Khamis, Julai 14, 2016

Rencah Kehidupan

assalamualaikum. Sememangnya begitu kehidupan ini. Kekadang kita gembira, kekadang kita berduka. Jadikanlah masa gembira kita itu masa yang paling berharga dalam kehidupan kita. Jadikanlah pula masa duka kita itu masa yang sesuai untuk muhasabah diri agar kita sentiasa berada di atas landasan kesyukuran kita kepada Allah Taala, tuhan pemilik kita yang mutlak.

Kita adalah kita yang sememangnya tidak akan menjadi orang lain. Oleh itu, kita perlulah sentiasa selesakan diri kita biarpun di mana zon kehidupan kita agar kita sentiasa menghargai diri kita. Benar, sememangnya kita memerlukan masa untuk mengubat semula duka dalam diri. Namun, percayalah, duka tidak akan selamanya menghambat kita, kerana suatu hari nanti ia akan menghilang ditelan waktu dan masa, ibarat roda, yang berada di atas dan di bawah. Bila kita berada di bawah, ianya adalah lumrah kehidupan yang perlu kita terima akan hakikat tersebut. itulah saat untuk kita membuktikan kepada Allah akan keutuhan iman kita tatkala kita diuji. Bergembiralah bagi kita yang sedang diuji dengan sedikit kedukaan, kerana Allah sentiasa memerhatikan dan menilai akan diri kita. Tiada tujuan lain, hanya untuk meningkatkan darjat kehidupan kita ke tingkat yang lebih tinggi. Untuk mendapatkan syurganya, bukan sedikit harga yang perlu kita bayar, malahan, mereka yang terdahulu lebih hebat lagi dugaan dan ujian yang diletakkan di bahu mereka. Ingatlah firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 286, yang antara maksudnya, "Tuhan kami, janganlah engkau meletakkan beban yang tidak mampu ditanggung oleh kami". Bila Allah berfirman sedemikian, ia sekaligus membawa maksud, Allah tidak akan sekali-kali akan menimpakan dugaan yang terlalu berat kepada hambaNya sehinggakan tidak mampu tertanggung oleh hambaNya itu.

Sentiasalah berdoa kepada Allah agar sakit dan pedih lantaran daripada kedukaan itu terhapus dengan segera dalam diri kita kerana Allah tidak akan sekali-kali membiarkan doa hambaNya berlalu begitu sahaja tanpa diperkenankan olehNya.

Selain itu juga, ingatlah kita sentiasa, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah yang terlalu bermakna dalam diri kita walaupun kedukaan itu tidak disukai oleh kita. kerana antara lain Firman Allah dalam Surah an-Nisa' ayat 19 yang bermaksud: "... kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)” (an-Nisaa’: 19).

Wallahu a’-lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

komen sikit...