya, saya bukan melangkah ke pintu train, sebaliknya, saya telah melangkah di tengah-tengah penyambung antara dua gerabak di bahagian dan belakang. Akibatnya, saya terjatuh ke dalam platform dan berada di bawah train. Jatuh sahaja saya di bawah train tersebut, dua sahaja yang saya terfikir, hidup atau mati. Ini kerana jika tidak betul gayanya, saya akan dipijak oleh tayar train yang bakal bergerak sebentar lagi.

Bersyukur ke hadrat Allah, pada waktu itu, dengan sepantas kilat, Allah telah memberikan sedikit akal pada fikiran saya untuk menyorok di bawah platform yang kebetulan di bawah platform stesen Star-LRT Masjid Jamek itu ada sedikit ruang seperti kabinet dapur untuk saya berselindung di bawahnya. Walau bagaimanapun, keyakinan saya untuk terselamat masih lagi kabur, kerana sebelum itu. saya tidak tahu, di mana saya berada ketika itu. yang pasti, saya berada di bawah suatu tempat yang atasnya saya ketuk seakan-akan simen.

Setelah kedengaran pintu Star-LRT ditutup, maka saya berdebarlah menunggu nasib saya sama ada kekal hidup, atau sebaliknya. Train berjalan perlahan meninggalkan saya di bawah platform tersebut. setelah train melepasi saya, saya rasa terlalu lega. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, perasaan syukur yang amat kepada Allah kerana menyelamatkan saya daripada menerima apa-apa musibah daripada peristiwa itu.

Setelah train melepasi saya, saya menunggu kalau-kalau ada orang yang akan membantu membawa saya naik dari platform tersebut. hampir 3 minit setelah kejadian tersebut, kedengaran bunyi walkie-talkie pegawai-pegawai Stesen Star-LRT Masjid Jamek. Butir biji bicaranya tidak dapat saya dengari, yang pasti, saya mendengar suara jeritan dari atas “ada orang ke di bawah”, lalu dengan spontan saya menjawab “ada!”. Mereka berbincang untuk menaikkan saya dari bawah platform tersebut dan saya meminta mereka menyegerakan bantuan terhadap saya kerana pada fikiran saya, saya perlu berada di tempat kerja sebelum jam 7.30 pagi.

Setelah demikian, saya dibantu dengan seorang pegawai turun ke bawah platform untuk menaikkan saya dan dibantu oleh dua pegawai di atas untuk menyambut saya. berasa diri saya tidak mengalami sebarang kecederaan, saya berasa amat bersyukur sekali. Pertamanya, saya terselamat daripada maut yang seolah-olah menunggu saya di bawah platform tersebut, dan keduanya saya tidak mengalami apa-apa kecederaan lantaran daripada insiden yang menimpa saya itu.
 
Pegawai-pegawai tersebut menerima arahan daripada “Control” untuk membawa saya ke bilik rehat dan memeriksa saya kalau-kalau terdapat kecederaan. Walaupun saya meminta izin untuk bergerak ke tempat kerja kerana waktu sudah agak lewat, mereka agak keberatan untuk melepaskan saya. Namun, oleh kerana pada waktu itu saya berfikir, agak payah untuk saya menghadapi situasi berikutnya andainya saya lewat masuk ke tempat kerja, saya bertegas juga untuk ke tempat kerja. Mereka katakan baju saya kotor, namun saya tidak mengindahkannya. Entah kenapa begitu fikiran saya pada hari itu. Yang saya tahu, saya nak juga ke tempat kerja dengan segera. Seorang pegawai akhirnya mengiringi saya menaiki Star-LRT ke Stesen Sultan Ismail, destinasi sepatutnya saya turun train yang saya nak naik sebelum itu. Setelah saya berjanji untuk menemui mereka semula pada tengah harinya, dan memberikan nombor telefon saya, barulah pegawai tersebut melepaskan saya.


Saya mula terasa sakit-sakit di bahagian pinggang. Walau bagaimanapun, saya gagahkan juga berjalan ke tempat kerja, dengan badan yang mula rasa sakit-sakit, dan baju yang dikatakan kotor. Entah banyak atau sikit kotornya saya tidak pasti. Yang pasti, tiba di tempat kerja, rakan sekerja menegur akan kekotoran baju saya dan kecomotan tangan saya. Namun, persoalan tersebut tidak dapat saya jawab, kerana saya tidak tahu, bagaimana untuk saya menceritakan peristiwa itu kepada rakan sekerja saya. Dan sehingga coretan ini diterbitkan, mereka masih tidak tahu akan peristiwa yang menimpa saya itu. Dan, akibat daripada peristiwa itu, saya masih terasa sakit-sakit di bahagian pinggang hingga ke tengah belakang. Mungkin akibat terhentak dengan kuat semasa terjatuh atau sebagainya, wallahu a’-lam. Kepada isteri saya pun saya tidak bercerita akan peristiwa ini hinggalah saya pulang ke rumah pada petangnya, baru saya bercerita.

Akibat daripada peristiwa itu, saya berasa berdebar setiap kali melangkahkan kaki memasuki train terutamanya Star-LRT. Fobia akan peristiwa itu masih saya rasai hinggakan tsehingga coretan ini diterbitkan, isteri saya  masih lagi menghantar dan mengambil saya pergi dan balik dari kerja. Saya perlu mendapatkan bantuan untuk memulihkan perasaan takut den berdebar ini dalam jangka masa terdekat agar ia dapat dipulihkan seperti sediakala.

 Menjadi harapan saya, agar pembaca-pembaca akan coretan ini sama-sama berfikir sedalam-dalamnya, apakah langkah yang wajar diambil agar peristiwa yang saya anggap terlalu berbahaya ini tidak berulang, terutamanya kepada golongan yang tidak berpenglihatan seperti saya ini. hakikatnya, kami perlu menggunakan kenderaan awam seperti ini untuk ke tempat kerja khususnya dan ke tempat-tempat lain umumnya, lantaran daripada keterbatasan kami untuk mengendalikan kenderaan sendiri di jalan raya. Jika menaiki kenderaan awam yang dikatakan selamat ini pun boleh mengundang bahaya kepada kami, apakah alternatif lain yang perlu kami gunakan? Ataupun, apakah tindakan wajar yang perlu diberi perhatian agar peristiwa ini tidak berulang lagi? pada saat peristiwa yang amat berbahaya itu berlaku kepada diri saya, ketika itu saya sedang melangkah untuk memasuki pintu train dengan penuh berhati-hati. Namun, sekelip mata sahaja ianya berlaku dan tidak dapat saya berbuat apa-apa. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua. Wallahu a’-lam.

1 ulasan:

  1. dorg sepatutnya myediakan khdmat pengiring tuk golongan yg kurang upaya ni...alhamdulillah slamat....seriau akak membayangkannya...

    BalasPadam

komen sikit...