Rabu, November 17, 2010

Kuda padi ganti anjing

JARI jemari Mona Ramouni menyelak helaian teks semasa dia menyemak ejaan untuk buku teks kalkulus yang akan diterbitkan dalam braille, dengan kuda padi yang menjadi juru pandunya duduk dengan sabar di sisi. Cali, kuda padi keperangan yang cantik dengan bulu hitam lembut, haiwan yang menjadi juru pandu pertama untuk Mona, 28, wanita Islam buta yang kedua-dua ibu bapanya, pendatang dari Jordan, tidak akan menerima seekor anjing ke dalam rumah mereka. Air liur anjing dianggap tidak bersih dalam ajaran Islam, meskipun anjing dibenarkan sebagai haiwan bekerja seperti menjadi penjaga atau pengembala. "Terdapat hadis Nabi yang diterima oleh kebanyakan orang Islam bahawa malaikat tidak akan masuk ke rumah yang mempunyai anjing di dalam rumah itu," kata Pengarah Majlis Hubungan Islam Amerika, bahagian Michigan, Dawud Walid. Menurutnya, meskipun beberapa ulama terkemuka menegaskan anjing sebagai juru pandu diterima Islam, ia tetap kekal sebagai tabu di kalangan kebanyakan orang Islam. Kata Mona, ibu bapanya juga secara umumnya tidak menggemari haiwan walaupun mereka membenarkan dia membela arnab dan menerima kuda padi itu yang tinggal di kandang kecil di laman rumah mereka di Dearborn, Michigan, Amerika Syarikat (AS). Selepas kebimbangan awal terhadap anak perempuan mereka terutama bagaimana Mona menyesuaikan diri dengan hanya seekor kuda kecil sebagai juru pandunya, mereka kemudiannya mula percaya Mona boleh berdikari dengan sendiri bersama kuda padi berkenaan. Cali hanya seekor daripada sekelompok kuda kecil di AS yang digunakan sebagai haiwan pembimbing atau jurupandu untuk orang buda. Beratnya kurang daripada 45 kilogram, kuda padi itu lebih kurang serupa saiznya dengan seekor anjing yang besar tetapi dapat membantu orang yang mempunyai masalah pergerakan. Haiwan itu juga mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Ia boleh hidup dan bekerja selama lebih daripada 30 tahun manakala anjing yang menjadi jurupandu pula biasanya bersara pada usia 12 tahun.Bagaimanapun kuda padi perlukan lebih banyak jagaan dan lebih mahal harganya. "Seluruh dunia saya dan pandangan saya mengenai pelbagai perkara berubah kerana saya rasa terdapat lebih banyak kemungkinan. "Sebelum Cali, saya tak rasa saya boleh ke sana ke mari dengan sendiri, walaupun secara teorinya saya mungkin boleh," katanya. Ketika kecil, Mona diajar bagaimana mencari arah dengan rotan tetapi tidak begitu berjaya. Dengan enam adik beradik, mereka sentiasa ada di sisi untuk memimpinnya. Berdasarkan gerak hati, dia mula mencari kuda sebagai juru pandu dan tekad untuk menjadikannya satu kenyataan terutama apabila ada yang memberitahu dia tidak boleh melakukannya atau tak sepatutnya berbuat demikian. Ada jiran yang cuba mempengaruhi majlis perbandaran supaya menolak permitnya untuk tempat kediaman Cali, begitu juga e-mel daripada mereka yang menghentam kepercayaan agama keluarganya. Bagi Mona, dia perlu mencari jurulatih, kuda dan belajar bagaimana untuk mempercayai serta menjaga Cali. Dia membeli kuda berusia tiga tahun yang sebelum ini sering membuat persembahan itu pada Oktober 2008 dan menghantar kuda itu kepada seorang jurulatih profesional yang meluangkan masa tujuh bulan untuk mengajar Cali keluar masuk kereta atau bas, menunjukkan halangan di jalan malah mengambil objek yang ditempatkan di tempat yang salah. Ia biasanya mengambil masa enam bulan sehingga ke setahun untuk menjalin hubungan dengan haiwan yang boleh menyediakan perkhidmatan dan enam minggu pertama Mona bersama Cali memang agak tertekan. "Saya bekerja dengan Cali. Dia juga bekerja dengan saya. Kami seolah-olah saling cuba memahami. "Dialah kuda kecil paling menakjubkan. Kalau dia mampu melakukannya dan dia fikir dia boleh lakukannya, dia akan melakukannya. "Jika dia rasa ada kemungkinan untuknya melakukannya, dia akan cuba sepenuh hati," kata Mona. Cali juga menarik perhatian ramai kerana mereka berdua tidak boleh ke mana-mana tanpa orang ramai berhenti untuk bertanyakan mengenainya. Mona pula yang kakaknya sering menggelarnya anti sosial kerana dia biasanya menghabiskan masa berjam lamanya bersendirian di dalam bilik, mendapati dia semakin aktif disebabkan Cali. Dengan Cali di sisi, Mona dapat melakukan perkara mudah yang dianggap remeh oleh orang lain seperti pergi ke kedai, duduk di taman atau menaiki bas ke tempat kerja. Dia juga berharap untuk mendapat ijazah dalam jurusan psikologi kanak-kanak dan membuka kliniknya sendiri. "Saya hanya mahu menikmati kehidupan yang normal. Selepas ini anda fikir saya akan menjalani kehidupan biasa? Tapi itulah yang saya benar-benar mahukan," kata Mona. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

komen sikit...