Jumaat, Disember 04, 2009

Bergembiralah selagi diberi peluang.

Assalamualaikum. Kita sering ketawa bilamana diberikan kegembiraan terhadap diri kita dan menangis bilamana musibah melanda diri. Itu adalah sifat yang normal yang dipunyai insan bernama manusia.
Tapi tahukah kita bahawa, ada sesetengah orang, dia akan menangis bila gembira dan akan tersenyum bila berduka? Dia menangis kerana terlalu bersyukur di atas nikmat Allah yang memberikan kegembiraan kepada dirinya dan bersabar sambil tersenyum menerima musibah Allah dengan harapan dapat menangis lagi bilamana Allah mengurniakan kegembiraan kepada dirinya. Payahkan nak dapat seperti itu? Hanya mereka yang mampu sahaja yang boleh berbuat demikian.

Sebenarnya, tidak salah untuk kita bergembira dan bersukaria selagi kewajipan kita terhadap Allah Azza Wajalla tidak kita lupakan. Ketawa, senyum mampu menggerakkan minda kita agar ianya lebih positif dalam melakukan sesuatu kerja. Namun jangan keterlaluan kerana dikhuatiri hilai tawa dan senyum ria tersebut bertukar sekelip mata dengan esak tangis dan deraian air mata. Kerana hidup kita ibarat roda. Kekadang kita berada di atas dan kekadang kita berada di bawah. Bila kita berada di atas, kita akan rasa kita cukup gah dan mampu tersenyum dan tertawa. Namun, bila kita berada di bawah, kita akan rasa pula betapa siksanya dipijak oleh orang yang berada di atas dan baru kita sedar, kita sudah berada di zon kedukaan dan bukannya zon kegembiraan seperti sebelum ini.

Bergembiralah seadanya agar bila kita bersedih, tidakterasa sangat kesedihan tersebut. Dan, bersedihlah sekadarnya agar kita tidak menyalahkan Allah dalam musibah yang kita terima itu. Allah maha Adil. Dia maha pengasih dan penyayang. Dia sengaja menguji makhluk-makhlukNya untuk Dia mempertingkatkan keimanan makhluk-makhlukNya. Jika kita Berjaya dengan ujian Allah bermakna iman di dada kita akan bertambah dan meningkat serta ketaqwaan kita kepada Allah semakin kuat ibarat, bila sudah lulus peperiksaan, temu duga dan seumpamanya, kita akan dinaikkan pangkat dan jawatan yang lebih tinggi. Fikir-fikirkanlah. Wallahu a’-lam.

1 ulasan:

komen sikit...