Sabtu, Oktober 24, 2009

Ke Manakah Murid-Murid Bermasalah Penglihatan Selepas Sekolah Menengah?

Firman Allah Dalam Surah Ibrahim Ayat 7 yang bermaksud: “dan ingatlah Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azabku amatlah pedih”

Murid-murid biasanya akan mencari haluan mereka masing-masing selepas mereka menamatkan pengajian di peringkat menengah rendah. Dengan cara memilih aliran mereka di peringkat menengah atas (di tingkatan 4), sama ada aliran sastera, aliran Sains dan sebagainya, mereka sudah mampu menentukan nasib mereka apabila menamatkan pengajian di peringkat SPM. Mereka akan memilih pengkhususan yang mereka minati di Tingkatan 6, Institut-institut Pengajian Tinggi dan pusat-pusat latihan kemahiran bagi mencorakkan diri mereka sebagai itu dan ini setelah tamat kelak. Keluarnya mereka daripada institute-institut pengajian tinggi dan pusat-pusat latihan kemahiran, mereka sudah boleh mencari pendapatan masing-masing untuk menyara setidak-tidaknya hidup mereka sendiri.

Namun, itu akan hanya berlaku kepada murid-murid yang cukup sifat fizikalnya. Dengan kata lain murid-murid itu adalah murid-murid normal. Sedarkah kita, ke manakah hala tuju murid-murid bermasalah penglihatan setelah mereka menamatkan pelajaran mereka nanti? Banyakkah pilihan-pilihan kursus yang sesuai mereka ikuti di institute-institut pengajian tinggi dan pusat-pusat latihan kemahiran?

Sudah tentu jawapannya tidak. Mereka hanya diberi peluang untuk mengikuti kursus-kursus tertentu sahaja seperti pendidikan, kesusasteraan, bimbingan dan kaunseling, undang-undang dan beberapa kursus lain yang tidak melibatkan kemahiran.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab, mereka seharusnya sedar akan perkara ini. Pihak-pihak tertentu sepatutnya memberi peluang kepada murid-murid masalah penglihatan ini mengikuti kursus-kursus yang berbentuk kemahiran ini. Jika ada pun kursus-kursus kemahiran, ia hanya tertumpu kepada kursus-kursus urut, anyaman dan telefonis sahaja yang mereka dapat ikut. Itupun hanya NGO-NGO yang berkepentingan kepada golongan ini sahaja yang memberi peluang mengadakan kursus-kursus tersebut.

Sedarkah mereka, sebenarnya, banyak lagi kemahiran-kemahiran golongan seperti ini boleh lakukan selain daripada yang dinyatakan di atas? Misalnya, kemahiran mengacara, menjadi DJ Radio, menjadi penyanyi, pemain muzik dan lain-lain. mengapakah mereka yang bertanggungjawab sering pandang enteng akan kebolehan mereka ini?

Selain itu juga, terdapat hafiz-hafiz al-Quran dari golongan ini yang mempunyai tauliah dan sijil dari institute-institut tahfiz yang bertauliah, qari-qari yang boleh membaca al-Quran dengan baik, punyai suara yang lunak untuk mengalunkan azan dan lain-lain serta macam-macam kemahiran lagi mereka punyai. Mengapa kemahiran-kemahiran ini tidak dipandang serius oleh mereka yang bertanggungjawab dalam bidang ini? Sedangkan kita sudah lebih separuh abad merdeka. Sepatutnya, sudah lama kemahiran-kemahiran daripada golongan ini diketengahkan agar ia tidak hanya semata-mata menjadi kemahiran yang dipendamkan tanpa digali kelebihannya dan dimanfaatkan kebolehan mereka.

Sedarkah kita sebenarnya, andainya kita gali akan kemahiran-kemahiran mereka sedalam-dalamnya, kita sudah mampu membantu mereka menyara setidak-tidaknya hidup mereka sendiri? Malahan, jika mereka sudah punyai isteri dan anak, mereka sekaligus akan menyara isteri dan anak mereka dengan bantuan kita itu? Mereka tidak perlukan wang yang dihulur tanpa sebarang pekerjaan yang dilakukan, dengan kata lain, mereka tidak perlukan sedekah daripada kita. Mereka juga seperti insan biasa, memerlukan wang untuk menyara keluarga dengan hasil titik peluh mereka sendiri. Mereka perlukan pekerjaan untuk menjamin masa depan mereka. mengapakah pekerjaan tidak diberikan kepada mereka, sedangkan kemahiran dalam melakukan pekerjaan tersebut mereka miliki?

Bersyukurlah insan-insan yang diberi semua cukup. Mata ada, tangan dan kaki ada, semua ada. Fikirkah kita, andainya suatu hari Tuhan menarik nikmat-nikmat itu daripada kita, dan kita jadi seperti mereka, tidak punyai daya penglihatan, bolehkah kita melakukan kerja-kerja yang kita lakukan sekarang ini lagi? ditambah pula usia kita ketika itu yang sudah meningkat dan tiada upaya untuk ikuti kursus-kursus kemahiran yang dianjurkan oleh NGO-NGO tertentu? di manakah kita harus cari nafkah ketika itu untuk menyara anak dan isteri kita?

Bantulah ringankan beban hidup mereka dengan menghapuskan diskriminasi pemilihan pekerja. Jika ada kemahiran yang bersesuaian dengan kehendak kita, tak kira siapa pun mereka, normalkah, bermasalah penglihatankah, masalah anggotakah, terimalah mereka bekerja bersama-sama kita dengan senang hati dan gembiranya. Kongsilah rezeki yang kita ada bersama-sama dengan sesiapa sahaja tanpa diskriminasi walaupun sebutir debu agar Tuhan akan tambahi lagi rezeki kita.

Fikir-fikirkanlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

komen sikit...