Sabtu, Oktober 31, 2009

PRIHATINKAH NEGARA KITA DALAM ERTI KATA YANG SEBENARNYA?

assalamualaikum. Pada hari khamis, 29 Oktober yang lalu, sekolah saya telah didatangi oleh pelajar-pelajar dari Fakulti Pendidikan, Universiti Terbuka Malaysia. Kedatangan mereka semata-mata untuk melawat sekolah di samping mencari sedikit maklumat berkenaan dengan Pendidikan Khas khususnya maklumat tentang perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran (P & P) di sekolah ini.

Saya telah ditanya pelbagai soalan oleh mereka bermula dengan soalan yang berkaitan dengan tujuan lawatan mereka hinggalah ke soalan-soalanperibadi. Segala maklumat yang dapat saya berikan berkenaan dengan soalan mereka, dapatlah saya jawab. Manakala yang tidak dapat dijawab oleh saya, maka saya diam sahajalah. Paling tidak pun saya senyum tanda isyarat bahawa saya tidak dapat menjawab soalan mereka.

Antara persoalan yang mereka timbulkan ialah, berkenaan dengan penggunaan computer dalam kalangan golongan cacat penglihatan.

Mereka bertanya, bagaimana mengetahui huruf-huruf yang terdapat pada papan kekunci “Key Board” pada computer. Di samping itu mereka juga bertanya penggunaan printer Braille “Embosser” dan lain-lain. Selain itu juga, mereka bertanya berkenaan dengan penggunaan pembaca skrin “Screen Reader” pada computer yang digunakan oleh golongan cacat penglihatan. Antara persoalan tersebut ialah, bagaimana menggunakan computer, bagaimana skrin dibaca oleh pembaca skrin “Screen Reader”, bagaimana membezakan huruf besar dan huruf kecil pada skrin, bagaimana untuk memahami pembacaan yang disampaikan oleh pembaca skrin “Screen Reader”, dan paling menarik yang dapat saya bawakan di sini ialah, satu persoalan berkenaan dengan inisiatif yang diambil oleh negara kita untuk membangunkan perisian pembaca skrin kita sendiri yang boleh membaca dengan fasih perkataan-perkataan dalam Bahasa Malaysia khususnya dan Bahasa-bahasa lain umumnya yang masih tidak Nampak kewujudannya.

Persoalan sebegini sebenarnya sudah lama kedengaran oleh mereka yang mengunapakai perisian pembaca skrin ini sendiri khususnya mereka yang berada di Malaysia serta mereka yang lain yang tidak menggunakan perisian ini secara khusus. Kedengaran juga desas-desus bahawa perisian seperti ini sedang diusahakan untuk dibangunkan di negara kita satu ketika dahulu. namun sehingga ke hari ini kewujudannya masih dipersoalkan lantaran daripada bukti kesungguhannya masih lagi diselimuti kabus yang tebal. Sebagai pengetahuan pembaca, perisian pembaca skrin yang digunakan oleh golongan cacat penglihatan di Negara ini hanya boleh menyebut dengan fasih perkataan di dalam Bahasa Inggeris sahaja. Sekiranya perkataan-perkataan Bahasa Malaysia ditulis, maka pembaca skrin ini akan membacanya dalam “Slang” Bahasa Inggeris. Sebagai contoh, jika kita menulis perkataan “baca”, maka pembaca skrin ini akan menyebut “baka” bukan “baca” seperti yang kita sebut. Begitu juga dengan perkataan “orang”. Ia akan menyebut dengan sebutan “oreng” dan bukannya “orang”.

Mengapakah Negara kita yang semaju ini tidak mengambil inisiatif untuk membina perisian pembaca ini sendiri? Sedangkan kita tahu, Negara-negara barat lain berlumba-lumba untuk mencipta sesuatu yang baru khususnya untuk rakyatnya yang berkeperluan khas dari segi penglihatan ini. Tidak cukup dengan itu, mereka mengeksport pula produk-produk mereka ke luar Negara termasuk Negara kita untuk dibeli dan diguna oleh golongan ini. Adakah kita ingin menggunakan sahaja produk-produk mereka tanpa berusaha untuk menciptanya sendiri? Sampai bilakah kita harus bergantung dengan produk-produk dari negara luar ini untuk kita gunapakai di dalam Negara kita?

Sepatutnya, pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya kepada golongan ini harus memikirkan perkara ini terlebih awal lagi sebelum ianya disuarakan. Bukankah kita selalu melaung-laungkan bahawa kita merupakan “Negara membangun”? kita juga sering melaung-laungkan bahawa nengara kita adalah “Negara Prihatin”. Prihatinkah sebenarnya Negara kita kepada mereka yang berkeperluan seperti ini? Jika prihatin, mengapakah inisiatif ini tidak boleh diambil untuk membangunkan kemudahan tersebut? Jika ada yang mengeluarkan kenyataan bahawa Negara kita prihatin. kita telah banyak menyediakan kemudahan kepada golongan cacat penglihatan khususnya, saya berpendapat bahawa ianya hanya kenyataan semata-mata. Tidak lebih daripada itu. Mengapa saya berpendapat demekian? Kemudahan-kemudahan yang disediakan sebenarnya hanya “melepaskan batuk itangga” sahaja. Asalkan ada, sudah memadai. Tidak dapat dimanfaatkan secara maksimum oleh golongan sasar.

Perisian pembaca skrin dalam Bahasa Malaysia dan perisian-perisian lain untuk golongan ini sepatutnya boleh dibina untuk keselesaan penggunanya dan sebagai pengurangan kebergantungan Negara kita kepada produk-produk luar. Inisiatif ini sepatutnya perlu dipikul oleh mereka yang bertanggungjawab agar penggunanya dapat menikmatinya secara menyeluruh akan kemudahan-kemudahan seperti ini. Selain itu juga, ianya dapat menjimatkan perbelanjaan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyediakan perisian-perisiaan seperti ini kerana perisian-perisian seperti ini harganya terlalu mahal. Sebagai contoh, perisian pembaca skrin “Screen Reader” JAWS misalnya, berharga lebih daripada USD900. jika ditukar kepada Ringgit Malaysia, ianya boleh mencecah sehingga RM3,000 seunit. Tidakkah satu pembaziran besar yang terpaksa ditanggung oleh penyedia-penyedia perisian ini khususnya di sekolah-sekolah dan institusi-institusi berkaitan? Jika inya dibina di Negara kita sendiri, sudah pasti harganya jauh lebih rendah daripada itu.

Itu baru seunit, bayangkan berunit-unit lagi kita perlukan untuk memenuhi keperluan golongan ini khususnya di sekolah-sekolah dan institusi-institusi berkaitan. Itu baru satu perisian, belum lagi perisian-perisian lain seperti Pembesar teks, pembantu pengimbas dan lain-lain lagi. Pendek kata, berpuluh-puluh ribu, malahan tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa, berjuta-juta ringgit erpaksa dikeluarkan untuk membiayai kos pengeksportan perisian-perisian seperti ini.

Diharapkan dalam masa terdekat ini, mereka yang bertanggungjawab dapat membuka mata seluas-luasnya dan bangun dari lena yang panjang serta mimpi yang indah bagi mencari jalan penyelesaian untuk menangani akan perkara ini dan ianya dilaksanakan secepat mungkin bagi memberikan keselesaan yang maksimum kepada pengguna-penggunanya. Jika Negara kita benar-benar prihatin, tunjukkanlah keprihatinan yang sebenarnya kepada golongan sasar seperti ini. Golongan seperti inilah sepatutnya difikirkan akan kemudahan mereka agar ianya dapat berdiri setanding dengan warganegara kita yang lain. Fikir-fikirkanlah.

3 ulasan:

  1. Gamaknye nok tunggu mung jadi presiden NCBM tak pun nak tinggi sikit jadi menteri gati shahrizat Jalil... aku pun x leh tolong mi hahaha..
    Tapi baguslah mung utarakan benda ni...nak aku forwardkan ke blog najib 1Malaysiake mi?

    BalasPadam
  2. boleh ke forwardkan ke blog 1 malaysia tu? kalau boleh aku bereh je. biar buka mt sikit diorang yi.

    BalasPadam
  3. boleh je mie....
    pastu ko taip je goom goom goom tu seratus kali,pah tu najib lenguh aku way...
    msti ko jd presidenla nanti...
    jgn risau, dlm dunia blog ni, apa yg ko utarakan ni, diorg pasti jmpa... tapi xtaula ada tindakan ke x....

    BalasPadam

komen sikit...