Rabu, September 11, 2013

Menyelami Peristiwa

Alhamdulillah, thumm alhamdulillah, thumm alhamdulillah, thumm alhamdulillah, rabbil ‘aalamiin… di atas limpah kurniaNya, yang menjadikan hambaNya yang terlalu hina ini berada di atas muka bumiNya ini dan masih dipinjamkan secebis kehidupan bagi hambaNya ini menghadapi cabaran dunia yang kian mencengkam ini. bersyukur setinggi-tingginya saya ke Hadrat Allah, Rabbul-rahim, yang memberikan ihsan dan belas kasihanNya kepada hambaNya ini seterusnya telah menyelamatkan hambaNya ini dari ditimpa marabahaya yang memungkinkan cabaran-cabaran yang lebih besar pada hari-hari yang mendatang, bukan kepada hambaNya ini, tetapi kepada insan-insan lain yang berada di keliling hambaNya ini terutamanya isteri, anak, ibu, bapa, serta adik-adik hambaNya ini. bersyukur kepadaMu ya Rabbi yang masih meminjamkan sedikit kehidupan kepada hambaMu ini biarpun terasa ianya hampir berakhir pada ketika itu. Allahu rabbi, tidak dapat diucap dan diungkapkan dengan kata-kata. Sedikit coretan saya ini semoga ianya memberikan manfaat kepada kita semua, tidak kira siapa, keseluruhannya yang terlibat, moga ianya dapat dijadikan iktibar untuk kita semua.
 
Seperti yang sedia maklum, dan pada yang belum maklum, pada Hari Selasa, 27 Syawal 1434 Hijriah, bersamaan dengan 3 September 2013 yang lepas, saya telah diuji dengan sedikit ujian yang telah dikurniakan oleh pemilik seluruh alam ini. Allah Rabbul-Malik. Pada pagi itu, seperti biasa, setelah bersalaman dengan isteri dan anak, saya keluar dari rumah dan menuruni tangga untuk memulakan langkah ke tempat kerja. Alhamdulillah, perjalanan saya pada masa itu lancar. Saya menaiki Putra-LRT dari stesen Taman Melati ke Masjid Jamek seperti biasa, jam 6.23 pagi dan tiba di Masjid Jamek jam 6.46 pagi. Setelah melangkah keluar dari Putra-LRT di stesen Masjid Jamek, saya berjalan menyelusuri terowong pejalan kaki menuju ke stesen Star-LRT untuk ke tempat kerja. Hasrat saya untuk turun di stesen Star-LRT Sultan Ismail, dari Masjid Jamek. Saya berjalan seperti biasa, menaiki tangga yang entah berapa meter tingginya dan masuk keluar lif, terus ke platform stesen tersebut. setelah tiba di platform, train baru sahaja berlepas. Ini bermakna, train jam 6.53 pagi sudah terlepas dan saya perlu menunggu train yang berikutnya. Jam 6.56 pagi, train berikutnya tiba, dan setelah pintu dibuka, saya seperti biasa, melangkah dengan berhati-hati untuk memasuki train tersebut.

Takdir Allah menentukan, setelah saya melangkah memasuki pintu train, tiba-tiba saya rasa jangkahan saya amat jauh ke dalam dan tahu-tahu sahaja saya telah berada di bawah train akibat terjatuh dari platform. Rupa-rupanya, saya bukan melangkah ke pintu train, sebaliknya, saya telah melangkah di tengah-tengah penyambung antara dua gerabak di bahagian dan belakang. Akibatnya, saya terjatuh ke dalam platform dan berada di bawah train. Jatuh sahaja saya di bawah train tersebut, dua sahaja yang saya terfikir, hidup atau mati. Ini kerana jika tidak betul gayanya, saya akan dipijak oleh tayar train yang bakal bergerak sebentar lagi.

Bersyukur ke hadrat Allah, pada waktu itu, dengan sepantas kilat, Allah telah memberikan sedikit akal pada fikiran saya untuk menyorok di bawah platform yang kebetulan di bawah platform stesen Star-LRT Masjid Jamek itu ada sedikit ruang seperti kabinet dapur untuk saya berselindung di bawahnya. Walau bagaimanapun, keyakinan saya untuk terselamat masih lagi kabur, kerana sebelum itu. saya tidak tahu, di mana saya berada ketika itu. yang pasti, saya berada di bawah suatu tempat yang atasnya saya ketuk seakan-akan simen.

Setelah kedengaran pintu Star-LRT ditutup, maka saya berdebarlah menunggu nasib saya sama ada kekal hidup, atau sebaliknya. Train berjalan perlahan meninggalkan saya di bawah platform tersebut. setelah train melepasi saya, saya rasa terlalu lega. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, perasaan syukur yang amat kepada Allah kerana menyelamatkan saya daripada menerima apa-apa musibah daripada peristiwa itu.

Setelah train melepasi saya, saya menunggu kalau-kalau ada orang yang akan membantu membawa saya naik dari platform tersebut. hampir 3 minit setelah kejadian tersebut, kedengaran bunyi walkie-talkie pegawai-pegawai Stesen Star-LRT Masjid Jamek. Butir biji bicaranya tidak dapat saya dengari, yang pasti, saya mendengar suara jeritan dari atas “ada orang ke di bawah”, lalu dengan spontan saya menjawab “ada!”. Mereka berbincang untuk menaikkan saya dari bawah platform tersebut dan saya meminta mereka menyegerakan bantuan terhadap saya kerana pada fikiran saya, saya perlu berada di tempat kerja sebelum jam 7.30 pagi.

Setelah demikian, saya dibantu dengan seorang pegawai turun ke bawah platform untuk menaikkan saya dan dibantu oleh dua pegawai di atas untuk menyambut saya. berasa diri saya tidak mengalami sebarang kecederaan, saya berasa amat bersyukur sekali. Pertamanya, saya terselamat daripada maut yang seolah-olah menunggu saya di bawah platform tersebut, dan keduanya saya tidak mengalami apa-apa kecederaan lantaran daripada insiden yang menimpa saya itu.
 
Pegawai-pegawai tersebut menerima arahan daripada “Control” untuk membawa saya ke bilik rehat dan memeriksa saya kalau-kalau terdapat kecederaan. Walaupun saya meminta izin untuk bergerak ke tempat kerja kerana waktu sudah agak lewat, mereka agak keberatan untuk melepaskan saya. Namun, oleh kerana pada waktu itu saya berfikir, agak payah untuk saya menghadapi situasi berikutnya andainya saya lewat masuk ke tempat kerja, saya bertegas juga untuk ke tempat kerja. Mereka katakan baju saya kotor, namun saya tidak mengindahkannya. Entah kenapa begitu fikiran saya pada hari itu. Yang saya tahu, saya nak juga ke tempat kerja dengan segera. Seorang pegawai akhirnya mengiringi saya menaiki Star-LRT ke Stesen Sultan Ismail, destinasi sepatutnya saya turun train yang saya nak naik sebelum itu. Setelah saya berjanji untuk menemui mereka semula pada tengah harinya, dan memberikan nombor telefon saya, barulah pegawai tersebut melepaskan saya.


Saya mula terasa sakit-sakit di bahagian pinggang. Walau bagaimanapun, saya gagahkan juga berjalan ke tempat kerja, dengan badan yang mula rasa sakit-sakit, dan baju yang dikatakan kotor. Entah banyak atau sikit kotornya saya tidak pasti. Yang pasti, tiba di tempat kerja, rakan sekerja menegur akan kekotoran baju saya dan kecomotan tangan saya. Namun, persoalan tersebut tidak dapat saya jawab, kerana saya tidak tahu, bagaimana untuk saya menceritakan peristiwa itu kepada rakan sekerja saya. Dan sehingga coretan ini diterbitkan, mereka masih tidak tahu akan peristiwa yang menimpa saya itu. Dan, akibat daripada peristiwa itu, saya masih terasa sakit-sakit di bahagian pinggang hingga ke tengah belakang. Mungkin akibat terhentak dengan kuat semasa terjatuh atau sebagainya, wallahu a’-lam. Kepada isteri saya pun saya tidak bercerita akan peristiwa ini hinggalah saya pulang ke rumah pada petangnya, baru saya bercerita.

Akibat daripada peristiwa itu, saya berasa berdebar setiap kali melangkahkan kaki memasuki train terutamanya Star-LRT. Fobia akan peristiwa itu masih saya rasai hinggakan tsehingga coretan ini diterbitkan, isteri saya  masih lagi menghantar dan mengambil saya pergi dan balik dari kerja. Saya perlu mendapatkan bantuan untuk memulihkan perasaan takut den berdebar ini dalam jangka masa terdekat agar ia dapat dipulihkan seperti sediakala.

 Menjadi harapan saya, agar pembaca-pembaca akan coretan ini sama-sama berfikir sedalam-dalamnya, apakah langkah yang wajar diambil agar peristiwa yang saya anggap terlalu berbahaya ini tidak berulang, terutamanya kepada golongan yang tidak berpenglihatan seperti saya ini. hakikatnya, kami perlu menggunakan kenderaan awam seperti ini untuk ke tempat kerja khususnya dan ke tempat-tempat lain umumnya, lantaran daripada keterbatasan kami untuk mengendalikan kenderaan sendiri di jalan raya. Jika menaiki kenderaan awam yang dikatakan selamat ini pun boleh mengundang bahaya kepada kami, apakah alternatif lain yang perlu kami gunakan? Ataupun, apakah tindakan wajar yang perlu diberi perhatian agar peristiwa ini tidak berulang lagi? pada saat peristiwa yang amat berbahaya itu berlaku kepada diri saya, ketika itu saya sedang melangkah untuk memasuki pintu train dengan penuh berhati-hati. Namun, sekelip mata sahaja ianya berlaku dan tidak dapat saya berbuat apa-apa. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua. Wallahu a’-lam.

Selasa, Ogos 27, 2013

pelbagai pengalaman telah dilalui

assalamualaikum. terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin. biarpun sudah agak terlewat, namun, sementara Bulan Syawal masih berbaki lagi ini, ucapan tersebut kiranya masih relevan untuk diungkapkan lagi kan? hehehe.

berbalik kepada tajuk yang telah saya tuliskan di atas, pelbagai pengalaman telah saya lalui semenjak coretan terakhir di halaman blog ini diterbitkan. namun, paling menyeronokkan adalah bila mana dapat menyaksikan sendiri dengan pelbagai deria yang masih berbaki akan proses tumbesaran permata kesayangan di hadapan saya sendiri. sehingga coretan ini ditulis, permata saya ini telah berusia lebih daripada 4 bulan. pelbagai telatah dia dapat saya saksikan, di samping perkembangan-perkembangan positif yang telah dia tunjukkan semenjak kelahirannya di atas muka bumi yang penuh dengan cabaran ini.
selain itu juga, pada 31 Julai yang lalu, tiga hari sebelum bercuti menyambut hari raya aidilfitri, saya telah mendapat surat kelulusan untuk bertukar ke SK Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Jalan Batu. kini saya telah mendaftarkan diri di sekolah tersebut dan bertugas di sana. banyak juga pengalaman-pengalaman baru yang telah saya lalui tatkala bertugas di tempat baharu ini. seronok, gembira, menggerunkan, semuanya ada. semoga ia menjadi satu cabaran untuk mendewasakan dan mematangkan pemikiran saya dalam menghadapi situasi-situasi yang lebih mencabar pada masa akan datang. saya seronok kerana dapat kembali mendidik kanak-kanak bermasalah penglihatan.

Khamis, Jun 20, 2013

masa senang sebelum masa sibuk

assalamualaikum. teringat antara kata-kata yang terdapat di dalam hadis nabi, ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara, di antaranya, masa senang sebelum masa sibuk.

inilah yang terjadi kepada saya pada semester kedua persekolahan pada tahun ini. walau bagaimanapun, masa tenang saya telah berakhir pada awal cuti persekolahan separa semester pertama lagi apabila isteri saya sudah tinggal di kampung menunggu hari untuk bersalin. pada waktu itu (selepas bermulanya separa kedua semester pertama), saya sudah terlibat dengan mesyuarat selama seminggu. kemudian, balik ke kampung, kononnya isteri dah nak bersalin. tapi tak jadi. datang semula ke Kuala Lumpur dan bertugas di sekolah seperti biasa. balik semula selama seminggu kerana isteri bersalin. kebetulan anak masih tidak dibenarkan keluar hospital, duduklah si ibu di hospital dengan anak. saya pula berulang-alik dari rumah ke hospital untuk menghantar apa yang perlu. tamat cuti seminggu, saya datang semula ke Kuala Lumpur untuk bertugas selama seminggu. kemudian, bercuti pula untuk pilihan raya dan hadir semula untuk bermesyuarat lagi. kemudian terlibat pula dengan penyediaan soalan peperiksaan pertengahan tahun di sekolah. tidak cukup dengan itu, saya sendiri juga turut mengambil peperiksaan akhir semester di IPGK Ilmu Khas. huh... habis cuti semester pertama. rehat seketika selama kurang lebih dua minggu di rumah (kampung).

habis cuti semester pertama, masuk sahaja semester kedua, saya dikejutkan dengan dengan tiga panggilan untuk menghadiri mesyuarat dan kursus. seminggu pertama saya dipanggil untuk menghadiri mesyuarat anjuran Bahagian Buku Teks dari hari Isnin hingga Sabtu. rehat tiga hari, minggu ini, bermula Selasa hingga Jumaat pula saya dipanggil untuk menjadi Jurulatih Utama Subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi Tahun 4 oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum untuk para guru yang bakal menjadi jurulatih utama negeri mereka masing-masing. kedua-dua mesyuarat tersebut berlangsung di Hotel Seri Petaling, Kuala Lumpur. balik daripada mesyuarat, saya akan dikunjungi oleh emak-emak saudara yang datang dari Kelantan bagi menghantar isteri dan anak saya yang baru habis berpantang ke Kuala Lumpur (pulang ke pangkuan suami dan abi, hehehe)

pada minggu hadapan pula, sehari saya berada di sekolah dan kemudian bermesyuarat pula di Hotel Peninsula Damansara anjuran Bahagian Buku Teks dari Hari Selasa hingga Khamis. mesyuarat apa saya tak tengok surat lagi. ada dia beritahu, tapi saya tak ingat. kemudian, selesai semua mesyuarat tersebut, Jumaat Insya Allah saya akan masuk semula ke sekolah. lama dah tak jenguk sekolah. guru besar sarankan saya duduk di Jabatan sahaja. penat dia tengok saya lama tinggal sekolah. duduk sekolah bukan buat apa pun. hehehe.

selepas itu, tak tahulah apa pula jadual saya. harap-harap semuanya ok-ok saja la kan...

** tapi, saya taklah sesibuk perdana menteri britain... babai...

Isnin, Jun 17, 2013

cuba terbitkan catatan

assalamualaikum. tak reti dah menulis di halaman blog ni. tiap kali buka dashboard ni, ada je yang berubah. tak faham betul. hahaha. ni cuba-cuba je ni kalau-kalau tulisan ni berjaya diterbitkan kan... kalau percubaan ini berjaya, insya allah ia akan memberikan semangat kepada saya untuk terus menulis. kalau tidak, hmmm... entahlah. ada juga yang bertanya, kenapa saya tak update blog. saya nak update sebenarnya (helah bela diri) tapi, tiap kali saya tulis je apa-apa di blog ni, saya tak berjaya untuk terbitkan. sebab tu la, akhir sekali, dibiarkan begitu je blog ni tak ter-update. kita tengok kali ni ya.. berjaya ke tidak... hehehe. babai...

Isnin, Mac 25, 2013

entah ape tah tajuk dia.

assalamualaikum. cuti dah tiga hari berlalu, tapi saya tak balik Kelantan lagi. malam ni baru nak balik, dengan kereta api dengan isteri.. hehehe. bosan la tuuu. tak de ape nak tulis... hehehe.