Isnin, Februari 15, 2010

TERSENTUHNYA HATI...

“…... kepada ibu, tabahlah menghadapi ujian ini. Ayah… ayah di mana?

Assalamualaikum. Begitulah sebahagian daripada satu pesanan ringkas yang telah dihantar oleh seorang pengirim SMS kepada salah sebuah radio yang saya dengar malam tadi. Tersentuh rasanya bila mendengarkan ungkapan tersebut. Fahamlah saya, bahawa kkeluarga tersebut mempunyai masalah kekeluargaan yang amat perit untuk dihadapinya.

Massalah tersebut pada fikiran saya addalah masalah yang berkaitan dengan pergerakan untuk menuju ke ambang kemusnahan sebuah institusi keluarga yang amat perit untuk ditanggung oleh penghadapnya. Mereka sedang menghadapi saat-saat perpecahan rumah tangga yang mungkin disebabkan oleh beberapa factor yang sukar untuk dijangkakan. Namun factor-faktor tersebut adalah factor-faktor yang sering kita dengar di mahkamah dan di media-media massa.

Penceraian adalah salah satu factor utama ungkapan tersebut dilontarkan lewat SMS yang dikirimkan. Penceraian dewasa kini terlalu kerap kali kita dengar berlaku dalam institusi kekeluargaan. Terjadinya penceraian ini berpunca daripada tidak ada lagi persefahaman antara suami dan isteri, tidak ada lagi toleransi antara mereka, tidak ada lagi perasaan kasih sayang antara mereka dan pelbagai factor lain. Natijahnya, anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa lantera daripada penceraian tersebut. Anak-anak sedikit sebanyak akan menghadapi kesannya di mana, mungkin mereka terabai, tidak mempunyai tempat untuk bergantung dan tidak mempunyai lagi kehidupan yang lengkap iaitu mempunyai ibu dan bapa seperti anak-anak yang lain. Akibatnya, mereka akan menjadi liar, tidak dengar kata, terjebak ke dalam lembah maksiat, terjebak dengan pengedaran, penagihan dadah dan sebagainya. Akhirnya, mereka menjadi rosak dan tidak bernilai lagi kepada masyarakat.

Mengapakah terjadinya penceraian seperti ini? Seharusnya, jika tali pernikahan yang diikat sebelum ini berpaksikan niat hanya kerana Allah, seharusnya tidak akan berl akunya perkara seperti ini. Ini kerana, mereka akan sedar, betapa jodoh yang ditentukan oleh Allah itu adalah ketentuan daripadaNya. Jika berlaku ketidaksefahaman antara mereka sekalipun, mereka boleh mencari jalan keluar untuk menanganinya agar tidak terlepas kata-kata “aku ceraikan engkau dengan talak sekian sekian” sekaligus berlakunya penceraian yang tidak diingini tersebut.

Seperkara lagi yang perlu difikirkan sebelum penceraian berlaku. Tidak penatkah kita mencari beribu-ribu ringgit, malahan berpuluh-puluh ribu ringgit semata-mata untuk menjadikan Majlis Walimatul Urus yang telah diadakan sebelum ini meriah dan menarik? Hantaran dan mas kahwin yang beribu-ribu ringgit yang telah dibelanjakan dan dihadiahkan semata-mata demi memenuhi syarak dan adat untuk pasangan yang tersayang? Kenapakah dengan tidak semena-mena hendak diputuskan tali pernikahan yang telah diikat begitu kejap dan disimpul dengan rapi melalui Ijab dan Qabul hasil daripada majlis Aqad Nikah bersama Qadi-qadi yang kita genggam tangan mereka dan mereka genggam tangan kita? Bukan sedikit orang yang melihat majlis Aqad Nikah kita. Jika diadakan di masjid, sudah tentu kita akan melafazkan Qabul nikah kita tersebut di corong-corong pembesar suara yang pasti akan didengari oleh seluruh kampong tersebut. Paling tidak pun, ia akan didengar oleh penduduk sekitar masjid tersebut. Malukan kita ketika itu? Tapi, demi pasangan yang tersayang, kita gagahkan juga hati ini untuk menghadapi situasi itu. Itu belum lagi menghadapi imam-imam yang cerewet. Macam-macam dia nak dengar kita baca sebelum majlis aqad nikah itu diadakan. tidak cukup dengan itu, kita panggil pula jurukamera datang dengan membawa berkotak-kotak gulungan filem untuk mengambil gambar kita bagi dijadikan kenang-kenangan sempena majlis pernikahan kita itu yang kemudiannya kita bayar mereka beribu-ribu ringgit demi memuaskan hati kita setelah memiliki gambar-gambar yang telah diambil dengan pelbagai reaksi dan gelagat yang menarik serta pakaian-pakaian pengantin yang cantik-cantik ibarat "raja di atas takhta" pada hari tersebut.

Jika kita fikir-fikirkan kembali, faktor-faktor sebegitu sudah cukup untuk kita membatalkan hasrat dan niat kita untuk melafazkan lafaz-lafaz yang berbaur perceraian ini.

Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya. Setiap penyakit yang kita hidapi itu pasti ada ubatnya kecuali mati. Itu janji nabi. Kenapa kita tidak genggam erat-erat kata-kata tersebut biar menjadi azimat dalam diri kita? Andainya ada masalah, bukankah Islam telah anjurkan beberapa langkah penyelesaian demi menyelamatkan rumah tangga yang telah dibina? Antaranya, melalui perbincangan sesama pasangan, melalui orang tengah wakil daripada kedua-dua keluarga, melalui perbincangan dengan kaunselor, dengan jabatan-jabatan agama negeri dan banyak lagi.

Insya allah, jika kita ikut saluran yang telah dianjurkan oleh Islam tidak akan ada penceraian yang begitu banyak di antara institusi-institusi kekeluargaan Islam ini. Janganlah berlakunya di antara umat Islam ini penceraian kerana penceraian akan memusnahkan institusi kekeluargaan yang telah kita bina selama ini. Perkara yang halal di sisi Islam tetapi diMurkai oleh Allah adalah penceraian. Janganlah kita mencari kemurkaan Allah jika kita ingin mendapatkan keredhaanNya. Sebaliknya, carilah keredhaan Allah walaupun akhirnya nanti kita akan dimurkai oleh manusia.

Firman Allah SWT yang maksudnya: ‘...dan bergaullah kamu dengan mereka

(isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)” (an-Nisaa’: 19).

Wallahu a’-lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

komen sikit...