Hiruknya, pikuknya, gegaknya, gempitanya... Semua itu tidak dapatku selaminya nikmatnya. Siapa sahaja berkumpul kelilingku tak dapat merawat hatiku yang sedang sunyi, ibarat malam kelam menyelimuti hati. Tiada punya sebab lain, hanya dek kerana rindu yang terlalu mendalam mengabusi hati. Rindu itu menyelinap ke segenap ruang hati. Rindu itu merobek ke seluruh pelosok nubari. Tiada usaha untuk menghalangnya. Rindu hanya kerana tiada ungkapan tak terluahkan. Silapnya aku, baculnya aku, lemahnya aku berperang dengan diri sendiri. Ah, rindu ini gila. Rindu ini ini merampas kebahagiaanku... Rinduuuuuu!!!!
Ahad, Ogos 31, 2025
Sabtu, Ogos 30, 2025
Terganggu
Hari ini, fikiranku sangat-sangat terganggu. Terganggu dek kerana satu nota yang aku terimbau daripada teknologi yang sengajaku cari. Aku bayangkan cerita indah aku dan dia akan dicoretkannya melalui ruang itu. Tetapi, cerita yang terus membunuh perasaanku. Cerita yang terus menyebabkan fikiranku terganggu dari tadi hingga kini. Semua yang kulakukan seolah-olah tidak bererti. Setap langkah kuterasa sumbang. Setiap gerakku berasa canggung. Kenapa takdirnya begini? Apa sinar yang akan menyelimutiku di hari mendatang? Kenapa baru berani hendak bertatih sudah tersadung dan jatuh? sakitnya. Sakit ini lebih kejam daripada sakit dek terkena belati tajam. Oh Tuhan. HambaMu lemah. Tak berdaya lagi terjelepuk di sini menahan rasa yang tak tertanggung. Apa yang harusku lakukan sekarang? Aku malu pada diri sendiri. Bukankah diri ini telah berpesan pada hati. Baik-baik jaga hati. Jangan mudah memberi hati. Sekarang, aku yang mati. Mati kerana belum pun rasa terungkap, telahku tahu kalahnya di mana.
Jumaat, Ogos 29, 2025
Dia
Dia. Pertamaku kenali tanpa sengaja di suatu panggilan telefon. Berbual seketika atas urusan rasmi, semakin lama semakin erat mengenali hati budinya. Sukar menjejakinya, kerana tempat yang berbeza. Hanya sesekali bertemunya di dunia nyata. Tapi, setiap kembangan hidup atau rasanya, kuperhatikan dari jauh melalui teknologi yang ada.
Aku bahagia. Aku meminatinya. Tiap kali bertemunya, rasa bagaikan dunia milik kami berdua. Tutur katanya, santun tawanya, raut wajahnya, ah... Indahnya.
Dia tak tahu aku menyukainya. Dia tak tahu aku menginginkannya. Dia tak tahu aku perlukannya. Perlu untuk apa? entah. Tapi aku perlukannya. Mungkin kerana hati dan naluri aku seorang lelaki. Mungkin kerana keinginanku untuk mengubah hidup yang terasa jauh dari keinginan hati. Mungkin kurasa dia mampu bahagiakan aku yang sedang berjauh hati.
Tapi, bagaimana harus aku berterus-terang padanya? Relakah dia memenuhi keinginan nubariku? Relakah dia tua bersamaku yang jauh tidak sempurna berbanding dia? Dia punyai segala. ayu, lembut, Cantik, pandai, bijak. Aku hanya begini sahaja. Tidak punya apa-apa istimewa yang boleh dia banggakan jika dia bersamaku. Tapi, aku inginkan dia!
dan, jika aku diterimanya, mampukah aku membahagiakannya? Tidakkah aku hanya merosakkan keindahan hidupnya semata-semata kerana ingin memenuhi impianku?
Cinta tidak semestinya memiliki bukan? Tapi, aku ingin memilikinya. Tapi bagaimana? Banyak onak yang aku dan dia perlu tempuhi jika hasrat aku untuk miliki dia aku luahkan. Bertambah-tambah lagi cabaran yang perlu dia tempuhi jika dia bersedia menyerahkan kehidupannya kepadaku. Aku tak mahu dia terjentik dengan rasa payah walau sedikit, kerana, aku cinta dia.
Rabu, Ogos 27, 2025
Ringkasan Hari Ketiga Kursus Penulisan
Hari ni kursus dimulakan dengan fasilitator membacakan sebahagian lagi cerpen para peserta yang tak dibacakan dan diberi komentar pada hari kedua. Antara cerpen yang mendapat komentar pada hari ini adalah termasuklah cerpenku yang bertajuk `24 Mei` yang boleh dibaca melalui https://nadimelor.blogspot.com/2025/08/24-mei.html
Banyak komentar positif yang dilontarkan oleh Tuan S.M. Zakir terhadap cerpenku yang memberi semangat untuk aku terus menulis pada masa yang akan datang.
Setelah jam 10.30 pagi, fasilitator menamatkan bacaannya dan memaklumkan, Tuan Zakir boleh dijemput ke meja mereka yang belum habis dibaca cerpennya untuk mendapatkan komentar bagi menambahbaikkan lagi cerpen tulisan mereka pada masa yang akan datang.
Kursus diteruskan dengan slot kedua dan ketiga pada hari ketiga ini dengan peserta diminta oleh fasibitator untuk menulis sebuah lagi cerpen yang panjangnya kali ini mininum 1000 patah perkataan. Masih ok lagi dengan arahan tersebut. Kemudian, fasilitator menambah, cerpen yang bakal dihasilkan pada hari ini akan berdasarkan tema. Tema yang dipilih oleh fasilitator adalah Tema Kemerdekaan.
Maka berderaulah darah aku memikirkan cerpen bertemakan merdeka tersebut. Aku bukanlah orang yang mahir sejarah untuk menulis cerita fiksyen berfakta seperti itu. Walaupun hanya cerpen, namun setidak-tidaknya sedikit fakta sejarah perlu diselitkan di dalam cerpen tersebut bagi memenuhi tema merdeka tu kan. Hadoi... Berfikir-fikirlah aku bagaimana untuk mengolah cerpen bertemakan merdeka ini. Jujurnya untuk menulis cerpen bertemakan merdeka pada hari ini, aku terpaksa mendapatkan gambaran sedikit sebanyak dari chat gpt untuk mendapatkan antara cerita-cerita yang boleh ditulis.
Maka, bermulalah tulisan dan nukilan aku yang tidak seberapa berkenaan merdeka tersebut. Latar cerita daripada Chat GPT aku olah dan aku susun semula mengikut kesesuaian dan meletakkan rasa manusiawi di dalam cerpen tersebut agar ianya tidak terlalu kaku dan tidak nampak terlalu mendatar.
Akhirnya, jam 4.30 kurang lebih, aku berjaya memuatnaikkan cerita aku tersebut di blog ini dan menghantar link cerita tersebut di dalam google form seperti yang diminta oleh fasilitator. Apa yang aku tulis pun aku tak tahulah. Janji ada sebuah cerita yang memenuhi syarat iaitu bertemakan merdeka dan mempunyai 1000 patah perkataan ke atas.
Tip-tip yang diberikan oleh Tuan Zakir dalam ceramahnya semalam pun cuba aku penuhi agar cerita tersebut menjadi seperti yang dimahukan. Kita tengoklah apa yang akan terjadi pulak esok. Babai...
Lampu Pelita Malam Merdeka
Di sebuah kampung kecil di pinggir Sungai Perak, hidup
seorang budak lelaki bernama Udin, berusia 9 tahun. Hidupnya serba sederhana.
Ayahnya, Pak Cik Rahim, seorang penoreh
getah yang setiap pagi pulang dengan tangan penuh kesan luka kecil daripada
pisau menoreh, manakala ibunya, Mak Cik Limah, menjual kuih di pasar pagi, dengan bau harum
apam bakar dan kuih seri muka sering melekat pada tangan Udin bila sesekali dia
membantu ibunya tatkala tidak pergi ke sekolah.
Walaupun mereka miskin, hati Udin luas. Dia selalu ingin
tahu tentang dunia di luar batas sungai dan bendang. Selepas selesai membantu
ibunya, Udin sering pergi ke warung Mok Teh di simpang jalan kampung untuk
membasahkan tekak dengan air sirap yang diminta percuma daripada Mak Teh. Dari
situlah dia mengintai dunia luar melalui surat khabar yang penuh dengan gambar
meski dia belum pandai membaca sepenuhnya. Kadang-kadang, Udin memasang telinga
mendengar berita-berita daripada radio Pakcik Rahman yang selalu dipasang di
beranda rumahnya. Kadang-kadang pula dia bertanya kepada datuknya yang suka bercerita
tentang zaman mudanya yang gemar mengembara di seluruh negeri di Tanah Melayu
sama ada untuk mencari akar kayu, rempah-ratus dan lada hitam untuk dibawa
balik ke kampung sebagai bahan jualannya. Dari sumber-sumber itulah, Udin mengetahui
sedikit sebanyak cerita yang berlaku di luar daripada kampungnya.
Beberapa bulan kebelakangan ini, , ada satu perkataan yang
selalu singgah di telinga Udin, “merdeka”. Perkataan itu selalu disebut-sebut
di serambi rumah, di kebun getah, di warung kopi. Walaupun Udin tidak
benar-benar mengerti, dia dapat merasakan ada sesuatu yang bakal terjadi di
kampungnya kerana “Merdeka!” yang disebutkan itu kadang-kadang dilaungkan penuh
semangat oleh anak-anak muda yang berjalan berkumpulan pada pagi hari melalui
lorong rumahnya untuk pergi ke sawah bendang.
“Kalau Tanah Melayu ni merdeka, kita tak perlu lagi tunduk
pada pegawai penjajah,” kata datuk Udin suatu malam sambil menghembus asap
rokok daun di beranda rumah. “Kita boleh hidup dengan maruah kita sendiri. Anak-anak
pun dah boleh bersekolah dengan aman, takkan ada gangguan daripada penjajah
jahanam tu lagi!” sambung ayah Udin penuh semangat, sambil menghirup kopi o
panas yang disediakan oleh ibu Udin. Udin memandang wajah datuk dan ayahnya
yang keras, namun mata mereka bersinar lain macam pada malam itu.
Semenjak seminggu sebelum malam 31 Ogos lagi, suasana
kampung sudah bertukar ceria bagaikan perayaan besar yang bakal disambut di
situ. imam kampung tiap-tiap malam selepas solat Isyak di surau mengingatkan
penduduk kampung untuk berkumpul di balai raya pada malam 31 Ogos tu nanti.
Malam 31 Ogos 1957 akhirnya menjelang tiba. Kanak-kanak
termasuk Udin sibuk menebuk tin susu pekat, memasukkan sumbu kain, menuang
minyak tanah. Bila api dinyalakan, deretan pelita itu kelihatan seperti
ribu-ribu bintang jatuh ke bumi. Jalan tanah merah menuju ke balai raya
dipenuhi cahaya pelita, berkelip di kiri kanan jalan.
Ibu Udin membawa dulang kuih apam bakar panas yang masih
berwap. Mak Som pula mengangkat lemang yang dibakar sejak tengah hari. Di satu
sudut, bunyi kompang yang dipalu Pak Din dan kawan-kawan bergema, memecahkan
sunyi malam kampung. Semuanya terasa bagai pesta layaknya. Mana tidaknya, malam
ini akan terciptalah sebuah sejarah. Sejarah yang tak akan dilupakan oleh
seluruh Tanah Melayu. Sejarah yang akan terpahat buat selama-lamanya di dalam arkib
negara, di dalam hati sanubari setiap warga, di buku-buku sejarah di
sekolah-sekolah rendah dan menengah serta di mana-mana sahaja di seluruh negara
malahan dunia yang bakal mengagumi kehebatan sebuah tanah yang pernah dijajah
ratusan tahun oleh mereka yang tidak berhati perut, oleh petualang yang
dahagakan darah dan tak kurang juga hampir termusnah oleh pengkhianat bangsa
sendiri yang rakus mengumpul harta kekayaan duniawi.
Walaupun mereka tahu mereka bukan berada di Kuala Lumpur,
radio buruk di balai raya menjadi saksi penghubung antara Kampung mereka dan bandar
Kuala Lumpur. Bunyi statik dan gangguan udara membuatkan mereka menahan nafas
setiap kali suara dari ibu kota ingin kedengaran.
Tepat jam 12 tengah malam 31 Ogos 1957, Seluruh orang
kampung yang berhimpun memberikan tumpuan kepada radio di tengah-tengah balai
raya itu. Radio yang digantung dengan dawai di atas meja kayu menjadi tumpuan.
Antenanya dipacak tegak, seperti menanti bisikan dari langit. Sunyi sepi balai
raya pada ketika itu bagaikan tiada siapa di dalamnya. Hanya gema bunyi radio
yang sesekali berdesir dengan angin tanda siaran tidak jelas kedengaran di
dalam balai raya itu kini. Kemudian… suara keramat Tunku Abdul Rahman itu bergema
dengan penuh lantang di corong radio itu. “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sebanyak
tujuh kali. Suara itu bukan sahaja memecah kesunyian balai raya itu, malah
memisahkan sebuah sejarah dari Tanah Melayu yang terjajah kepada Tanah Melayu
yang merdeka selamanya
Semua orang terpaku. Seolah-olah masa berhenti sebentar.
Ayah Udin menggenggam tangan anaknya dengan kuat. Udin melihat air mata lelaki
itu menitis, bukan kerana sedih, tetapi kerana syukur yang terlalu besar.
Begitu juga dengan datuknya, kelihatan mengalir air mata
kesyukuran di pipi tuanya tanda syukur yang terlalu mendalam dipanjatkan ke
hadrat ilahi. Pak Cik Rahman juga kelihatan menitiskan air mata, bukan tanda
dia sakit, tapi kerana terlalu bersyukur atas nikmat yang amat besar bagi
seluruh penduduk kampung ini. Namun, bagiUdin, dia belum benar-benar faham, tetapi dia tahu satu
perkara, hidupnya selepas ini tidak akan sama lagi.
Pagi dan petang itu, kampung bagai bertukar wajah. Anak-anak
muda diminta menebang buluh untuk dijadikan tiang bendera. Pemudi-pemudi pula membuat
bendera yang dilukis dengan cat rumah, ada yang dijahit dengan kain perca.
Bentuknya mungkin senget, warnanya tidak sekata, tetapi semangat yang
menghidupkannya tidak ternilai.
Kanak-kanak berlari sambil menyanyi separuh lagu “Tanggal
31”, walaupun liriknya mereka hanya tahu sekerat. Bau gulai ayam kampung, nasi
minyak, dan lemang memenuhi udara. Suara gelak ketawa bercampur bunyi kompang,
bagai pesta besar-besaran di kampung kecil itu.
Udin berdiri lama memandang bendera Persekutuan Tanah Melayu
yang berkibar di hujung tiang buluh. Dalam hatinya terbit satu janji, “Aku akan
belajar tinggi-tinggi, aku akan berbakti. Tanah merdeka ini akan jadi
kebanggaan kita semua.”
Bagi orang kampung, merdeka bukan hanya laungan di stadium.
Ia hidup dalam jiwa mereka, dalam langkah ayah yang menoreh getah tanpa takut
diganggu lagi, dalam tangan ibu yang menjual kuih dengan harapan baru, dalam
tawa anak-anak yang berlari bersama pelita buatan sendiri.
Malam itu, ketika pelita masih menyala di sepanjang jalan
tanah merah, semua orang tahu mereka sedang menyaksikan lahirnya sebuah negara.
Dan pelita-pelita kecil itu… menjadi saksi bahawa Tanah Melayu yang merdeka
lahir bukan dari bangunan besar atau dewan perhimpunan megah semata, tetapi
dari harapan tulus rakyat di kampung-kampung seperti ini.
“Seronok baca cerpen ni Cikgu,” tiba-tiba kedengaran suara
Zaki memecah kesunyian di dalam perpustakaan sekolah tengah hari itu. “Tapi
bersemangat betul orang kampung tu nak tunggu 31 Ogos. Macam-macam persiapan
dibuatnya demi nak sambut merdeka walaupun tak berada bersama-sama Tunku Abdul
Rahman di Kuala Lumpur melaungkan “Merdeka!””
“Begitulah cara orang dulu menghargai kemerdekaan yang tak
pernah dirasai oleh mereka, Zaki. Namun, sejarah bagaimana mulanya merdeka itulah
yang telah terpahat di hati mereka sampailah mereka mati,” Ujar Cikgu Danial
setelah mengambil kembali Cerpen “Lampu Pelita Malam Merdeka” yang dipinjamkan kepada
Zaki pada awal kelas gantinya sebentar tadi.
Selasa, Ogos 26, 2025
Ringkasan Kursus Penulisan Hari Kedua
24 Mei
Malam itu, konsert akhir pertandingan bakat akan diadakan di dewan besar sekolah seperti tahun-tahun sebelumnya. Aku memerhati peserta-peserta yang bertanding, penuh gah dengan pakaian masing-masing. Ada yang sibuk berlatih gaya, ada yang sibuk menggayakan pakaian dan tak kurang hebatnya ada yang ke sana, ke mari acah-acah sibuk yang anat sangat, seolah-olah berdebar kerana nak buat persembahan di sebuah konsert yang akan dihadiri ribuan penonton. Walhal, hanya tak kurang 200 orang pelajar asrama sekolah kami sahaja yang akan menjadi penonton pada malam tersebut.
Tepat jam 8.30 malam, pengacara majlis memulakan majlis
dengan mengalu-alukan kehadiran tuan pengetua sebagai tetamu kehormat, para
juri dalam kalangan guru-guru muzik sekolah serta para peserta dan
pelajar-pelajar asrama sebagai penonton.
Aku duduk di barisan belakang dewan, sekadar menjadi
penonton yang sesekali berbual-bual perlahan dengan rakan di sebelah kiri dan
kananku. Bukan tidak minat menyanyi, tapi tak terpilih ke konsert akhir. Mana
taknya, baru je nyanyi peringkat saringan, hujan tiba-tiba turun dengan
lebatnya di luar dewan hari tu. Sah, suara macam katak panggil hujan. Memang
patutlah tak terpilih ke peringkat akhir.
Selepas ucapan demi ucapan, diserikan dengan gimik
pelancaran yang membuka gelanggang persembahan, maka tibalah giliran peserta
pertama tampil ke pentas membuat persembahan. Juri khusyuk mencatat markah demi
markah terhadap setiap peserta yang membuat persembahan.
“Dipersilakan, Peserta ketujuh, Amran Ajmain Danish, dengan lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Iklim, “Bukan Niatku.” Amran ttampil dengan penuh yakin dari belakang pentas memulakan nyanyiannya. Aku masih lagi berbual dengan rakan-rakan di kiri kananku tanpa mempedulikan persembahan Amran. Tapi, perasanlah aku dia tampil di pentas, memulakan bicara dan menyanyi lagu dengan penuh gaya. Tepukan gemuruh para penonton menambahkan keyakinannya untuk menggondol gelaran juara dalam konsert akhir malam ini.
Pada gitar solo di tengah-tengah nyanyiannya, aku terpandang
kelibat seorang yang amat aku kenali Nina. Dia aku kenal semenjak tingkatan 1
lagi semasa menjadi urusetia minggu orientasi murid baru asrama. Dengan penuh
yakin Nina naik ke atas pentas memberikan bunga kepada dia yang sedang asyik
membuat persembahan. Berderau darah aku. Terkejut, panik, gemuruh, marah, geram
dan benci serta-merta menerpa di dalam perasaanku kini. Kenapa Nina memberi
bunga padanya? sedangkan Nina tahu, siapa Nina dalam hatiku. Dan, setahu aku
juga, melalui perjanjian yang telah kami metrai, Nina patut tahu siapa aku di hati
dia.
Sementelah pula, aku dan Nina tidak pernah berenggang bila ke mana-mana? ke kelas, ke perpustakaan, hatta ke dewan makan untuk makan tengah hari dan malam pun kami selalu berdua. Tapi, kenapa dia sanggup menebalkan mukanya untuk naik ke pentas untuk memberi bunga kepada dia? sedangkan tindakan Nina tersebut sudah pasti dilihat oleh semua penonton yang ada di dewan ketika itu. Jika peserta pertama, peserta keempat dan peserta kelima menerima bunga, fahamlah aku bahawa yang memberi bunga kepada peserta-peserta nyanyian tersebut adalah kekasih hati masing-masing. Tapi, kenapa Nina memberikan bunga pada dia? Adakah mereka berdua… ... ah... serabutnya perasanku kini... Aku tidak dapat mengawal perasaanku. Persoalan-persoalan yang ligat bermain di minda aku kini menuntut penjelasan daripada Nina apakah status Nina dan Amran sebenarnya?
Aku kembali ke asrama, kerana dewan itu bagiku kini adalah
neraka yang amat membahang sedang membakarku. Aku bimbang, jika berlama-lamaan
aku di dewan itu, entah apa-apa lagi peristiwa pelik yang akan berlaku di
hadapanku. Aku tidak sanggup untuk menghadap ujian-ujian tersebut lagi.
Aku diam di asrama. Aku berfikir, apakah yang harus aku
lakukan kini. Kalau aku berjumpa dengan Nina bagi menuntut penjelasan, dan
andainya Nina kata memang “ya” dia kini sedang memberikan hatinya pada lelaki
itu, aadakah sanggup aku menerima takdir tersebut? Sedangkan aku harus
berhadapan dengan Nina dan dia sekurang-kurangnya setengah tahun lagi di alam persekolahan. Peningnya!!!
Tanpa aku sedari, air mataku gugur dengan deras membasahi pipi. Bukan kerana tidak jantan, tetapi terlalu kecewa dek kerana hati dan perasaanku dipermainkan begitu sahaja oleh orang yang aku anggap paling suci di hatiku. Dewan, majlis, hadiah, pemenang… bukan lagi ada dalam hatiku kini. Hanya kecewa, kecewa dan kecewa… itu saja yang aku rasakan kini. Aku takut berhadapan dengan kawan-kawan. Sudah pasti mereka mentertawakanku lepas ni. Kekasih hati seorang puntak dapat jaga. Ahhh… malunya aku!!!
Entah pukul berapa aku pun tak tahu, tahu-tahu aku dah tertidur di katilku. Mungkin dek kerana terlalu kecewa hingga aku sendiri pun tak tahu di mana perasaanku kini. Yang aku tahu, aku tiba-tiba dikejutkan oleh Amran pada pagi hari itu supaya mandi, solat subuh dan bersiap sedia untuk ke sekolah. Allahu rabbi… aku bermimpi rupanya malam tadi… Amran tersenyum melihatku. Mungkin Amran senyum sebab melihat aku terkejut kot bila melihat dia berdiri di sisi katilku. Rupanya, ia bukan realiti yang menimpa hidup aku. Ia hanya mainan tidur yang megerikan. Nasib baik aku tidak melepaskan tumbukan padu bila terjaga saja dari tidur dan ketika melihat Amran di sisi. Nasib baik aku dapat mengawal perasaanku dan menyedari yang berlaku itu hanyalah mimpi.
Aku bangun seperti biasa, menyiapkan apa yang patut, dan bergegas turun ke dewan makan untuk bersarapan pagi, Nina seperti biasa, siap sedia menantiku di lorong asrama, tempat kami berjumpa untuk memulakan langkah pertama sama ada ke dewan makan, ke padang atau ke kelas. Bila aku bercerita dengan Nina mimpiku tersebut, Nina hanya ketawa sahaja dan berjanji, selagi ada nyawa di dalam tubuhnya, akulah yang dikasihinya sampai bila-bila. Bersyukurlah aku kerana aku masih bertuah dalam kalangan orang-orang yang bertuah di sekolah tersebut.
Isnin, Ogos 25, 2025
Akhirnya, selesai hari pertama Kursus Penulisan
Sesi malam bermula jam 8.00 malam rupanya. Penganjur maklumkan sesi malam ni hanya 45 minit je sebab dewan akan ditutup tepat jam 9.00 malam. Sesi kali ni didedahkan dengan cara membuat brainstorming yang berkesan. Kaedah yang didedahkan ialah kaedah Rapid Ideation di mana, penceramah memberikan suatu tempoh tertentu, dan memberikan satu-satu perkataan untuk peserta memikirkan seberapa banyak perkaitan berdasarkan perkataan yang diberi. Kaedah ini sesuai bagi memungut idea yang cepat untuk menghasilkan suatu impak yang terbaik.
Secara keseluruhan, kursus hari pertama ini sangat menarik dan memberikan cambahan idea kepada peserta untuk membina seberapa banyak idea yang lebih kreatif bagi menghasilkan tulisan yang terbaik.
Kita tengok pulak esok apa akan jadi pada hari kedua, Kursus Penulisan yang saya sertai ini. Jarang-jarang saya join kursus cambahan idea ni. Babai...
Coretan petang hari pertama kursus penulisan
Alhamdulillah, sampai saja di Rainbow Paradise Beach Resorts, saya dan tiga rakan yang bersekali dengan saya terus di bawa ke dewan tempat kami berkursus. Oh ya, saya ada Kursus Penulisan selama lima hari bermula Isnin, 25 Ogos hingga Jumaat 29 Ogos 2025.
Kebetulan waktu kami sampai, orang baru siap makan tengah hari, dan nasi masih ada lagi, kami pun diberi jugalah makan tengah hari di dewan tersebut.
Jam 2.30 petang, bermulalah sesi kedua kursus tersebut. Sesi pertama kami terlepas la sebab masih di dalam ETS pagi tadi tu. Maka bermulalah latihan pertama untuk sesi kedua, iaitu latihan berfikir. Penceramah beri beberapa perkataan, kami yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut meja yang kami duduk diminta menyanyikan lagu-lagu berdasarkan perkataan yang diberi tu. Lepas tu, salah seorang daripada setiap kumpulan, dipanggil ke hadapan untuk bermain permainan `Berita Tujuh Kepala`. Maka berdekahlah peserta kursus mendengar berita tujuh kepala daripada kami yang entah apa-apa.
Kemudian, kami diberi pula tugasan bertulis yang kedua iaitu, membuat cerita berdasarkan perkataan kotak, cermin dan pembaris seperti yang tercatat pada `Tugasan Kedua` di dalam blog ni.
Selesai menyiapkan tugasan bertulis, kami pun diberi minum dan berehat hingga jam 8.30 malam. 8.30 malam ni kita tengoklah apa pulak yang akan berlaku dalam sesi kursus yang seterusnya. Babai...
Tugasan 2
1. Kotak
2. Cermin
3. Pemberis
Kotak.
Di hujung kampung, terdapat sebuah sebuah rumah usang. di dalam rumah usang tersebut, terdapat dua buah kotak lama yang lusuh. Kotak itu sangat misteri. Ia tidak lagi diusik oleh sesiapa semenjak ketiadaan Mak Limah.
Cermin.
Ada sebuah cermin besar yang terhias di sebuah dinding rumah usang tersebut. Cermin itu bertujuan untuk menampakkan rumah itu sebuah rumah yang sangat besar biarpun rumah itu hanya sekecil kotak cuma.
Pembaris
Pembaris adalah suatu alat yang digunakan untuk mengukur sesuatu, membuat garisan dan memastikan garisan tersebut lurus. Amat besar jasa pembaris kepada kita.