Ahad, Mac 04, 2012

Sekadar Luahan


Assalamualaikum. Terasa terpanggil pulak hendak meluahkan rasa yang sudah terpendam hamper tiga bulan ini. Rasa? Hehehe.. bukan tidak puas hati, atau sakit hati, atau iri hati atau apa jua yang berkaitan dengan hati. Tetapi sedikit terkilan dengan proses pembahagian yang dijalankan.


Pembahagian? “Apa pulak kau merepek ni?” Hehehe… sebenarnya, saya sedang memikirkan entah di mana silapnya… siapa yang silap… apa yang silap… hinggakan saya dan beberapa orang yang senasib dengan saya menerima ujian yang sama.  Mana tidaknya, SAYA, dan beberapa orang lagi guru yang bermasalah penglihatan (tidak mempunyai penglihatan langsung atau mempunyai penglihatan terhad), yang mempunyai kelulusan pengajian dalam pendidikan khas, Pengkhususan Masalah Penglihatan, atau sekurang-kurangnya mempunyai kelulusan dalam bidang pendidikan, (sama ada diploma/ijazah sarjana muda/ijazah sarjana), (bukan bertujuan bermegah-megah dengan sedikit kelulusan yang ada, namun sekadar hendak menunjukkan pengkhususan sahaja), yang jika difikir-fikirkan wajarlah ditempatkan di Sekolah Pendidikan Khas (SPK)/Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Masalah Penglihatan, kini ada ditempatkan di Program Pendidikan Khas Integrasi Masalah Pembelajaran (selepas ini saya tulis sebagai PPKI LD sahaja).


Bila ditanya mengapakah saya ditempatkan di PPKI LD ini? Jawapan mereka yang bertanggungjawab, SPK/PPKI Masalah Penglihatan yang tuan/puan mohon tiada kekosongan. Jika tiada kekosongan, mengapakah diluluskan permohonan pertukaran saya? Apakah butang kelulusan ditekan terlebih dahulu dalam borang permohon Online saya baru disemak sama ada terdapat  ruang kosong di SPK/PPKI Masalah Penglihatan tempat permohonan saya itu? Sedangkan permohonan saya itu jelas, memenuhi semua kehendak dan keperluan mereka sama ada untuk meluluskan atau pun tidak.


Bila ditanya lagi, alasan selanjutnya diberi ialah tidak mengetahui saya ini guru yang bermasalah penglihatan. bagaimana tidak mengetahui saya ini guru bermasalah penglihatan, sedangkan saya telah mencatat di ruang “sebab pertukaran” bahawa saya ialah guru bermasalah penglihitan. Adakah mereka tidak membaca setiap sebab pertukaran yang dikemukakan sehingga tidak mengetahui saya ini adalah guru bermasalah penglihatan?  bagaimanakah sebab-sebab yang dikemukakan oleh guru-guru lain dalam borang pertukaran mereka itu? Adakah tidak dibaca jugakah? Atau, bagaimana hendak diketahui seseorang guru itu mempunyai kecacatan atau tidak sedangkan pernyataan untuk menunjukkan fizikal seseorang guru itu tidak disisipkan ke dalam borang online itu?


Wooo.. penatnya membebel. Itu semua soalan-soalan yang “saya” lontarkan kepada mereka yang bertanggungjawab. Alasan yang akhirnya diberikan ialah mereka terlepas pandang. Hmmm… tak faham, tak faham… tiada alasan yang mampu lagi diberi, entah bila mereka bermesyuarat, bila ditanya lagi, jawapan yang diberi, mereka tidak mahu guru-guru yang bermasalah penglihatan ini ramai sangat dalam sesuatu SPK/PPKI Masalah Penglihatan, cukup hanya dua orang sahaja setiapSPK/PPKI Masalah Penglihatan. Beberapa alasan lain yang diberikan kemudiannya untuk menyokong faktanya itu yang menyebabkan hati dan perasaan saya yang sudah sekian lamanya sensitif ini terguris dan terkilan. Entah dari mana fakta kenyataan itu mereka peroleh, saya tidak pasti.


Bagi saya, tidak kisah di mana saya ditempatkan, asalkan saya mampu memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada mereka. Namun, jika diletakkan saya di PPKI LD, bagaimanakah saya mahu mengajar mereka? Hal ini terbukti, setelah hamper tiga bulan saya ditempatkan di PPKILd ini, tidak banyak yang boleh saya sumbangkan kepada mereka. Kasihan murid-murid saya. Mereka tidak bersalah. Saya yang gagal menunaikan tanggungjawab saya sebaiknya lantaran daripada “ikan kembung yang dipaksa hidup di atas darat” oleh mereka yang saya anggapkan tidak bertanggungjawab. Andainya anda dapat bayangkan,anda sedang menutup mata, anda mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran, mampukah anda menunaikan tanggungjawab tersebut sebaiknya? Saya rasa sudah tentu tidakkan? Anda bayangkanlah murid-murid bermasalah pembelajaran itu bagaimana. Mereka tidak seperti murid-murid bermasalah penglihatan. terdapat murid-murid yang langsung tidak boleh belajar, terlalu hiper active, dan macam-macam lagi. Hanya yang benar-benar khusus dalam bidangnya sahaja mampu mengajar dengan baik murid-murid itu kerana mereka dilatih dengan pelbagai kaedah yang sesuai untuk mengajar dan mengejar mereka. Bagaimanakah seorang guru yang tidak mempunyai penglihatan untuk menghadapi murid yang hiper active? Dapat anda bayangkan? Logikkah penempatan ini?


Selain itu, rugilah ilmu yang saya dan beberapa orang guru bermasalah penglihatan lain yang senasib dengan saya miliki, andainya tidak dimanfaatkan sebaiknya, dan tidak diletakkan di tempat yang sewajarnya. Andainya saya dan mereka yang senasib dengan saya ditempatkan di sekolah yang betul, sudah tentu, ilmu yang kami miliki hasil daripada apa yang kami pelajari bertahun-tahun di institute-institut pengajian guru mahupun university-universiti dapat dimanfaatkan dengan sewajarnya. Murid-murid yang akan diajar pun adalah murid-murid yang kami mampu kendalikannya, Wang yang dialirkan untuk membayar upah kami pun tidak dibazirkan begitu sahaja lantaran daripada pengendalian tugas yang tidak sempurna.


Tidak adil andainya meminta bayi yang baru lahir berlarikan? tidak adil untuk meminta sang kerbau terbangkan?  Tidak adil untuk meminta orang pekak mendengar radiokan (kecuali Kevin, Kevin boleh dengar radio… manalah Kevin sekarang ya? Hehehe. Lama tak jumpa Kevin.).


Bertindaklah sewajarnya bila kita berada di atas, tiada masalah yang tidak ada penyelesaian. Pelbagai pintu rundingan boleh dibuka bagi memastikan definisi adil itu dapat di praktikkan. Definisi adil? Apa dia ya? Meletakkan sesuatu pada tempatnya. Berbuat senanglah kepada orang bawah kita sebelum mereka mengadu kepada saluran-saluran yang bukan sewajarnnya. Andainya dibuat demikian, tahu pula hendak melenting, katanya tidak disalurkan di tempat yang betul. Bila disalurkan di tempat yang sewajarnya, sehingga sekarang nasib saya dan rakan-rakan yang senasib dengan saya masih belum dibela. Tiga bulan, lama tu. Terlalu lama. Terlalu membazir masa yang telah dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang manfaat yang dapat diberikan. Wallahu a’lam.

2 ulasan:

  1. Mi, aku baru terbaca entri mung ni, sape suruh mung tak update lama. mi..sedih..siang ke mung mi..mmg bengong ah bpk..bengong doh nok wak guane eng? nok serang hendap kot mane ni? aku gerang ni

    BalasPadam
  2. tu la dia. tengkorak hangit BP Khas ni...

    BalasPadam

komen sikit...