Jumaat, Julai 22, 2016

Imbasan Kenangan


Assalamualaikum. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, tuhan yang telah mengurniakan nikmat dan ujian terhadap hamba-hambaNya.

pelbagai pengalaman manis mahupun pahit telah saya lalui bermula tahun 2013 hingga kini. kenapa dari 2013? sebab akhir sekali mencatatkan pengalaman diri di sini pada September 2013. selepas itu, muncul sesekali sahaja di sini kerana pelbagai alasan yang tidak mahu didengar dan dibaca oleh sesiapa.

Alhamdulillah, berakhirnya tahun 2013, 2014-2016 datang dengan penuh suka duka. Bermula dengan proses-proses membesarkan dan mendidik anak yang baru mencecah 8 bulan ketika itu, ia amat bererti sekali dalam diri saya yang baru pertama kali bergelar bapa ini. Berada sendiri dalam situasi tumbesaran anak ini membuatkan saya menjadi semakin bersemangat untuk melihat permata hati ini berjaya. Pelbagai perancangan diatur bagi memastikan permata hati yang seorang ini mendidikan belaian yang sempurna oleh ibu bapanya. Kerana terlalu teruja, majlis sambutan hari lahirnya pada 20 April 2014 diadakan sesempurna yang mungkin bagi diri saya walaupun si kecil itu tidak mengerti apa-apa lagi berkenaan dengan makna hari lahir. begitulah betapa gembiranya saya dan ibunya.

pada Julai 2014, saya dan isteri dikhabarkan lagi akan berita gembira dengan kehadiran permata hati yang kedua di dalam kandungan. Bermula saat itu rutin menjaga kandungan berulang kembali sehinggalah putera kami selamat dilahirkan. Dia dilahirkan pada 20 April 2015 Masihi bersamaan dengan 1 Rejab 1435 Hijriah di wad bersalin Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian. paling mengujakan, tarikh lahirnya sama dengan tarikh lahir kakaknya. Semenjak daripada itu, membesarlah mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan didikan yang saya dan ibunya rasakan sempurna diberikan kepada mereka. Sehingga tulisan ini diterbitkan, umur si kakak asudah mencecah 3 tahun 3 bulan manakala umur si adik ialah 1 tahun 3 bulan.

begitu juga dengan pengajian. segala puji bagi Allah, saya dan rakan-rakan yang sama-sama menyertai pengajian dalam Program Pensiswazahan Guru (PPG) ambilan pertama (Jun 2011) telah selamat menamatkan pengajian kami pada Jun 2015 setelah mengharungi pengajian selama lapan semester yang penuh dengan cabaran. Cabaran yang dihadapi bagi saya dan rakan-rakan bukannya calang-calang. Paling menjentik minda sekali bagi saya ialah terpaksa menduduki semula peperiksaan akhir mata pelajaran --- kerana terdapat kebocoran pada soalan peperiksaan yang terdahulu. "Ingatkan dah habis belajar, sekali kena ambil exam lagi daaaa"... kami telah dianugerahkan segulung ijazah pada istiadat konvokesyen IPG pada Disember 2015 di MAEPS Serdang. Namun, setelah penat bersengkang mata belajar untuk menduduki peperiksaan dan setelah penat mengerah keringat demi mendapatkan segulung ijazah, majlis konvokesyen yang diidam-idamkan oleh setiap graduan tersebut tidak dapat saya hadiri walaupun telah membayar semua yang diperlukan oleh IPG. sepertimana firman Allah di dalam al-quran yang antara lain maksudnya, "kamu merancang, Allah juga merancang. dan Allah adalah sebaik-baik perancang".

Saya bergegas pulang ke kampung halaman dari Kuala Lumpur pada petang hari Isnin 7 Disember 2016, lima hari sebelum sidang kumpulan saya naik ke pentas dalam istiadat konvokesyen IPG, bersama-sama keluarga dan adik tercinta setelah dikhabarkan menerusi panggilan telefon oleh emak akan kesihatan abah yang sudah semakin merosot. Tibanya saya di rumah jam 3.30 pagi pada awal pagi Selasa, aabah sudah tidak mampu bercakap lagi dengan lancar. tiada lagi butir bicara abah yang mampu saya fahami sejurus saya berada di sisinya. Semenjak daripada itu, saya tidak meninggalkan abah walaupun seketika dan berada di sisinya untuk melakukan apa yang termampu bagi keselesaan abah. semua yang perlu saya lunaskan di Kuala Lumpur mulai saat itu saya sudah sisihkan daripada jadual hidup saya termasuklah menghadiri istiadat konvokesyen yang diidam-idamkan tersebut. Bagi saya, saat ini adalah saat yang paling getir untuk saya hadapi situasi seperti ini. Biarlah saya berada di sisi abah dan berdoa kepada tuhan agar abah diberi kesihatan dan sembuh seperti sedia kala. kakak sulung dan keluarganya dari Kuantan Pahang pun juga turut pulang setelah menerima khabar kesihatan abah tersebut. namun, abah pergi jua buat selama-lamanya pada hari Khamis, jam 6.43 petang, 10 Disember 2015 bersamaan dengan 28 Saffar 1437 Hijrah Sehari sebelum sidang kumpulan saya untuk naik ke pentas bagi menerima scroll dalam istiadat konvokesyen tersebut. Perginya abah menemui tuhannya pada hari dan tarikh tersebut merupakan saat-saat yang paling pilu dalam diri saya selama dalam kehidupan ini kerana tiada apa yang mampu saya katakan melainkan menerima ketentuan pemilik seluruh alam ini dengan redha dan tabah. Walaupun Saya telah diuji dengan kehilangan orang yang amat saya sayangi, namun saya perlu cekal dan tabah menghadapinya kerana saya merupakan lelaki sulung di dalam keluarga selepas dua orang kakak saya. Jika saya lemah, saya yakin, emak dan adik-beradik saya turut akan lemah dalam mengharungi ujian yang amat pedih ini.

Di alam pekerjaan juga tidak kurang hebatnya cabaran dan kenangan yang menerpa sepanjang tahun 2014-2016 ini. Semenjak bertugas di Sekolah Pendidikan Khas khusus untuk murid-murid penglihatan ini, saya tidak lagi punyai masa dan ruang yang banyak untuk bersantai. ini kerana, tugasan yang diberikan oleh pentadbir kepada saya sama seperti tugasan yang diberikan kepada guru-guru lain. Alhamdulillah, di sini, mereka (pentadbir) tidak membeza-bezakan antara saya (guru yang tidak mempunyai penglihatan) dengan guru-guru yang lain. Tugasan yang diberi adalah sama rata, sama rasa. Saya diberi kepercayaan untuk menggalas tugasan sebagai ketua Panitia Matematik pada tahun 2015 sehingga kini yang sekaligus memberi kepercayaan kepada saya mengajar mata pelajaran Matematik untuk murid-murid tahun 6 yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Alhamdulillah, keputusan UPSR bagi mata pelajaran Matematik pada tahun 2015 amat membanggakan saya dan sekolah serta semua yang terlibat pada tahun 2015. Murid-murid tahun 6 pada tahun itu lulus semuanya sekurang-kurangnya mendapat gred C dalam mata pelajaran ini. walau bagaimanapun, tahun ini masih lagi menjadi teka-teki kerana UPSR belum lagi mereka duduki. Saya tidak putus-putus berdoa agar mata pelajaran yang diajar oleh saya dan semua mata pelajaran yang mereka duduki dalam UPSR mendapat keputusan sekurang-kurangnya lulus kerana tahun ini mereka menggunakan format baharu untuk semua mata pelajaran. Harapan juga agar mereka sentiasa berada di dalam kesihatan yang baik sepanjang musim peperiksaan ini.

Inilah di antara rencah kehidupan sepanjang tahun 2014-2016 yang dilalui oleh saya yang sempat dinukilkan. banyak lagi yang telah dilalui namun sama ada tidak dapat diingati oleh minda saya mahupun tidak terlalu penting untuk dikongsikan, maka dengan itu, ia tidaklah tercatat di dalam entry kali ini... semoga hari-hari mendatang penuh dengan aktiviti-aktiviti yang memberikan impak yang positif di dalam kehidupan saya khususnya dan seluruh insan yang menyayangi dan disayangi oleh saya umumnya. Insya Allah.

Pohon doa daripada semua pembaca blog ini untuk saya istiqamah menerbitkan catatan sama ada berbentuk catatan peribadi mahupun catatan ilmiah untuk manfaat kita bersama, Insya Allah. Wallahu a'-lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

komen sikit...