assalamualaikum. di kesempatan yang ada ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidil Adhha 1431 Hijriah kepada semua pembaca halaman blog ini. semoga Aidil Adhha kali ini menyedarkan kita betapa besarnya makna akan peristiwa-peristiwa yang terkandung di sebalik kewujudan akan hari raya ini. dan seterusnya, peristiwa-peristtiwa seperti perintah Allah terhadap Nabi Ibrahim A.S. untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S., yang akhirnya Allah gantikan dengan peristiwa penyembelihan seekor Qibash, peristiwa melontar batu yang merupakan simbolik kepada perejaman Nabi Ismail A.S terhadap syaitan Laknatullahi 'Alaihim akibat syaitan tersebut menggoda Nabi Ismail agar mengingkari perintah Allah itu, dan peristiwa-peristiwa lain di samping itu menjadi pengajaran kepada kita semua bahawa, kita hanya Makhluk Allah SWT, dan selayaknya kita diuji oleh Allah SWT dengan ujian-ujian yang kita mampu untuk hadapinya. kerana Allah tidak akan menguji hambaNya dengan ujian yang tidak mampu dihadapi oleh hambaNya itu. sedangkan Nabi Allah, Ibrahim Khalilullah dan Nabi Ismail A.S sendiri pun diuji, apatah lagi kita, cuma hambaNya yang imannya lebih nipis daripada kulit bawang ini, akan lebih layak diuji olehNya dengan ujian-ujian yang kadang-kala membuatkan kita terjelepuk jatuh ke bumi dan tidak mampu lagi bangun untuk melawannya. namun, sedarlah kita semua, ujian-ujian yang Allah berikan kepada kita itu sebenarnya adalah ujian yang mampu kita hadapi, andainya Allah tempat kita meletakkan harapan dan tempat kita bergantung. namun, andainya bukan Allah tempat sebenar-benarnya kita berharap dan menggantungkan harapan, sebab itulah kita jatuh terjelepuk ke bumi dan tidak mampu lagi untuk bangun semula melawan ujian yang diberikan itu.
Semoga, Hari Raya Aidil Adhha ini juga dapat melipatgandakan pahala kita semua dengan Ibadah Qurban yang kita lakukan dan dapat mencapai Haji yang Mabrur bagi mereka yang sedang menunaikan Rukun Islam terakhir itu di Makkah al-Mukarramah tika dan saat ini. akhirnya, semoga kita semua ditempatkan dalam kalangan Hamba-hamba Allah yang soleh dan solehah, diampunkan segala dosa, dipermudahkan segala urusan, dimakbulkan segala niat dan diberi kebaikan di dunia mahupun akhirat hendaknya, Insya Allah. Wallahu A'-lam.
Salam Aidil Adhha.
Rabu, November 17, 2010
Kuda padi ganti anjing
JARI jemari Mona Ramouni menyelak helaian teks semasa dia menyemak ejaan untuk buku teks kalkulus yang akan diterbitkan dalam braille, dengan kuda padi yang menjadi juru pandunya duduk dengan sabar di sisi.
Cali, kuda padi keperangan yang cantik dengan bulu hitam lembut, haiwan yang menjadi juru pandu pertama untuk Mona, 28, wanita Islam buta yang kedua-dua ibu bapanya, pendatang dari Jordan, tidak akan menerima seekor anjing ke dalam rumah mereka.
Air liur anjing dianggap tidak bersih dalam ajaran Islam, meskipun anjing dibenarkan sebagai haiwan bekerja seperti menjadi penjaga atau pengembala.
"Terdapat hadis Nabi yang diterima oleh kebanyakan orang Islam bahawa malaikat tidak akan masuk ke rumah yang mempunyai anjing di dalam rumah itu," kata Pengarah Majlis Hubungan Islam Amerika, bahagian Michigan, Dawud Walid.
Menurutnya, meskipun beberapa ulama terkemuka menegaskan anjing sebagai juru pandu diterima Islam, ia tetap kekal sebagai tabu di kalangan kebanyakan orang Islam.
Kata Mona, ibu bapanya juga secara umumnya tidak menggemari haiwan walaupun mereka membenarkan dia membela arnab dan menerima kuda padi itu yang tinggal di kandang kecil di laman rumah mereka di Dearborn, Michigan, Amerika Syarikat (AS).
Selepas kebimbangan awal terhadap anak perempuan mereka terutama bagaimana Mona menyesuaikan diri dengan hanya seekor kuda kecil sebagai juru pandunya, mereka kemudiannya mula percaya Mona boleh berdikari dengan sendiri bersama kuda padi berkenaan.
Cali hanya seekor daripada sekelompok kuda kecil di AS yang digunakan sebagai haiwan pembimbing atau jurupandu untuk orang buda.
Beratnya kurang daripada 45 kilogram, kuda padi itu lebih kurang serupa saiznya dengan seekor anjing yang besar tetapi dapat membantu orang yang mempunyai masalah pergerakan.
Haiwan itu juga mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Ia boleh hidup dan bekerja selama lebih daripada 30 tahun manakala anjing yang menjadi jurupandu pula biasanya bersara pada usia 12 tahun.Bagaimanapun kuda padi perlukan lebih banyak jagaan dan lebih mahal harganya.
"Seluruh dunia saya dan pandangan saya mengenai pelbagai perkara berubah kerana saya rasa terdapat lebih banyak kemungkinan.
"Sebelum Cali, saya tak rasa saya boleh ke sana ke mari dengan sendiri, walaupun secara teorinya saya mungkin boleh," katanya.
Ketika kecil, Mona diajar bagaimana mencari arah dengan rotan tetapi tidak begitu berjaya. Dengan enam adik beradik, mereka sentiasa ada di sisi untuk memimpinnya.
Berdasarkan gerak hati, dia mula mencari kuda sebagai juru pandu dan tekad untuk menjadikannya satu kenyataan terutama apabila ada yang memberitahu dia tidak boleh melakukannya atau tak sepatutnya berbuat demikian.
Ada jiran yang cuba mempengaruhi majlis perbandaran supaya menolak permitnya untuk tempat kediaman Cali, begitu juga e-mel daripada mereka yang menghentam kepercayaan agama keluarganya.
Bagi Mona, dia perlu mencari jurulatih, kuda dan belajar bagaimana untuk mempercayai serta menjaga Cali.
Dia membeli kuda berusia tiga tahun yang sebelum ini sering membuat persembahan itu pada Oktober 2008 dan menghantar kuda itu kepada seorang jurulatih profesional yang meluangkan masa tujuh bulan untuk mengajar Cali keluar masuk kereta atau bas, menunjukkan halangan di jalan malah mengambil objek yang ditempatkan di tempat yang salah.
Ia biasanya mengambil masa enam bulan sehingga ke setahun untuk menjalin hubungan dengan haiwan yang boleh menyediakan perkhidmatan dan enam minggu pertama Mona bersama Cali memang agak tertekan.
"Saya bekerja dengan Cali. Dia juga bekerja dengan saya. Kami seolah-olah saling cuba memahami.
"Dialah kuda kecil paling menakjubkan. Kalau dia mampu melakukannya dan dia fikir dia boleh lakukannya, dia akan melakukannya.
"Jika dia rasa ada kemungkinan untuknya melakukannya, dia akan cuba sepenuh hati," kata Mona.
Cali juga menarik perhatian ramai kerana mereka berdua tidak boleh ke mana-mana tanpa orang ramai berhenti untuk bertanyakan mengenainya.
Mona pula yang kakaknya sering menggelarnya anti sosial kerana dia biasanya menghabiskan masa berjam lamanya bersendirian di dalam bilik, mendapati dia semakin aktif disebabkan Cali.
Dengan Cali di sisi, Mona dapat melakukan perkara mudah yang dianggap remeh oleh orang lain seperti pergi ke kedai, duduk di taman atau menaiki bas ke tempat kerja.
Dia juga berharap untuk mendapat ijazah dalam jurusan psikologi kanak-kanak dan membuka kliniknya sendiri.
"Saya hanya mahu menikmati kehidupan yang normal. Selepas ini anda fikir saya akan menjalani kehidupan biasa? Tapi itulah yang saya benar-benar mahukan," kata Mona. - AFP
Langgan:
Catatan (Atom)