Khamis, Oktober 08, 2009

sejenak berfikir

guru ialah orang yang paling penting dalam sesebuah sekolah. Tanpa guru, sesebuah sekolah tidak akan dapat beroperasi dengan sempurna. Begitu juga dengan murid-murid. Mereka adalah asset penting kepada sekolah kerana mereka adalah produk yang bakal dihasilkan oleh guru. jika kilang akan mengeluarkan produk berbentuk pepejal dan cecair, sekolah pula adalah ibarat kilang yang akan mengeluarkan sejenis produk yang mampu mengubah nasib sesebuah bangsa dan negara. produk itulah yang akan menghasilkan produk-produk lain pula.


Namun sedarkah sesetengah pihak bahawa emosi seseorang guru berkait rapat dengan penyampaian mereka dalam memberikan pengajaran kepada murid-murid? Andainya mereka punyai emosi yang baik, maka pada hari tersebut mereka dapat melaksanakan tugas mereka untuk memberikan ilmu yang sempurna kepada murid-murid. Namun demikian, jika sebaliknya, maka mereka akan mempunyai kekangan dalam penyampaian ilmu kepada murid-murid.

Oleh sebab itulah, emosi guru-guru perlu dijaga agar ianya tidak terganggu supaya mereka dapat memberikan ilmu dan tunjuk ajar yang sempurna kepada anak bangsa mereka.

Pada hujung tahun begini, ramai guru sibuk memperkatakan tentang pertukaran. Mana taknya, borang pertukaran yang perlu diisi dalam EG-tukar melalui system aplikasi di laman portal Kementerian Pelajaran baru saja titutup 1 Oktober yang lalu. Mereka sibuk memperkatakan sebab itu dan sebab ini mereka perlu bertukar. Dan, bagi mereka, sebab-sebab yang dikemukakan itu punyai kewajaran yang perlu dipertimbangkan oleh mereka yang bertanggungjawab dalam proses pertukaran ini.


Sememangnya penulis faham akan kesulitan pihak yang bertanggungjawab untuk memenuhi semua permintaan guru-guru yang ingin bertukar, namun demikian, jika tidak dipertimbangkan sewajarnya permohonan tersebut, dibimbangi perkaitan emosi seperti yang dinyatakan di dalam muqaddimah di atas akan menjadi kenyataan.

Mereka perlu diberi tempat sewajarnya untuk mereka mencurahkan ilmu yang mereka punyai agar murid-murid yang bakal mereka didik dapat menikmati akan ilmu tersebut dengan berkesan tanpa sebarang kesan emosi daripada guru-guru itu.

Penulis faham akan alas an-alasan yang diberikan oleh pihak yang bertanggungjaab, namun demikian, mereka perlu sedar akan kebajikan guru-guru yang memohon untuk bertukar itu. Mereka juga perlu faham akan keadaan guru-guru tersebut. Mereka juga perlu mempertimbangkan alasan-alasan yang guru-guru tersebut berikan dengan sehalus-halusnya.

Bagi penulis, hal permohonan pertukaran ini terjadi kerana, pihak yang bertanggungjawab pada awal-awalnya lagi tidak mempertimbangan permintaan guru-guru tersebut untuk ditempatkan seperti yang mereka isi di dalam borang penempatan setelah tamat pengajian mereka di IPGM dahulu. Jika perkara ini diambil kira dan dipertimbangkan, penulis yakin, tidak akan ramai guru-guru yang memohon untuk bertukar.

Pada catatan ini, penulis ingin berkongsi satu cadangan sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada kemelut ini. Cadangan tersebut adalah, mengambil bakal-bakal guru mengikut negeri mereka ingin ditempatkan berdasarkan kekosongan pada tahun mereka ditempatkan untuk mengajar.


Sebagai contoh, sewaktu temuduga lagi, mereka perlu mengisi satu borang penempatan dan pihak bertanggungjawab boleh mengambil mereka untuk ditempatkan di IPGM sebagai guru pelatih berdasarkan kelayakan mereka seterusnya ditempatkan di tempat yang telah mereka isi di dalam borang penempatan tersebut.


Hal ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan guru-guru yang akan ditempatkan dan memberikan peluang kepada mereka mencurahkan bakti di tempat yang mereka mahukan.

Ini adalah sekadar pandangan peribadi penulis sahaja. Jika ianya difikirkan sesuai, pertimbangkanlah cadangan ini. Tetapi, jika sebaliknya, abaikanlah cadangan ini.

1 ulasan:

  1. hok mung kate ning betul...dari dulu doh ork mung kate gitu, sbb mung frust..hahaha. BTW, mung mitok tukar ke?

    BalasPadam

komen sikit...